Guru insan mulia yang mengajar anak murid menjadi manusia berilmu. Tiada guru, adakah kita mampu mengeja ‘ABC’ dan seterusnya membaca? Peranan guru dalam sesebuah negara sangat penting kerana merekalah yang membentuk dan mencorak masa depan.

Tidak kiralah guru tersebut pada peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah atau pusat pengajian tinggi, peranannya tetap sama iaitu mendidik para pelajar. 

Justeru, tidak hairanlah ramai yang memilih kerjaya guru sejak dulu lagi. Setiap kerjaya, pasti ada cabaran dan getirnya. Begitu juga dengan profesion guru.

Bagi seorang tenaga pengajar, Siti Suhaila Samian, 45, yang berasal dari Segamat, Johor dan kini menetap di Pasir Gudang sejak 2001, setiap getir yang dilalui, dianggap pengalaman berharga.

Ibu kepada empat orang anak ini bertugas sebagai pensyarah dalam bidang pendidikan khas. Dia mengajar pelajar-pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) pekak dalam Program Sijil Kemahiran Hotel dan Katering dan telah berada di dalam bidang ini hampir 22 tahun (sejak 2001).


Siti Suhaila Samian akui semakin hari dia semakin jatuh cinta dengan kerjayanya ini.


Menurut Siti Suhaila, dia memilih kerjaya ini kerana mempunyai ahli keluarga OKU. Sungguhpun pada mulanya dia memilih kerjaya ini kerana kurang persaingan, namun akhirnya dia jatuh cinta dengan kerjaya tersebut.

“Saya mempunyai ahli keluarga yang merupakan individu OKU. Anak lelaki saya berusia 15 tahun (jika hayatnya masih ada). Dia meninggal dunia pada tahun 2015, pada usia tujuh tahun. Merupakan anak OKU Cerebral Palsy with 2nd Chromosome Duplication Syndrome and Global Development Delayed (GDD).

"Asalnya permohonan melanjutkan pengajian dalam bidang ini kerana tiada persaingan tinggi dan harapan ingin memasuki institut pengajian tinggi (IPT).

"Walau bagaimanapun, dalam tempoh pengajian, berdepan dengan komuniti OKU pendengaran khususnya, menjadikan saya jatuh cinta dengan bidang ini dan masih bertahan hingga ke hari ini,” ceritanya.

Berbeza pelajar, berbeza cara mengajar

Mengajar pelajar-pelajar OKU sememangnya berbeza dengan pelajar-pelajar normal. Pengalaman mengajar selama puluhan tahun membuat Siti Suhaila dapat membaca setiap karakter para pelajarnya.

Menurut isteri kepada Ruzaini Abdul Razak ini, kesabaran amat diperlukan dalam mendepani para pelajar OKU. Sungguhpun agak mencabar, dia akui berasa seronok kerana dapat bertemu dengan pelbagai jenis pelajar dari seluruh negara.


Siti Suhaila mengajar pelajar-pelajar OKU pekak dalam Program Sijil Kemahiran Hotel dan Katering. 


“Setiap semester saya akan bertemu dengan pelajar-pelajar baharu yang mempunyai karakter serta kemampuan yang berbeza. Ada yang mahir berbahasa isyarat dan sebaliknya.

"Ada yang dapat mengikuti pengajian dengan mudah dan ada juga yang memerlukan kesabaran tinggi untuk memberikan pendidikan kepada mereka. 

"Zahirnya kelihatan sama, namun berbeza. Berbeza cara hendak menangani setiap individu. Belajar karakter pelajar. Belajar mendepani kerenah ahli keluarga mereka juga.

"Seronoknya sebab saya bertemu dengan pelbagai jenis pelajar dari seluruh negara dengan cara didikan yang berbeza. Saya dapat belajar banyak bahasa isyarat baharu. Secara tak langsung, mereka juga guru terutama dalam memantapkan kemahiran berkomunikasi,” katanya.

Tinggi nilai hormat

Walaupun pelajar-pelajar OKU mempunyai kekurangan berbanding pelajar normal, namun mereka sangat menghormati para pendidik. Sememangnya mendidik mereka memerlukan daya fikir yang kreatif.

Bercerita lanjut mengenai pengalamannya, ujar Siti Suhaila dia pernah berdepan dengan pelajar yang degil dan ada juga yang mahu membunuh diri.

Struggle bila nak sampaikan maklumat, namun sukar difahami kerana tahap intelektual yang berbeza. Kita kena kreatif untuk menyampaikan pengajaran sebab pelajar-pelajar pekak ini adalah golongan psikomotor. Suka melihat, buat, berlakon, simulasi dan tunjuk cara untuk memberikan kefahaman kepada mereka.

"Saya berinteraksi menggunakan bahasa isyarat sebagai medium komunikasi utama. Kemahiran yang diperolehi sejak zaman pengajian dapat diaplikasi dalam tugas-tugas mengajar dan berinteraksi dengan OKU pendengaran dalam pelbagai situasi.


 Bahasa isyarat adalah medium komunikasi utama ketika mengajar. 


"Selain itu saya pernahlah berhadapan dengan isu sikap pelajar yang degil, keras kepala, cuba nak bunuh diri, mogok lapar, nak terjun bangunan dan sebagainya. Namun satu hal yang istimewa, pelajar-pelajar ini sangat menghargai para pensyarah yang dapat berkomunikasi dengan baik bersama mereka.

"Mereka kaya dengan nilai hormat yang tinggi kepada pensyarah. Malah menjaga hubungan baik dengan pensyarah. Malah ada bekas pelajar dari tahun 2002 masih berhubungan sehingga ke hari ini. Kiranya dah ada ramai cucu,” jelas beliau.

Bagi seorang guru tiada yang lebih menggembirakan selain melihat pelajar atau bekas pelajar berjaya dalam kerjaya masing-masing. Siti Suhaila bangga dan tumpang gembira apa bila melihat pelajar-pelajarnya berjaya selepas menamatkan pengajian dan membina kerjaya dalam bidang masing-masing.

Antara bekas pelajarnya yang berjaya ialah Cef Leen yang kini memangku jawatan sebagai Ketua Cef Pastri di Gastrohub Nilai dan menjadi contoh serta inspirasi kepada warga OKU pendengaran lain.

Malah ada juga pelajar-pelajar yang berjaya menempatkan diri dalam agensi kerajaan dan melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat Sarjana Muda melalui laluan pendidikan inklusif yang ditawarkan. - KitaReporters


Tiada yang lebih menggembirakan buat seorang guru melihat anak-anak murid berjaya.

12
14
0
19
0

Copy Link: