"Perpisahaan itu ada, agar kita sentiasa menghargai sebuah pertemuan." 

Ia ungkapan yang sangat tepat menggambarkan setiap pertemuan pastinya berakhir dengan perpisahan. Lebih terasa apabila ia berlalu hanya selepas beberapa jam bersua muka dan bersilaturrahim. Sungguh, masa itu amat mencemburui setiap saat yang berlalu.

Begitu yang dirasai sekumpulan bekas pelatih sebuah institut kemahiran belia yang sanggup 'merentas sempadan' hanya untuk bertemu rakan-rakan yang sekian lama terpisah. Walaupun hanya beberapa jam, namun ia berjaya mematri sebuah kenangan indah.


Sebahagian daripada bekas pelatih PLBK (sekarang IKBN) Peretak yang sempat merakam kenangan sebelum majlis berakhir.


Selama hampir dua bulan persiapan dilakukan sebelum majlis berlangsung. 

Pihak penganjur yang juga pasangan suami isteri, Ishak Saad dan Nor Zehan Abd Murad berusaha menghubungi seramai mungkin bekas pelatih melalui pelbagai cara termasuk platform media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp. 

Atur cara majlis pula disusun dengan sebaik mungkin memandangkan bekas pelatih kebanyakannya sudah mencecah atau melebihi usia 60 tahun.


Bekas pelatih Kursus Seni Foto bergambar kenangan sebelum majlis berakhir.


Nor Zehan ketika ditemui berkata, Majlis Mini Reunion Ex-Peretak yang berlangsung di Dewan UMNO Flat Sri Labuan, Cheras, Kuala Lumpur pada 02 November 2024 lalu berjaya menyatukan seramai 57 bekas pelatih kursus kemahiran Pusat Latihan Belia Kebangsaan (PLBK) Peretak, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Kini, PLBK di kenali sebagai Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

Ada juga dalam kalangan mereka hadir bersama pasangan masing-masing dan ahli keluarga bagi mengeratkan silaturahim, mengimbau kembali zaman belajar selain bertanya khabar mengenai tahap kesihatan masing-masing. 


Sesi pendaftaran ahli baru Persatuan Alumni IKBN Peretak.

Majlis turut dihadiri Penolong Pengarah  IKBN Peretak, Shahdan Zainal.  

Pertemuan menjadi lebih bermakna dengan kehadiran beberapa bekas tenaga pengajar, Ahmad Yusuf Che Ros (Pegawai Latihan - Kepimpinan), Sonin@Soin Harun (Kelas Jahitan dan Rekaan Fesyen Pakaian), Norhayati Abdul Malek (Kelas Seni Solek dan Dandanan Rambut) dan Maziah Mohd Salleh (Kelas Seni Solek). 


Shahdan Zainal (kanan) menampal pelekat yang tertera tulisan IKBN Peretak pada salah sebuah kenderaan bekas pelatih yang hadir.


Majlis jam 9 pagi dimulakan dengan sesi pendaftaran diikuti aktiviti sembang santai serta majlis bacaan Yasin, tahlil serta doa selamat bagi memperingati beberapa rakan yang sudah meninggal dunia. Turut diadakan acara cabutan bertuah, jualan amal, pendaftaran ahli baharu persatuan alumni, kuiz dan sesi bergambar. 

Hadirin disajikan dengan pelbagai jenis makanan utama (nasi, ayam masak merah, kari daging) dan kuih muih dengan konsep 'pot luck'.


Majlis bacaan Yasin dan tahlil serta doa selamat untuk rakan yang sudah kembali ke rahmatullah.


Menurut Nur Zehan, majlis bertemakan Jejak Silaturrahim itu berjaya menyatukan kembali bekas pelatih yang mengikuti pelbagai kursus kemahiran mulai tahun 1982 hingga 1987 yang berada di seluruh negara.

Katanya, walaupun kehadiran hanya dalam jumlah yang kecil ia tidak menghalang majlis berlangsung dengan meriah.

"Masing-masing ada komitmen. Terima kasih kepada semua rakan yang hadir terutama dari Sabah dan Sarawak. Jauh perjalanan mereka tapi demi sebuah pertemuan, mereka sanggup berbuat demikian sekalipun terpaksa mengeluarkan belanja lebih untuk penerangan.

"Walaupun ada juga yang kelihatan kurang sihat, bertongkat tetapi sanggup hadir semata-mata untuk menyambung silaturrahim," katanya yang juga bekas pelatih Kursus Seni Foto (1/84-2/84).


Ahli Jawatankuasa majlis termasuk Hasnulida Hassan (berdiri-kanan) bergambar kenangan di majlis berkenaan.


Beberapa bekas pelatih yang ditemui berterima kasih kepada penganjur yang komited mengadakan majlis dan bersyukur kerana masih dapat menghadiri majlis berkenaan dalam usia yang semakin meningkat.

Hasnulida Hassan, 61, dari Kota Bharu, Kelantan, berkata pertemuan itu begitu bermakna kerana dapat bertemu dengan peserta kursus yang lebih 'muda' dan mengimbau kenangan lama ketika di Peretak.

"Hanya Allah yang tahu macam mana perasaan bila dapat bertemu kembali kerana ada kawan-kawan yang langsung terputus hubungan setelah 41 tahun tamat kursus. Begitupun, adalah sesekali bertemu dengan kawan satu 'batch' dalam majlis reunion yang diaturkan. 

"Saya juga gembira dapat bertemu semula dengan bekas tenaga pengajar yang telah terpisah begitu lama," katanya yang mengikuti Kursus Seni Solek dan Dandanan Rambut (1/82-2/83).


Nordin Abdullah (kiri) bergambar kenangan dengan beberapa rakan dan bekas tenaga pengajar Kelas Jahitan, Soin Harun (duduk, kiri).


Bekas pelatih Kursus Seni Foto (1/82-2/82) Nordin Abdullah, 62, berkata pertemuan kali ini memberi peluang kepada mereka untuk berjumpa rakan sebaya di samping mengingati rakan yang telahpun meninggal dunia.

"Hanya doa mengiringi sahabat yang sudah kembali menemui Sang Pencipta. Mungkin pertemuan kali ini adalah yang terakhir bagi saya dan mungkin juga kepada rakan-rakan lain memandangkan usia kami yang semakin meningkat.

"Pada mulanya saya menolak untuk hadir kerana ada masalah kesihatan tetapi saya kuatkan semangat semata-mata untuk bertemu rakan yang sudah lama berpisah.

"Terima kasih juga kepada penganjur majlis ini yang sanggup bersusah payah mengadakan pertemuan penuh makna ini," katanya yang menetap di Kuantan, Pahang.


Bekas pelatih Kursus Jahitan bergambar kenangan bersama tenaga pengajar kelas berkenaan, Soin Harun.


Bekas pelatih Kursus Jahitan (2/82 dan 1/83), Habibah Jusoh, 60, pula berkata majlis pertemuan kali ini bukan sahaja mempertemunya dengan rakan sekursus sebaliknya juga bersua muka dengan bekas tenaga pengajar.

"Alhamdulillah. Saya bersyukur sangat dapat berjumpa Tuan Haji Soin. Selepas tamat kursus, saya tidak pernah bertemunya.

"Terasa juga diri ini sudah tergolong dalam warga emas terutama apabila melihat ada kalangan sahabat yang datang dengan pelbagai penyakit. Memang terasa sedihnya," katanya yang menetap di Sentul, Kuala Lumpur. 



Masing-masing membawa kisah hidup yang berbeza, mempunyai pelbagai pengalaman pahit manis dan suka duka, ada yang berjaya mengejar cita-cita dan memiliki kerjaya sesuai dengan kemahiran dimiliki. 

Ada yang sudah bersara namun ada yang masih bekerja. Hampir kesemua mereka sudahpun bergelar datuk dan nenek. Semoga mereka dikurniakan usia yang panjang dan sihat selalu bersama keluarga tercinta. - KitaReporters


Pelekat kenderaan tertera tulisan IKBN Peretak turut diberikan kepada semua bekas pelatih yang hadir sebagai tanda kenangan.

 

15
12
0
8
0

Copy Link: