Disergah, difitnah! 9 tahun penuh cabaran! Masjid Al-Falah dibuka! Antara masjid tercantik Selangor!
Published by“SAYA hampir menitiskan air mata, antara terharu, sebak dan gembira ketika kaki melangkah ke ruang solat. Macam tak percaya! Semua beban digalas sejak 2016 bersama rakan-rakan lain hilang sekelip mata, alhamdulillah!” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masjid Al-Falah, Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang, Selangor, Datuk Maulud A Wahid.
Malah, penantian sembilan tahun umat Islam berakhir apabila Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ustaz Hashim Mohamed menyerahkan surat kebenaran menggunakan masjid kepada Maulud A Wahid.
Beliau berkata, pembinaan masjid baharu amat perlu bagi menampung jemaah yang ramai dan ketidakselesaan ruang solat di masjid lama yang dianggap uzur kerana bumbungnya bocor, reput, siling pecah, karpet rosak dan ada jemaah terpaksa bersolat di hadapan tandas," katanya.
Masjid lama yang dibina pada 1969 hanya mampu menampung 200 jemaah, keadaan lebih terasa dengan pertambahan bilangan penduduk sekitar kariah Masjid Al-Falah apabila bilangan penempatan baharu dibuka di Kampung Sungai Ramal Dalam.
Maulud A Wahid
Pintu utama mengambil ilham dari pintu Masjid Nabawi di Madinah.
Selepas jawatankuasa pembangunan masjid baharu ditubuhkan, kerja-kerja pembinaan dimula pada November 2016, menggunakan dana tabung wakaf berjumlah RM1.6 juta. Anggaran kos ketika itu RM16 juta tapi ia meningkat selepas beberapa tahun.
"Era Reka Architect diambil sebagai arkitek utama, manakala SA Noh Design Consultants bertanggungjawab menyiapkan bahagian depan masjid. Alhamdulillah, kontraktor pun begitu bertanggungjawab dan tidak berkira langsung walaupun kadangkala pembayaran lewat.
"Ketika kerja-kerja pembinaan rancak, kami diuji pandemik Covid-19 pada 2019, banyak kerja tertangguh atau pergerakannya begitu perlahan disebabkan oleh PKP. Orang ramai melihat seolah-olah masjid itu terbengkalai tapi hakikatnya tidak.
"Justeru, timbul tohmahan berlaku penyelewengan kewangan dalam pembinaan masjid sehingga ada pihak membawa ke mahkamah.
Tangga daripada batu marmar tampak cantik menyambut kehadiran jemaah.
"Keadaan itu sedikit menjejas krebiliti kami walaupun fitnah itu tidak berasas. Alhamdulillah, berkat kesabaran dan doa selain semangat tidak mudah putus asa, kes diselesaikan di luar mahkamah tanpa sebarang kos perlu kami bayar," katanya.
Beliau berkata, sepanjang PKP, kerja-kerja pembinaan sudah 70 peratus siap. Selepas PKP, usaha digandakan mendapatkan dana.
Alhamdulillah, katanya, Jabatan Perdana Menteri menyumbang RM3 juta, selain sumbangan ahli kariah, NGO dan Pengasas Sate Kajang, Allahyarham Datuk Samuri Juraimi yang menginfak RM1 juta.
Derma juga diperolehi daripada Allahyarham Ustaz Shaari Awang sebanyak RM1 juta, Perbadanan Wakaf Selangor (RM1 juta), Masjid Prima Kajang (RM1 juta), Dato Orang Kaya Engku Maha Bijaya Hulu Langat, Datuk Rosli Othman (RM2 juta), pempengaruh tik tok (RM800,000) selain kutipan melalui masjid, ahli jemaah serta iklan di TV AlHijrah.
Kubah dalam proses pembinaan.
Kubah di bahagian dalam masjid dilukis tangan menggunakan 15 pelukis kaligrafi dari Padang, Indonesia.
"Saya berterima kasih kepada JAIS yang menjemput kami berbincang langkah seterusnya dan memohon kami menghantar laporan pembinaan secara berkala kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
"Melalui sokongan JAIS dan MAIS, kami mendapat dana tambahan pembinaan masjid ini. Mereka turut menyemak audit kewangan dan mengesahkan semuanya tersusun dan tiada penyelewengan," katanya.
Ditanya pengalaman pahit sepanjang pembinaan masjid itu, katanya selain tohmahan dan fitnah, beliau tidak dapat melupakan peristiwa disergah seorang pembantu kubur berhampiran yang marah apabila kontraktor memindahkan tanah masjid untuk projek takungan air ke kawasan terbabit.
"Saya anggap anak muda itu tidak hormat dan berlagak samseng kerana surat kebenaran sudah dikeluarkan nazir masjid malah tanah yang dipindahkan itu bukan sampah seperti dakwaan sebaliknya bagi menambak tanah perkuburan sedia ada.
"Saya dah tua, tidak sepatutnya dia menghamburkan kata-kata seperti itu. Jika tak hormat saya, hormat jawatan saya. Apa yang dibuat selama ini bukan untuk diri sendiri tapi untuk masyarakat ," katanya lagi.
Konsep dewan solat utama Masjid Al-Falah tanpa menggunakan tiang menjadikan ruang tampak luas.
Mengenai keistimewaan Masjid Al-Falah itu, katanya ia ada empat menara setinggi 30 meteri, mengambil ilham beberapa masjid di luar negara. Ia mendapat kelulusan JAIS dan restu bekas Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid. Ia ikon baru Kampung Sungai Ramal Dalam, seperti pagar menjaga empat penjuru masjid.
"Reka bentuk pintu berdasarkan ilham Masjid Nabawi di Madinah manakala 10 peratus kerja-kerja kayu menggunakan tukang dari Terengganu dan kos bekalannya ditangguh seorang hamba Allah.
"Lebih istimewa, ruang solat utama masjid ini tiada ada satu tiang pun. Memang unik dan kami mahu pastikan saf tidak putus dan nampak lebih luas. Ia menggunakan konsep konkrit tepi untuk membantu menguatkan dewan solat," katanya.
Panjang satu saf dalam 80 jemaah, keseluruhan dewan solat boleh memuatkan lebih 2,000 jemaah. Ruang untuk jemaah wanita di tingkat atas menampung 200 jemaah tapi jika mengambil kira ruang legar di luar, masjid ini boleh memuatkan lebih 4,000 jemaah dalam satu-satu masa.
Mimbar yang dibina lebih tinggi bagi memudahkan khatib menyampaikan khutbah.
Petikan ayat al-Quran yang diletakkan di dinding dewan solat utama.
"Kubah pun agak istimewa kerana ruang dalamnya dilukis tangan menggunakan 15 pelukis kaligrafi dari Padang, Indonesia. Ia mengambil masa dua bulan disiapkan. Ramai memuji lukisan itu kerana jika dilihat ke atas, ia seolah-olah memandang ke langit biru dan rasa seperti diawan-awangan.
"Bagi saya kubah ini antara yang tercantik bagi masjid dalam kampung di Selangor. Ada jemaah memberitahu, bila bersolat di dalamnya tidak terasa berada dalam kampung tapi seperti di bandar.
"Tangga pula menggunakan marmar, ada ruang seperti bumbung menutup bahagian tangga supaya keadaan lebih redup. Ia seperti kita masuk ke Mall," katanya.
Ditanya kedudukan tangga agak tinggi dan memberi masalah kepada warga emas dan OKU, katanya masjid turut membina lif di bahagian bawah tapi belum dapat digunakan kerana perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa.
"Insya-Allah lif dapat digunakan tidak lama lagi untuk jemaah warga emas dan OKU selain pengurusan jenazah. Ruang di bawah selain dicadang sebagai tempat parkir kenderaan, ia juga akan dijadikan dewan serba guna dengan pentas untuk pelbagai program keagamaan termasuk majlis perkahwinan.
"Ia mempunyai bilik VIP, musafir dan pengantin. Segala kemudahan ini diharap menjadi sumber pendapatan kepada masjid," katanya lagi.
Beliau mengakui, parkir agak terhad dan boleh menampung kira-kira 200 kenderaan. Jadi, pihaknya bercadang menambah baik masjid lama untuk menampung kekurangan itu selain membina rumah imam, pegawai-pegawai masjid dan sekolah tahfiz.
Lif disediakan di bawah masjid bagi kegunaan jemaah warga emas dan OKU.
Ditanya perkembangan terkini, katanya, Masjid Al-Falah sudah 95 hingga 97 peratus siap, cuma hal-hal kecil seperti dekorasi, pendawaian elektrik, cat dan kebersihan perlu diselesaikan. Sistem bunyi juga akan ditambah baik supaya lebih sedap didengar, sesuai dengan status sebagai masjid baru.
"Kami masih memerlukan dana tambahan untuk memastikan masjid ini dapat siap sepenuhnya sebelum perasmian dijangka awal atau pertengahan tahun ini (2025).
"Saya meminta jemaah menggunakan masjid ini sepenuhnya untuk ibadah memandangkan susah payah yang dilalui sepanjang pembinaannya. Anggaplah ia seperti rumah sendiri, jaga kebersihan, gunakan kemudahan secara berhemah termasuk tandas.
"Kita juga akan menambah kipas besar di belakang dan perkara-perkara lain yang perlu bagi memberi keselesaan beribadat kepada jemaah," katanya.
Mereka yang mahu memberi derma dan infak kepada pembinaan masjid ini boleh menghantar sumbangan ke akaun Affin Bank - 106710003534. Orang ramai juga dijemput untuk mengimarahkan masjid itu dan merasakan sendiri keseronokan beribadat di Masjid Al-Falah ini. - KitaReporters
Tulang belakang di sebalik pembinaan Masjid Al Falah, Maulud (tengah) diapit oleh Timbalan Pengerusi Lembaga Tadbir Masjid Al-Falah, Mohd Nor Abd Basir (kiri) dan Nazir Masjid Al Falah, Yahya Jumadi.
Masjid Al Falah yang lama kini hanya digunakan untuk biro Khairat Kematian.