PRESTASI cemerlang DRB-HICOM dalam sektor automotif turut menyuntik semangat syarikat korporat berkenaan untuk terus menyantuni mereka yang kurang berkemampuan dan ditimpa musibah dalam menjalani kehidupan.

Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Strategik Kumpulan DRB-HICOM, Nur Balkish Hood, berkata sehubungan itu setiap tahun syarikat itu sentiasa mengadakan program amal kebajikan bagi berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan pembelaan.

Menurutnya, program yang dianjurkan itu pula bukan hanya tertumpu kepada satu tempat atau golongan sahaja malah secara menyeluruh membabitkan dengan menyantuni rumah anak yatim, keluarga asnaf, miskin, ibu tunggal, pusat jagaan juga melawat pesakit di hospital.

Tambahnya, paling penting tumpuan juga diberikan kepada keluarga kakitangan syarikat yang memerlu pembelaan atau bantuan termasuklah meringankan bebanan mereka menanggung pengajian anak ke pusat pengajian tinggi dan sebagainya.


Chairil Amir Sharifudin (dua dari kanan) melakukan gimik penyerahan sumbangan untuk PJMM kepada Azman sambil diperhatikan Nur Balkish Hood (kanan), Muhammad Syafiq Mohaidin dan Mohiadin Bahado (kiri).


“Dalam mengadakan pelbagai program untuk membantu masyarakat di luar, syarikat tetap ambil peduli membela nasib kakitangan kerana mereka merupakan aset penting bagi kemajuan syarikat,” ujarnya ketika ditemui pada Program Ukhuwah Syawal DRB-HICOM di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, pada 2 Mei 2024.

Program acara tahunan itu yang disertai 30 sahabat DRB-HICOM turut menaja jamuan hari raya untuk 47 warga emas PJMM disamping dipenuhi dengan acara beramah mesra dengan penghuni, agihan duit raya dan menyantuni mereka yang terlantar kerana keuzuran.

Turut hadir pada program itu, Ketua Bahagian Komunikasi Strategik Kumpulan DRB-HICOM, Chairil Amir Sharifudin, Pengerusi PJMM, Azman Rasman, Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado, Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin dan Pengurus PJMM, Sazali Mohiden.

Nur Balkish, berkata program yang diadakan itu turut membuka minda kakitangan syarikat kepada mereka yang kurang bernasib baik dan amat memerlukan perhatian serta keprihatinan semua pihak untuk membantu.

Katanya, syarikat amat berharap program itu dapat meningkatkan jati diri kakitangan syarikat untuk menjadi seorang lebih bertanggungjawab termasuk kepada mereka yang terpaksa hidup dalam kesempitan serta menagih kasih sayang dan perhatian apabila dibuang atau disisih ahli keluarga.


Sahabat DRB-HICOM merakam kenangan bersama-sama warga emas selepas selesai mengadakan Program Ukhuwah Syawal DRB-HICOM di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, pada 2 Mei 2024.


Chairil ketika berucap pada program berkenaan, berharap PJMM terus dilimpahi rezeki dan lebih banyak pihak akan membantu meringankan bebanan operasi mereka yang amat bertanggungjawab menyantuni serta menjaga warga emas tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Menurutnya, warga emas yang menghuni PJMM itu dengan berlatarbelakangkan pelbagai kisah silam yang sedih terutama apabila disingkirkan oleh ahli keluarga sendiri selain hidup sebatang kara amat bertuah dijaga dan diuruskan dengan baik oleh petugas serta sukarelawan pusat jagaan berkenaan.

Tambahnya, walaupun masih ada kelengkapan atau kemudahan yang belum dapat disediakan PJMM, namun mereka warga emas tetap diberi layanan sempurna terutama bagi memastikan berasa selesa dan tenang menjalani kehidupan harian di situ.


Chairil menghulurkan sumbangan duit hari raya kepada seorang warga emas.


Jelasnya, program yang jalankan itu secara tidak langsung membuka peluang kepada sahabat DRB-HICOM untuk menyelami kehidupan komuniti masyarakat di luar serta mendekati mereka dalam memahami kesulitan atau musibah yang terpaksa dihadapi. 

“Ini akan melahirkan keinsafan kepada mereka kerana apabila menyedari masih ada segelintir masyarakat di luar masih dihimpit oleh pelbagai permasalahan dalam meneruskan kehidupan manakala kita sendiri belum pasti bagaimana kesudahan hidup nanti.

“Saya berdoa semua warga emas di PJMM diberi kesejahteraan kesihatan begitulah juga dengan petugas serta sukarelawan supaya dapat terus menyantuni mereka,” ujarnya lagi.


Sahabat DRB-HICOM mengagihkan juadah jamuan hari raya kepada warga emas sambil bertanya khabar.


Sementara itu Azman, berharap PJMM terus mendapat sumbangan serta infak daripada pelbagai pihak supaya dapat terus beroperasi untuk menjaga dan mengurus warga emas daripada pelbagai bangsa selain menghadapi masalah kesihatan serta uzur.

Menurutnya, PJMM juga akan menghantar surat kepada DRB-HICOM untuk meminta bantuan kenderaan pelbagai guna dan sebagainya bagi kegunaan membawa warga emas ke pusat kesihatan atau mengangkut barangan yang disumbangkan penderma seperti peralatan kesihatan, barangan makanan keperluan asas dan sebagainya.

“Sesetengah kenderaan yang dimiliki sekarang tidak berapa sesuai untuk membawa warga emas mendapatkan rawatan lanjutan atau mengangkut barang besar yang disumbang penderma untuk digunakan di pusat ini,” katanya.


Azman merakamkan ucapan terima kasih kepada DRB-HICOM dengan menyerahkan cenderamata dan sijil penghargaan kepada Chairil dan Nur Balkish dengan harapan permohonan mendapatkan bantuan kenderaan diberi perhatian.


Chairil, Nur Balkish dan Sahabat DRB-HICOM mendengar taklimat ringkas mengenai warga emas yang terlantar di PJMM dan urusan penjagaan yang dilakukan daripada Azman dan Muhammad Syafiq.

15
16
0
12
0

Copy Link: