Bagi hilangkan tekanan perasaan! Warga emas dibawa beriadah, berlibur! Program Hari Keluarga Mahmudah!
Published byPetugas dan sukarelawan PJMM bekerjasama membawa warga emas yang berkerusi roda menaiki bas.
MEREKA juga ingin melihat dunia luar apabila lebih tujuh tahun tiada kegiatan beriadah diadakan sudah pasti memberi tekanan perasaan kepada warga emas tersisih yang menghuni Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) di Semenyih, Selangor.
Seharusnya anak-anak
yang memainkan peranan serta tanggungjawab untuk membawa ibu bapa mereka
sesekali keluar beriadah untuk berehat daripada terperap di dalam bilik sahaja,
tetapi keadaan itu hanya menjadi impian kepada warga emas di PJMM.
Rata-rata mereka yang menghuni di PJMM selain tiada waris, ada pula sesetengahnya diabaikan ahli keluarga khusus anak-anak, dipinggirkan menjadi gelandangan sebelum diselamatkan serta ditempatkan di pusat berkenaan selepas dirujuk pihak berkenaan.
Lagi cerita-cerita menari berkaitan kehidupan warga emas
Warga emas bersama-sama, ahli jawatankuasa, petugas dan sukarelawan merakam kenangan sebelum menyertai pelbagai acara pada Program Hari Keluarga Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, di D’Nelayan Beach Resort, Pengkalan Balak, Melaka, 15 Februari 2023.
Pihak
pengurusan PJMM dengan sokongan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan
kerajaan (NGO), individu serta sukarelawan yang prihatin membawa 30 penghuni
untuk beriadah dalam Program Hari Keluarga PJMM bersama Ahli Jawatankuasa,
Petugas dan Sukarelawan pusat berkenaan di D’Nelayan Beach Resort, Pengkalan
Balak, Melaka pada 15 Februari 2023.
Program
semalam dua hari itu diserikan dengan kemeriahan pelbagai acara sukaneka,
senamrobik, makan malam dan cabutan nombor bertuah yang mengabungkan warga emas dengan
petugas serta sukarelawan ternyata amat menghiburkan terutama penghuni
terbabit walaupun sebahagian besarnya terpaksa berkerusi roda atau bertongkat.
Pengerusi PJMM, Azman Rasman, berkata mereka lupakan semua kesusahan serta kepenatan apabila terpaksa memapah, mengangkat warga emas yang berkerusi roda atau memimpin mereka menaiki serta turun dari bas untuk ke resort itu.
Antara wakil korporat, NGO dan individu yang prihatin menerima sijil penghargaan PJMM.
Menurutnya, petugas, sukarelawan dan individu prihatin yang turut serta tidak merungut kerana terpaksa bergabung tenaga demi keselesaan warga emas terbabit untuk melihat dunia luar, pemandangan cantik tepi pantai sambil menghirup udara segar yang sekali gus menenangkan jiwa mereka.
Jelasnya, apabila waktu makan tengah hari, minum petang dan makan malam warga emas terbabit tetap disantuni dengan baik sebagaimana berada di PJMM malah petugas dan sukarelawan mengutamakan mereka dahulu untuk menjamah menu disediakan.
Azman (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada NGO Aqrab Al-Istiqamah.
“Sebagai
sebuah pusat jagaan tidak berbayar yang diwujudkan atas dasar untuk memberi
pembelaan dan usaha kami tidak didendangkan, warga emas ini tetap disantuni
dengan sempurna malah mereka bertuah apabila pelbagai pihak seperti agensi
korporat, NGO dan individu prihatin sentiasa menginfakan bantuan.
“Dalam
situasi tertentu PJMM juga terpaksa menagihkan bantuan dengan banyak pihak
terutama dari segi keperluan harian, sumber makanan dan sebagainya untuk warga
emas ini tidak terbantut kerana kesihatan mereka amat diutamakan.
“Seperti program ini berjaya diadakan sebahagian besar hasil sumbangan pihak dan mereka yang memberi sokongan kerana prihatin mahu melihat warga emas terbabit berlibur luar dari pusat jagaan,” katanya.
Antara pihak yang terbabit memberi sumbangan bagi menjayakan program berkenaan selain daripada individu perseorangan termasuklah Group Hambamu, Pertubuhan Sukarelawan Kasih, Kelab Sukarelawan Hospital Kajang, XMRSM KT82–86, Aceakl Property Management Sdn Bhd, Aqrab Al Istiqamah dan sebagainya.
Warga emas tetap bersemangat menyertai senamrobik.
Sementara itu, seorang warga emas terbabit, Mohammad Lim Abdullah, berkata dia sememangnya sudah lama menunggu peluang untuk keluar beriadah dengan berlibur jauh dari pusat jagaan itu bagi mengurangkan rasa bosan terperap dalam bilik.
Menurutnya, hendak mengharapkan kepada anak atau waris bawa berjalan-jalan hanya impian sahaja kerana dia sebatang kara di PJMM dan jika ada saudara mara pun tidak tahu di mana mereka semua berada sekarang.
“Saya terpaksa berkerusi roda atau bertongkat jika ingin berjalan kerana kaki di sebelah kiri menggunakan kaki palsu kerana sudah dipotong akibat penyakit kencing manis,” ujarnya.
Mohammad Lim
Rakan beliau, Elias Othman, berkata walaupun masih mampu berjalan namun tidaklah segagah dahulu kerana kini dia semakin uzur tetapi tetap berasa gembira dapat menyertai petugas dan sukarelawan dalam sukaneka serta senamrobik.
“Dalam permainan tertentu mereka terpaksa mengingatkan saya apa yang perlu dibuat dan seronoknya apabila dapat bersaing dengan kumpulan yang bertanding.
“Jika saya sudah tiada nanti, saya berharap pihak pengurusan PJMM dapat meneruskan program ini untuk rakan-rakan yang masih ada kerana beriadah mampu memberi kesan dalam menghilangkan tekanan perasaan,” katanya. - KitaReporters
Elias Othman
Warga emas, petugas dan sukarelawan turut mengikuti tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Alias Ahmad.