Anak-anak penyeri masjid! Daurah Anak Cemerlang bina generasi pewaris al-Quran, pencinta rumah Allah!
Published byLayan kanak-kanak dengan lemah lembut kerana pada masa depan, mereka adalah penyeri rumah Allah.
KEHADIRAN kanak-kanak di masjid atau surau, kadangkala merimaskan. Justeru, ada segelintir jemaah tidak senang mereka ada di rumah Allah.
Bagi mereka, kanak-kanak terbabit hanya membuat bising, berlari ke sana sini dan mengganggu orang lain yang melakukan ibadat terutama solat dan membaca kitab pengajian.
Tapi, ramai tidak sedar, mereka adalah penyeri! Bayangkan suatu hari nanti, masjid tidak meriah lagi dengan gelak tawa kanak-kanak yang berlari ke sana sini, bermain dan kelibat mereka terus hilang daripada radar rumah Allah.Adakah ketika itu kita akan menyesal kerana selama ini kita tidak mesra dengan mereka sehingga rumah Allah sunyi, muram dan tidak berseri lagi?
Kanak-kanak ini walaupun tidak bersolat tapi mereka belajar kaedah pendidikan secara tidak formal menggunakan pendengaran dan penglihatan.
Percayalah, jika ibu bapa dapat membawa anak-anak ke masjid, sekurang-kurangnya mereka ini didik untuk hadir ke masjid, tahu bahawa tempat itu bukan menakutkan dan tidak berada di tempat lain yang tidak berfaedah.
Kanak-kanak ini walaupun tidak bersolat tapi mereka belajar kaedah pendidikan secara tidak formal apabila mendengar surah al-Fatihah dibacakan berkali-kali, sekali gus meninggalkan kesan pada hati mereka.Maka, bermula proses menghafal, memahami dan memerhati pergerakan solat yang dilakukan jemaah surau atau masjid. Inilah falsafahnya!
Peserta Program Daurah Anak Cemerlang bergambar kenangan di hadapan Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Menyedari perlu usaha menggerakkan dan menarik minat kanak-kanak ke masjid dan surau, Kaffah Kids dengan kerjasama Masjid Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor menganjurkan Program Daurah Anak Cemerlang bagi memastikan kesinambungan mereka sebagai generasi pencinta rumah Allah terus subur.
Pengarah Program Daurah Anak Cemerlang, Nur Auni Arina Mohd Amir, berkata program ini bukan satu paksaan tapi secara lembut dan berhemah mengajak kanak-kanak mendekati dan cinta kepada masjid kerana mereka adalah generasi yang akan mengisi serta mengimarahkan masjid dengan aktiviti ibadat dan kemasyarakatan pada masa depan.Teacher Auni mengajar peserta Daurah Anak Cemerlang mengaji muqaddam dan al-Quran.
Beliau yang juga lebih mesra dengan panggilan Teacher Auni berkata, modul yang disediakan mengandungi pelbagai aktiviti yang mereka suka dan pemilihan masjid sebagai lokasi program supaya tiada lagi perasaan kekok apabila berada di sini sama ada untuk beribadat, bermain atau belajar. Sebaliknya, kehadiran mereka adalah satu rahmat.
"Melalui Program Daurah Anak Cemerlang, kami mengajak dan mengajar mereka solat dhuha selepas pendaftaran dan bersarapan. Jika belum pernah dilakukan sebelum ini, kami tunjuk dengan penuh kasih sayang bagaimana melakukan solat berkenaan, insya-Allah lama kelamaan mereka akan biasa dan suka melakukan. "Selepas itu, kita ajar mereka mengaji mukaddam dan al-Quran kerana ia adalah rutin mereka setiap hari dan perlu dilakukan berterusan supaya hati mereka sentiasa ingat al-Quran," katanya selepas selesai sesi mengaji untuk peserta Program Daurah Anak Cemerlang di Masjid Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor.Menyanyi dan muzik adalah sebahagian elemen yang diterapkan dalam program ini bagi menarik minat mereka mendekati masjid.
Seramai 90 kanak-kanak berusia di antara lima hingga 12 tahun mengambil bahagian dalam program itu dan ini kali pertama Kaffah Kids bekerjasama dengan Masjid Hasanah. Sebelum ini, ia pernah diadakan di beberapa masjid di Tronoh dan Manjung, Perak serta Shah Alam, Selangor.
Menurutnya, bagi membolehkan mereka kenal mengenal serta tidak kekok bergaul sepanjang program sehari itu, pihaknya mengadakan sesi ice-breaking (atau berkenal-kenalan) tapi apabila melakukan aktiviti berkumpulan, mereka akan diasingkan mengikut jantina.
Tiga peserta ini tekun menyiapkan robot mereka mengikut buku panduan.
"Setiap aktiviti dilakukan secara santai, contohnya membuat bulatan, permainan "duduk" dan "bangun" supaya mereka tidak merasa seperti berada dalam kelas. Elemen hiburan seperti muzik dan nyanyian membuatkan mereka suka untuk terbabit secara langsung.
"Dalam sesi bercerita atau "story telling", kami membawa mereka mengembara ke bumi Gaza yang sedang bergolak secara imaginasi melalui tayangan video dan lakonan, ada yang menjadi watak rakyat Palestin dan Israel. Ini membolehkan mereka lebih faham situasi yang berlaku di negara terbabit," katanya. Beliau mengakui, selain sesi "DIY Playdough Palestine Flag", peserta yang mengambil bahagian dalam program itu amat suka aktiviti memanah dan robotik kerana ia menguji fizikal serta kreativiti mereka.Aktiviti memanah dan robotik amat disukai anak-anak.
Aktiviti memanah pula, katanya adalah sunah Rasulullah SAW dan petugas dari Kaffah Kids akan menceritakan kepada kanak-kanak itu kebaikan memanah kepada kesihatan tubuh selain mengajar mereka fokus supaya anak panah yang dilepaskan tepat pada sasaran.
Pada akhir program, kanak-kanak yang mengambil bahagian pada program Daurah Anak Cemerlang itu diberikan sijil penyertaan sebagai tanda kenangan apabila mereka meningkat dewasa. Majlis itu telah disempurnakan oleh Penolong Setiausaha Masjid Al-Hasanah, Mohd Helmy Rizal Salahuddin. - KitaReportersInilah sebahagian kanak-kanak yang akan menjadi generasi al-Quran dan pencinta masjid dan surau.
Nur Auni Arina Mohd Amir (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Mohd Helmy Rizal Salahuddin.