TV3 Malaysia melalui status hantaran (posting) Facebooknya telah menimbulkan kemarahan Persatuan Perawat dan Pesakit Skizofrenia dan Pertubuhan Sokongan Kesihatan Mental Madani (MMHSO) apabila mereka menulis dalam platform media sosialnya seperti berikut: "Very scary ye kalau jumpa orang yang ada skizofrenia ni, hurmmm minta dijauhkan."  

Ayat berkenaan adalah sebagai satu tarikan atau elemen sensasi bagi rancangan Fail Mahkamah TV3 yang mengisahkan mengenai pembunuhan yang dilakukan oleh pesakit mental jenis skizofrenia. 

Bagaimanapun ramai perawat dan penjaga pesakit skizofrenia berpendapat sebagai media arus perdana TV3 tidak sepatutnya menggunakan ayat-ayat yang boleh menampakkan satu penghinaan dan satu pandangan stereotaip yang mengatakan pesakit skizofrenia ini seolah-olah semua berpotensi menjadi pembunuh atau "killer".

(Nota Pengarang: Dalam perkembangan terbaharu, hantaran tersebut telah dibetulkan).


Komen Nur Ain Mustapa seorang peguam 


Seorang peguam dan juga sukarelawan MMHSO, Nur Ain Mustapa yang membalas dalam ruangan komen TV3 memberitahu, kapsyen atau keterangan gambar yang digunakan untuk mempromosi rancangan TV3 itu sangat tidak sesuai. 

Ini kerana dengan mengatakan takut jika jumpa orang sakit skizo ia seolah olah telah menghina pesakit dan keluarganya. Ayat- ayat itu telah mengguris perasaan pesakit skizo dan ahli keluarga mereka. 

Menurut Nur Ain lagi, kenyataan Admin TV3 Malaysia itu menggambarkan seolah-olah kesemua pesakit skizofrenia adalah pembunuh dan bakal pembunuh.

Nur Ain dalam komennya juga memberitahu dia faham ayat seumpama ini adalah berbentuk click-bait dan elemen sensasi diperlukan bagi rating TV3, namun Admin mesti tahu bahawa tidak kesemua pesakit skizofrenia mempunyai 'violent tendency' atau unsur keganasan.  

Malahan laporan penyelidikan yang disediakan oleh Cambridge Univerity pada 2002 menyatakan hanya kira-kira 8% jenayah yang berlaku di dalam masyarakat mempunyai hubung kait dengan diagnosis skizofrenia. Malah orang normal juga boleh melakukan pembunuhan dalam situasi yang tak diduga. 



Bagi beliau apa yang dinyatakan oleh Admin ini merupakan satu stigma dalam masyarakat, berkenaan salah faham berhubung kait dengan diagnosis skizofrenia ini. 

Nur Ain meminta Admin Facebook TV3 Malaysia selaku satu cabang media terbesar di Malaysia dan sebuah media arus perdana meminda dan atau memadam kapsyen berkenaan dan tidak mempengaruhi masyarakat Malaysia dengan perkara seumpama ini.

Menurut beliau lagi, adalah lebih baik jika satu sorotan media dapat dilakukan oleh organisasi-organisasi yang mendukung dan bergerak rapat dengan pesakit-pesakit skizofrenia ini supaya masyarakat lebih faham mengenai skizofrenia dan apa yang masyarakat boleh bantu untuk mengembalikan pesakit yang telah sembuh ke pangkuan masyarakat. 

Ini pada pandangan beliau adalah lebih baik daripada menjauhi dan menjatuhkan stigma yang tidak perlu kepada pesakit skizofrenia. 



Sementara itu Pengerusi Pertubuhan Kesihatan Mental Madani (MMHSO), Razali Tumirin berpendapat, pihak media arus perdana seperti TV3 mestilah peka pada sensitivity masyarakat apabila membuat liputan mengenai pesakit mental seperti skizofrenia ini.

Maklumat yang salah akan memberikan impak yang negatif kepada golongan pesakit skizofrenia dan ahli keluarga mereka. Menurut beliau, pesakit skizofrenia bukan seperti yang digambarkan dalam kisah di Fail Mahkamah berkenaan. Malah ada yang normal dan boleh menjalani kehidupan seperti biasa dengan makan ubat.

Banyak suduit positif pesakit skizofrenia tidak diceritakan kepada masyarakat. Apabila media kerap memaparkan sisi negatif dan tidak baik kepada masyarakat, pesakit dan keluarga mereka semakin tertekan. Mereka semakin sukar untuk hidup dengan masyarakat dan sering dipandang serong. 

Sepatutnya media dan masyarakat sama-sama membantu pesakit skizofrenia kembali berkhidmat kepada masyarakat. Ramai tidak tahu pesakit skizofrenia adalah golongan cerdik pandai yang mengalami kecelaruan dalam otak mereka. 

Apapun ramai dalam kalangan pesakit yang telah sembuh membuktikan mereka adalah golongan orang yang rajin dan tekun dalam menjalankan amanah yang diberikan, malah mereka lebih cemerlang dari orang normal. 

Sama-samalah kita bantu pesakit skizofrenia supaya mereka tidak tersisih dan di pandang negatif oleh masyarakat.

 

10
8
0
17
3

Copy Link: