"Hampir 50 peratus pelajar lepasan SPM sesi persekolahan 2021 tidak berminat sambung belajar. 

KUALA LUMPUR: Seramai 180,680 atau 48.74 peratus pelajar lepasan SPM sesi persekolahan 2021 memilih untuk tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. - 24 May 2023"

Tu laporan Buletin TV3 pada tarikh keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

Banyak persoalan timbul kenapa anak-anak sekolah kita sekarang memilih untuk bekerja dan tidak mahu sambung pelajaran. Tidak sebagaimana anak-anak pada zaman 80-an yang bertungkus-lumus mengejar dunia pendidikan kerana masa itu orang melihat peluang kerja lebih baik jika ada diploma atau ijazah.

Sebagai bukti, Opah sendiripun sanggup ambil pinjaman RM20,000 dari Bank Rakyat untuk menyambung ijazah dalam bidang masscom di UITM sambil bekerja kerana masa itu orang yang ada diploma dan ijazah adalah 'lesen' untuk menilai "harga diri" seseorang sebagai syarat naik pangkat.

Ada sijil mudah nak cari kerja. Hulur saja resume dan kempilkan sijil , kita akan diberi gaji permulaan yang sangat bagus bermula daripada RM1,500 ke atas. 



Opah hanya boleh bercerita tentang kerjaya wartawan saja. Pada tahun 80-an, gaji asas diploma dalam RM950 kemudian dinaikkan menjadi RM1,200-RM1,500 sebulan jika ada ijazah. Tangga gaji ni ditetapkan oleh kerajaan.

Dengan ditambah elaun kereta dari RM250 menjadi RM500 sebulan (ini macam elaun tetap), elaun buku RM80 sebulan, tuntutan kerja lebih masa gred D masa tu dalam RM100 empat jam dan makan pula free di tempat assignment, free gift termasuk minyak wangi yang mahal, baucer dan malah wang  ringgit. 

Kira mewahlah juga. Begitu juga elaun diterima kakitangan kerajaan. Malah ada rumah percuma lagi.

Tidak hairanlah jika semua ibu bapa akan tersenyum apabila anak-anak mereka yang lepasan U atau kolej dan dari luar negara boleh hidup mewah dan mampu pula membiayai ibu bapa dan adik beradik. Berebut orang nak jadi staff gomen, pinjaman mudah diurus dan segala-gala kerajaan sediakan untuk kemudahan mereka.

Masa itu pula biasiswa atau pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional  (PTPTN ) begitu mewah menawarkan tajaan sehingga ke luar negara.




Alih-alih terkini anak-anak sekolah menengah kita dah enggan sambung belajar. Apa masalahnya? Dahlah ada banyak kolej, universiti dan pusat latihan kemahiran. Anak-anak kita pilih untuk bekerja.

Opah tahu, kos sara hidup di bandar semakin tinggi. Sejak wabak Covid-19 melanda dunia dan ramai tenaga profesional ditamatkan perkhidmatan menakutkan anak-anak muda. Ada yang sampai cakap, alah belajar tinggi-tinggi pun akhirnya bawa Grab juga. 

Ada juga anak-anak muda terutama lelaki yang tidak suka "membaca" atau "belajar" memilih setahun dua berdikari cari duit dulu. Boleh sara dan ringankan beban ibu bapa. 

Malah mereka dalam usia remaja ini mahukan berhibur, bercuti dengan kawan-kawan. Jadi bila malu nak minta duit dengan mak ayah, akhirnya mereka carilah duit sendiri.


Belia didedahkan dengan latihan teknikal dan vokasional juga berpeluang untuk berjaya dalam hidup, malah ada yang lebih mendatangkan pendapatan berbanding lulusan akademik. - Kredit gambar: Astro Awani.

Bagi Opah, sejak dulu lagi peratusan pelajar universiti 60 peratus adalah perempuan. Kita akan kehilangan tenaga kerja lelaki yang jika dihitung kemampuan lelaki membuat keputusan lebih baik (logik) daripada wanita yang dikatakan melebihkan emosi. 

Bimbang juga lelaki akan menjadi 'barang dagangan" dibeli oleh wanita berpangkat tinggi semata-mata untuk mendapatkan zuriat.

Koperasi Anak Sains MARA dalam satu risalahnya menjelaskan adanya teknik dan kemahiran yang dipratikkan dalam kehidupan seharian, maka ia akan meningkatkan tahap kemahiran seseorang dalam kebolehkerjaan, kemahiran berkomunikasi, kemahiran kerja berkumpulan dan sebagainya.

Pendidikan vokasional juga mampu menghasilkan lebih ramai sumber tenaga tempatan khususnya tenaga kerja mahir dan separa mahir. Kepakaran tenaga mahir dan separa mahir kian menjadi rebutan pelbagai pihak dengan berlakunya perkembangan Revolusi Industri (IR) 4.0 atau IR 4.0.

Oleh itu, pendidikan vokasional ini merupakan satu platform dalam menghasilkan tenaga kerja yang lebih ramai bagi meningkatkan produktiviti negara seiring dengan keperluan industri pada masa kini.



Sebenarnya kalau tak mahu masuk universiti, Opah sarankan anak-anak muda kita pergi belajar di pusat kemahiran macam di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) atau Institut Kemahiran MARA (IKM) tu, serta kolej kemahiran pertanian atau perikanan anjuran kerajaan. 

Elok kita ada kemahiran asas. Boleh baiki kereta, paip, pasang lampu di rumah atau membuka perniagaan sendiri. Macam skil memasak, memang semua orang boleh buat.

Tapi jika kita belajar kemahiran memasak, kita akan fungsi rempah ratus, campuran ramuan, mengenal asas sayur umpamanya. Atau melatih diri membuat makanan sejuk beku, buat kek, sushi, kuih-kuih, biskut raya yang boleh mendatangkan sumber pendapatan, sama ada bekerja di restoran, hotel, bakeri atau di dapur sendiri.

Satu lagi cadangan Opah ialah sudah masa sekolah menengah adakan kelas pralatihan kemahiran sebelum menghantar anak-anak kita yang tidak baik dalam akademik ke kelas vokasional. 

Maknanya macam Opah dulu ada kelas Sains Rumah Ttangga. Opah belajar menjahit tau!.. Sempat belajar menjahit apron dan memasak. Masa peperiksaan akhir Opah masak kari ayam dan buat kuih beledo (agar-agar).

Masa tu Opah belajar di sekolah menengah khas untuk anak-anak dara atau Sekolah Menengah Puteri di Kelantan di zaman pentadbiran kerajaan negeri itu cuba mengasingkan pelajaran menengah untuk lelaki dan perempuan. - KitaReporters


Sektor pertanian pun kini dah canggih, guna keupayaan teknologi tinggi seperti robot yang perlukan kemahiran teknikal juga.

14
12
0
11
0

Copy Link: