Seramai 65 buah keluarga terdiri daripada warga emas, ibu tunggal, anak yatim, Orang Kurang Upaya (OKU) dan golongan B40 di Flat Desa Sepakat, Petaling Jaya menerima agihan bantuan makanan, minuman, barangan penjagaan diri dan keperluan bayi daripada Shopee dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia).

Pegawai Bahagian Penjanaan Dana IR Malaysia, Muhammad Firdaus Muhammad berkata, bantuan itu disalurkan menerusi inisiatif pihak Shopee dalam kempen #ShopeeGivesBack x Bakul Rahmah Kasih Sayang yang dijalankan sepanjang bulan Ramadan 2023 lalu. 

Katanya, sumbangan terkumpul daripada setiap pembelian barangan keperluan harian dan penjagaan diri bernilai lebih daripada RM30 melalui kempen tersebut disalurkan kepada empat NGO termasuk IR Malaysia.

“IR Malaysia berbesar hati menerima sumbangan berbentuk barangan daripada Shopee dan inisiatif sebegini dilihat wajar diteruskan dari semasa ke semasa. 

“Matlamat kami pada hari ini adalah untuk meringankan beban keluarga-keluarga penerima manfaat supaya mereka tidak berbelanja lebih untuk membeli barangan dapur.

“Sumbangan ini dijangka dapat digunakan dalam tempoh dua ke empat minggu bagi setiap keluarga,” katanya.



Antara barangan yang diagihkan termasuk biskut, susu, gula, teh, milo, lampin pakai buang dan lain-lain.

Turut hadir dalam majlis penyampaian bantuan tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Mohd Shukor Tahir; Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Desa Sepakat, Ahmad Zulkefli Idris; dan wakil penduduk Flat Desa Sepakat, Ramli Dol.

Sementara itu, salah seorang penerima manfaat yang ditemui, Zanariah Abdullah, 57, berkata, ini merupakan kali pertama beliau menerima sumbangan sejak menetap di flat tersebut.

“Alhamdulillah, hari ini saya gembira sangat-sangat, bersyukur dapat rezeki. Tak kisah makanan atau wang ringgit, saya terima seadanya.

“11 tahun dah suami saya meninggal dunia. Saya membesarkan anak-anak seramai tiga orang berumur dari 10 ke 15 tahun.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Shopee dan semua yang membantu golongan yang memerlukan seperti kami,” kongsi Zanariah yang kini memegang status Orang Kurang Upaya (OKU) dan tidak bekerja setelah terlibat dalam satu kemalangan.

Ketika tinjauan dilakukan, rata-rata penerima manfaat gembira dan berharap agar bantuan dapat diteruskan pada masa akan datang. - KitaReporters/Kenyataan Media


15
16
0
11
0

Copy Link: