Kerja mengecat tembok pintu pagar.


Kerja mencabut rumput disekitar kawasan Surau Al-Khairiah Taman Universiti Wallagonia, Tapah.


Gotong royong merupakan salah satu tradisi masyarakat Malaysia khususnya masyarakat Melayu yang jelas semakin ditelan zaman. 

Pada program gotong royong, “Rakan Bumi Plogging Komuniti Peringkat Daerah Batang Padang Tahun 2024” amat selari dengan inisiatif kerajaan agar cakna kebersihan dan pacu perpaduan.

Dalam suasana masyarakat yang berbilang bangsa, aktiviti gotong royong sebenarnya mampu mewujudkan persefahaman antara kaum dalam komuniti melalui semangat bantu membantu dan bekerjasama.

Pada 17 Ogos 2024, sambutan program gotong royong perdana yang julung-julung kali diadakan antara agensi Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Tapah bersama Surau Al-Khairiah Taman Universiti Wallagonia, Tapah telah memperkenal 1 gaya hidup daripada 10 gaya hidup Rakan Muda. 

1 gaya hidup yang diperkenal ke komuniti oleh JBS Tapah adalah “Rakan Muda Rakan Bumi” yang mana “Rakan Bumi” memberikan penekanan kepada kepekaan dan kepedulian terhadap alam sekitar. 

Kehadiran seramai 68 orang dari pelbagai peringkat umur yang terdiri dari budak berumur 12 tahun sehingga warga emas berusia 69 tahun turut serta dan bersemangat dalam aktiviti tersebut.


Mural yang siap dilukis sebagai simbolik surau dalam taman dan surau mesra alam flora. 


Pengerusi Surau Al-Khairiah Taman Universiti Wallagonia, Saadullah Mas’od menyatakan, antara aktiviti yang dilaksanakan pada program gotong royong ini ialah mengecat tembok batu serta tiang besi sebagai keceriaan kawasan surau, membuat mural tumbuh-tumbuhan sebagai simbolik surau dalam taman dan penerangan mengenai kepentingan surau bukan sekadar untuk kerja-kerja ibadah semata. 

"Di suraulah ukhuwah sesebuah komuniti kejiranan bermula," ujarnya lagi.

Kehadiran tetamu khas Ishsam Shahruddin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak, Kawasan Air Kuning menyantuni semua peserta program gotong royong “Rakan Muda Rakan Bumi”. 

Beliau menyampaikan ucapan nasihat serta semangat sebagai kata-kata pembakar agar kesedaran tentang persekitaran yang bersih dan sihat mewujudkan komuniti yang ceria dan komuniti yang sejahtera.

Pegawai di JBS Tapah, Megat Hafizal Ahmad pula menyatakan, aktiviti serta program ini sebagai cabaran yang agak mudah untuk anak muda berbanding pelbagai cabaran di luar sana. 

"Pelbagai inisiatif telah dirancangkan oleh jabatan untuk golongan rakan muda belia. 

"Wajarlah rakan muda di mana jua berada digalakkan untuk terus berhubungan erat dan berkolaborasi bersama Jabatan Belia dan Sukan di kawasan masing-masing," katanya lagi.



Sementara itu, menurut Penolong Pegawai di JBS Tapah, Muhammad Aniq Nazmy Zulkifly, bagi mengeratkan silaturahim serta ukhuwah yang sedia ada terjalin dalam kalangan setiap rakan muda dan komuniti seperti di Surau Al-Khairiah Taman Universiti Wallagonia ini, tarikh keramat hari ini bukanlah pertemuan, permulaan dan akhiran. 

Akan ada kesinambungan program-program tertentu memandangkan surau juga mempunyai perkumpulan permotoran serta perkumpulan berbasikal yang sedia ada ditubuhkan, tambahnya.

Program ini pastinya tidak akan berjaya dilaksanakan tanpa kerjasama penuh semua pihak yang ada pada hari tersebut.

Semoga program gotong royong “Rakan Muda Rakan Bumi” anjuran bersama JBS Tapah bersama Surau Al-Khairiah Taman Universiti Wallagonia ini mampu mencapai objektifnya. - KitaReporters



Peserta Rakan Muda Rakan Bumi bergambar beramai-ramai bersama Ishsam Shahruddin, ADUN Air Kuning. 

16
13
0
16
0

Copy Link: