Semakan kehakiman terhadap SKMM ditolak! Permohonan peguam terhadap kes hantaran Facebooknya gagal!
Published byPermohonan seorang peguam untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai sekatan yang dikenakan terhadap hantaran (posting) dalam Facebooknya pada 2024 telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di Georgetown pada 23 Januari 2025.
Menurut laporan Bernama, Hakim Datuk Anand Ponnudurai telah membuat keputusan penolakan tersebut.
Menurut peguam A. Srimurugan yang mewakili peguam Dr Shamsher Singh Thind, mahkamah telah memutuskan bahawa keputusan untuk mengalih keluar hantaran Shamsher Singh telah dilakukan oleh Facebook dan bukan SKMM, maka ia tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.
Menurut beliau, hakim berpendapat bahawa tindakan SKMM bukanlah "keputusan" yang boleh dikaji semula oleh mahkamah, kerana SKMM hanya mengeluarkan permintaan untuk tindakan, manakala keputusan menyekat hantaran itu dibuat oleh Facebook sendiri.
"Hakim berkata platform media sosial (dalam kes ini Facebook) mempunyai kata putus dalam pengawalan kandungan, walaupun diminta oleh pengawal selia seperti MCMC" kata peguam itu ketika dihubungi Bernama.
Pada 4 Jun 2024, Shamsher Singh memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk membatalkan permintaan pentadbiran yang menyebabkan siaran Facebooknya disekat untuk pengguna Malaysia, pada Mei 2024.
Dalam permohonannya, peguam itu mendakwa SKMM telah melanggar kebebasan bersuara dengan menyekat hantaran tersebut.
Shamsher Singh juga membuat permohonan yang mahu mahkamah mengisytiharkan tindakan pengawal selia itu menyalahi undang-undang dan mahu SKMM menggugurkan "arahan" kepada Facebook yang meminta hantaran itu disekat. - KitaReporters/Bernama