Video| Ummati, ummati! Ucapan terakhir Nabi SAW? Sahih atau palsu? Ikuti penjelasan Ustaz Amin Idris!
Published byPerarakan sambutan Maulidur Rasul. - Kredit Foto: Wikipedia
Pada setiap 12 Rabiulawal bulan ketiga dalam takwin Hijrah, umat Islam seluruh dunia akan menyambut Maulidur Rasul atau Maulud Nabi Muhammad SAW. Tarikh tersebut merupakan hari kelahiran junjungan besar umat Islam.
Pada tahun 2023 ini, hari tersebut jatuh pada Khamis, 28
September. Kebanyakan umat Islam khususnya di Malaysia akan memperingati
hari tersebut dengan pelbagai aktiviti seperti perarakan yang diisi dengan
selawat beramai-ramai, ceramah dan sebagainya.
Aktiviti-aktiviti keagamaan ini dilihat satu tradisi yang sangat bagus kerana ia melambangkan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW. Namun, apa yang menyedihkan, setiap kali sambutan Maulidur Rasul, akan munculnya kisah-kisah palsu yang sering menjadi modal dalam pengisiannya.
Paling banyak disebut ialah ucapan terakhir Rasulullah SAW sebelum menghambuskan nafas terakhir yang menyebut "ummati ummati!"
Hal ini telah diulas oleh pengacara televisyen, penulis dan penceramah bebas, Amin Idris dalam Instagramnya.
“Setiap kali sambutan Maulidur Rasul, inilah antara kisah palsu yang sering menjadi modal dalam pengisian. Nabi tak pernah sebut ummati ummati ummati pada akhir hayat Baginda.
"Bagi yang tidak menyebar kisah-kisah palsu atas nama maulid, bagus, terus istiqamah dan tak perlu terasa. Bagi yang pernah menggunakan kisah palsu, sama-sama perbaiki dan gantikan dengan yang sahih,” jelasnya.
Tegas Amin lagi, ucapan terakhir tersebut tiada
dalam mana-mana hadis yang muktabar. Salah faham ini berlaku kerana perkataan ummati
pernah disebut Baginda dalam beberapa hadis lain tetapi tiada kaitan dengan
peristiwa kewafatan Baginda.
“Secara ringkas, berkenaan dengan perkataan “ummati,
ummati” yang bermaksud "umatku, umatku" yang tersebar disebut oleh Nabi SAW
ketika hampir wafat, kisah ini tidak didapati dalam sumber-sumber hadis yang
muktabar di sisi Ahli Sunnah.
“Namun, perkataan itu disebut oleh Baginda dalam beberapa hadis lain yang tidak ada kaitan dengan peristiwa kewafatan Baginda. Antaranya hadis Riwayat Bukhari dan Muslim tentang syafaat pada hari akhirat yang menyebut bahawa Baginda menyebut “Wahai Tuhanku, Ummati, ummati”,” tulisnya.
Selian itu, timbul juga persoalan kenapa Rasulullah SAW tidak mengucap dua kalimah syahadah ketika meninggal seperti mana yang diajar oleh Baginda kepada umatnya. Menurut Amin, soalan ini sudah lama dijawab.
“Timbul persoalan, kenapa Nabi tak mengucap pada
akhir hayat Baginda? Soalan ini sudah lama dijawab oleh al-Hafiz Imam Ibnu
Hajar al-Asqalani yang mana beliau menukilkannya daripada al-Suhaili bahawa di
antara hikmah Nabi SAW mengucapkan kalimah “ اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى
(Ya Allah, Kekasih Yang Tertinggi)” sebelum Baginda SAW menghembuskan nafasnya
yang terakhir adalah kerana kalimah tersebut mengandungi tauhid (iaitu mengesakan
Allah) dan ia (tauhid) diucapkan di dalam hati.
“Ini menunjukkan rukhsah (keringanan) kepada orang lain bahawa tidak disyaratkan untuk mengucapkannya (kalimah tauhid) dengan lisan (lidah).
"Kadang-kadang, sebahagian manusia tidak mampu atau terhalang daripada mengucapnya dengan lidah dan ini sebenarnya tidaklah memudaratkannya sekira hatinya terkandung kalimah tauhid tersebut,” terangnya.
Isu ini turut diulas oleh portal Pejabat Mufti
Wilayah Persekutuan pada tahun 2018 yang lalu.
“Ucapan terakhir Nabi SAW adalah “اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Ya Allah, Kekasih Yang Tertinggi). Selain itu, tidak terdapat percanggahan sama sekali antara ucapan Nabi SAW yang terakhir ini dengan hadis yang menuntut agar dijadikan ucapan terakhirnya “لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ (Tidak ada Tuhan melainkan daripada Allah). Ini kerana, ucapan Nabi SAW telah mengandungi kalimah tauhid iaitu mengesakan Allah SWT,” tulis kenyataan tersebut. - KitaReporters