Silaturahim Serumpun "Uang Kite Gale"! Bina kesatuan warga Bengkulu dengan pewaris di Malaysia!
Published bySilaturahim Serumpun "Uang Kite Gale" (Orang Kita Semua) bertemu jua. Orang Bengkulu bertemu pewarisnya di Sungai Choh Rawang, Selangor.
SELEMPANG atau syal bermotif kain batik Besurek khas Bengkulu atau lebih dikenali juga sebagai 'Rido' akan dijadikan bahan warisan negara terutama simbolik bagi warga Bengkulu di Malaysia kerana pakaian itu sebahagian daripada tradisi pakaian Rasulullah.
Presiden Persatuan Bengkulu Malaysia, Dato’ Zainal Abidin Sakom, berkata sejarah selempang itu bukan saja dijadikan pengganti pakaian untuk bersolat tetapi juga "senjata" kerana pada masa dahulu, apabila diletakkan batu di dalam selempang itu juga ia menjadi senjata yang sangat efektif.
Malah kain itu juga boleh digunakan untuk mencekik lawan ketika beradu nyawa di saat-saat genting.
Zainal Abidin Sakom segak mengenakan selempang merah warisan Bengkulu.
Zainal Abidin berkata pihaknya akan berbincang lanjut mengenai penetapan nama selempang itu kerana sangat teruja apabila mengetahui selempang itu banyak fungsinya yang bukan saja untuk tujuan sebagai kemudahan melakukan acara agama malah keselematan diri dan lambang perhiasan bagi lelaki gagah perkasa.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis santai Silaturahim Serumpun "Uang Kite Gale" (Orang Kita Semua) di SkyCastle di Sungai Choh, Rawang, Selangor pada 2 Februari 2025.
Hi-tea itu sempena meraikan kedatangan 20 orang delegasi Bengkulu yang diketuai Ketua Badan Musyawarah Adat Provinsi Bengkulu, Drs. H.S. Effendi MS.
"Istilah "Uang Kite Gale" melambangkan perpaduan dan kesatuan komuniti Bengkulu yang merentasi sempadan dan membawa orang bersama di bawah satu identiti yang dikongsi.
"Ketika saya melawat Bengkulu dulu terasa seolah-olah disambut oleh penduduk satu wilayah. Hari ini terasa "kecilnya kami" bila meraikan kedatangan rombongan yang ramainya pembesar Bengkulu Indonesia disambut oleh sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) saja," kata Zainal Abidin.
Zainal Abidin merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk kawasan Batang Kali, di daerah Hulu Selangor dan pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK).
![](https://media.wepg.online/public/images/user_10268/1738815806_0602251202232600000067a4393e7ec06.jpg?x-oss-process=image)
Drs. H.S. Effendi, MS kelihatan segak bergaya dengan selempang Bengkulu.
Wilayah Bengkulu atau Provinsi Bengkulu, salah satu wilayah yang terletak di Sumatera Bagian Selatan, pesisir barat pulau Sumatera. Kota Bengkulu adalah ibu kota bagi provinsi ini.
Bengkulu memiliki 10 wilayah pentadbiran yang dibagi menjadi 9 kabupaten dan 1 kota. Luas Provinsi Bengkulu 20,130.21 kilometer per segi, dengan purata penduduk mencapai 2,086,275 jiwa pada hitungan terakhir pada tahun 2023.
Acara 'Silaturahim Serumpun Uang Kite Gale' bertujuan mendedahkan kekayaan budaya serumpun dan menghidupkan kembali semangat orang Bengkulu dengan pewarisnya di Sungai Choh, Rawang sebagai mengembalikan kenangan lama dan kesatuan komuniti Bengkulu di kedua-dua negara kekal utuh.
Orang Bengkulu sudah lama merantau dan menetap di negara ini dan sehingga kini dianggarkan lebih 50,000 warga itu mencari rezeki dan turut menyumbangkan banyak jasa dalam pelbagai bidang.
Contohnya, artis Erra Fazira berasal dari susur galur Bengkulu, kata Zainal Abidin juga seorang pemimpin berjaya membangunkan Selangor.
Nasi kunyit, ayam panggang, dua serumpun berpisah tiada.
Zainal Abidin berkata berada di perantauan, anak-anak diajar menjaga adat kerana adat itu lambang sesebuah bangsa.
"Orang Indonesia berkorban sebagaimana tenggelamkan kapal ketika mahu merantau tetapi adat resam kaum jangan dibiarkan luput kerana bangsa itu akan kehilangan jati diri," tegas beliau.
Sehingga kini Persatuan Bengkulu Malaysia sudah meraikan ulang tahun ke-31 yang disambut ketika meraikan rombongan itu.
Sementara itu Drs. H.S. Effendi, MS memberikan berita gembira bahawa Gabenor Wilayah Bengkulu sudah dimaklumkan dan mengiktiraf kehadiran warga mereka yang sudah lama menetap di Malaysia.
"Inilah tujuan utama kedatangan kami, merestui kehidupan pewaris dari Bengkulu di Malaysia dan bertanya khabar tentang keadaan mereka dan kami di Bengkulu sangat gembira melihat orang kita semua berjasa dan menikmati kemakmuran untuk tanah air serumpun," katanya.
Silaturahim Serumpun "Uang Kite Gale" diadakan dalam satu perayaan yang penuh kehangatan kasih sayang dan perpaduan budaya, penduduk Bengkulu dari Indonesia akan sentiasa mengunjungi sanak saudara mereka yang telah lama menetap di Malaysia.
Tetamu itu kemudian diraikan dengan hidangan makanan Malaysia yang enak, pertunjukan pencak silat, peragaan pakaian istana dari lima negeri di Semenanjung dan paluan rebana bagi memberikan pengalaman budaya kepada tetamu dari Indonesia.
Acara ini menjadi peringatan tentang pentingnya memelihara akar budaya kita sambil memperkukuh ikatan persaudaraan yang menghubungkan kita di seluruh rantau serumpun ini.
Silaturahim Serumpun "Uang Kite Gale" bukan sekadar acara, ia adalah perayaan identiti kolektif kita dan satu langkah ke arah memastikan warisan budaya kita yang kaya dijaga urus dengan baik untuk generasi akan datang.
Bebotok, kuih tart, Ocong-Ocong dan bebokol. Makanan Bengkulu di Malaysia.
Pelbagai juadah enak Malaysia dibekalkan kuih tradisional Bengkulu iaitu kuih “tart bengkulu” mewujudkan pertukaran kulinari yang mencerminkan sejarah dan selera bersama.
Perhimpunan ini akan menjadi platform untuk berkongsi cerita dan pengalaman, menghidupkan kembali hubungan nostalgia antara komuniti Bengkulu Malaysia-Indonesia .
Zainal Abidin berharap majlis itu terus memelihara dan menimbulkan kesedaran dalam kalangan generasi muda untuk menyanjungi dan menjaga budaya, seni tradisional, juadah dan adat resam.
"Ini semua adalah menjadi identiti kita di Malaysia perlu diteruskan sebagai satu tontonan dan hidangan bagi delegasi Bengkulu yang berkunjung ke sini." katanya lagi.
Rebana, pencak silat, fesyen dan nyanyian si kecil pangeran memenuhi ruang keraian di SkyCastle di Sungai Choh, Rawang.
'Silatulrahim Serumpun Uang Kite Gale' sebagai satu ikatan dan perpaduan budaya yang kekal dalam kalangan masyarakat Bengkulu, merentasi sempadan geografi.
Ia meraikan warisan bersama, memupuk pemahaman dan penghargaan yang lebih mendalam terhadap budaya masing-masing.
Acara sambutan meriah merupakan warisan budaya yang diwarisi sejak zaman dahulu lagi, menandakan betapa setiap pertemuan dihargai dan menjadi contoh inspirasi bagi generasi mendatang. - Kitareporters
Fesyen tradisional dari Selangor, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak.
Tetamu dua negara yang mengenakan pakaian tradisional batik dan berbaju Melayu. Hebatnya dua serumpun menayangkan budaya negara masing-masing