Sepanjang Jalan Kenangan| Kami dulu-dulu dilempang, dirotan! Sekarang cubit sikit, cikgu kena serang!

Published by
KitaReporters

 


BERMULA hari ini, Isnin, 17 Februari 2025, sekolah kembali dibuka menandakan penggal baharu untuk sesi 2025-2026 bermula. Bagi negeri seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan, ia bermula sehari lebih awal iaitu pada Ahad, 16 Februari 2025.

Walaupun semua anak penulis telah lepas sekolah, masing-masing sudah bekerja namun penulis tetap mengikuti perkembangan persekolahan sekarang. Bukan apa, sekadar ambil tahu apatah lagi empat cucu penulis sudah masuk ke alam persekolahan dan tiga lagi di tadika.

Penulis pun ada saudara-mara dan kawan-kawan yang bekerja sebagai guru. Justeru, sedikit sebanyak tahulah juga perkembangan terkini alam persekolahan.

 Sesekali bertemu dan berborak dengan mereka, sering kali keluhan yang penulis dengar adalah menjadi guru sekarang terlalu hebat cabarannya. Selain bebanan tugas, menurut mereka anak-anak hari ini langsung tak boleh disentuh walaupun sekadar dijentik telinga!


Gambar hiasan... MURID zaman ini memerlukan pendekatan berbeza berbanding zaman dahulu.


"Zaman kita sekolah dulu, kalau setakat kena jentik telinga, ia perkara biasa. Kita pun tak mengadu pada emak ayah. Tapi, hari ini jangan buat pasal jentik telinga anak orang, salah-salah kena serang dengan emak ayah dia," kata sahabat penulis, seorang guru yang akan bersara beberapa tahun lagi.

Ya, penulis sendiri sedar akan hal ini. Sudah banyak kes penulis baca, ibu bapa serang guru di sekolah kerana marah dengan tindakan guru menghukum anak mereka walaupun hakikatnya anak mereka memang melakukan kesalahan atau melanggar disiplin sekolah.

Dalam satu kes yang menarik perhatian penulis, menerusi satu video yang tular, seorang bapa menyerang guru kerana memotong rambut anak tanpa kebenaran.

Selain mengeluarkan kata-kata bersifat provokasi terhadap guru berkenaan, si bapa juga mengeluarkan hujah berbunyi "Rambut panjang tak masuk neraka tau tak! Tengok tak rambut Rasulullah SAW macam mana?"

Astaghfirullah, penulis mengucap panjang sambil mengurut dada. Sanggup mengaitkan dengan Rasulullah SAW semata-mata mempertahan anaknya. Penulis yakin sudah tentu ada kewajarannya guru berkenaan bertindak sedemikian.


LAPORAN akhbar beberapa kes membabitkan ibu bapa dan guru.


Dalam satu lagi kes, seorang guru diserang oleh bapa kerana menghukum anaknya yang ditangkap menghisap rokok di sekolah. Guru berkenaan bukan saja dimaki hamun malah diserang secara fizikal. Isu ini berkesudahan menjadi kes polis selepas guru itu menbuat laporan.

Sebenarnya banyak lagi kes guru diserang oleh keluarga murid kerana mendakwa guru bertindak di luar batasan walaupun berniat mendidik.

Ibu bapa hari ini ternyata terlalu protective (atau dalam bahasa sekarang -- mudah koyak) ke atas anak mereka sehingga tidak boleh 'disentuh' apatah lagi hendak dirotan!

Kerap terdengar ibu bapa hari ini berkata: "Saya hantar anak saya ke sekolah untuk diajar bukan untuk dipukul!"

Kes-kes sebegini sudah tentu memeningkan kepala guru yang akhirnya mungkin menyebabkan mereka mengambil sikap tidak peduli lagi. Lantak kamulah nak jadi apa!


MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek.


Terkini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, telah mengeluarkan arahan hanya guru besar atau pengetua dan guru yang diberi autoriti sahaja yang boleh melaksanakan hukuman rotan ke atas murid yang mana murid perempuan dikecualikan daripada hukuman itu.

Malah, perlaksanaan hukuman itu juga tertakluk kepada garisan panduan yang ketat yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959.

Ia juga tidak boleh dilaksanakan di depan khalayak ramai atau di tapak perhimpunan sekolah seperti termaktub dalam Surat Perkeliling Ikhtisas Bil. 7/2003 berkaitan Kuasa Guru Merotan Murid.

Pada ketika kita menghormati peraturan ini, beberapa kes serangan ke atas guru berkait isu yang boleh dianggap remeh seperti kes gunting rambut tadi, menyebabkan penulis terfikir adakah anak-anak hari ini terlalu dimanjakan berbanding zaman penulis bersekolah dahulu.


PENULIS (belakang, tiga dari kiri) semasa berada dalam Darjah 5.


Penulis masih ingat hari pertama penulis melaporkan diri memasuki Darjah Satu pada 1968, ayah penulis menyerahkan penulis kepada guru kelas dengan pesanan berikut: "Saya serahkan anak saya kepada, cikgu ajarlah dia, didiklah dia. Terpulang pada cikgu nak pukul ke, nak rotan ke, saya tak marah, asal jangan pekak, buta dan mati!"

Penulis yang duduk menghadap guru kelas ketika itu berasa kecut perut bila mendengar pesanan ayah penulis itu. Huh! Rasa nak terkencing walaupun cikgu itu hanya tersenyum.

Seingat penulis, walaupun tidak tergolong sebagai murid nakal, tapi penulis tidak terlepas daripada menerima hukuman bila tak dapat menjawab soalan yang ditanya oleh cikgu. Jujur, penulis bukanlah murid yang pintar, hanya kategori sederhana. Penulis sangat lemah dalam mata pelajaran Metamatik dan Sains.

Didenda berdiri di atas kerusi adalah perkara biasa. Begitu juga disuruh berdiri di luar kelas kerana datang lambat walaupun alasan diberikan cukup kukuh. Satu lagi hukuman yang sering dikenakan adalah ketuk ketampi.

Penulis dan rakan-rakan pernah ditarik dan dipulas telinga, juga dicubit dan dipulas perut sehingga rasa nak terkencing dalam seluar. Semua hukuman ini bukan kerana melanggar disiplin sebaliknya atas sebab yang kecil seperti terlupa membawa buku!


KUASA merotan kini hanya ada pada guru besar dan guru yang mempunyai autoriti.


Penulis juga pernah dipukul dengan pembaris kayu sama di tapak tangan atau di betis kerana tak potong kuku dan tidak bersih.

Tindakan guru membaling duster (pemadam papan hitam) juga bukan perkara luar biasa kepada kami. Selalunya cikgu akan bertindak begitu kerana murid tidak memberi perhatian, berbual ketika dia mengajar atau tertidur dalam kelas.

Siapa yang pernah terkena balingan itu pasti dapat menceritakan penangannya. Bukan setakat rambut bertukar putih kena serbuk kapur tapi jika tepat ke dahi, boleh benjol sebesar telur ayam!

Malah, penulis masih ingat, ketika bersekolah rendah, seorang kawan penulis yang nakal pernah dicampak keluar tingkap oleh guru kerana suka mengganggu murid-murid lain.

Public canning  atau hukuman di depan khalayak merupakan acara yang ditunggu-tunggu pada setiap hari perhimpunan setiap Isnin. Masing-masing nak tahu siapa yang kena. 

Selalunya kesalahan dilakukan dianggap serius seperti merokok, bergaduh, membuli, mencuri atau melakukan perbuatan khianat seperti mencalarkan kereta cikgu!


PENULIS (dua dari kiri) semasa dalam Remove Class (Kelas Peralihan) pada 1974.


Tapi, kami dahulu tidak berani mengadu kerana ibu bapa tidak akan mempertahan kami apatah lagi nak menyerang cikgu sebaliknya kami yang akan dipersalahkan, dan kalau silap masa, boleh juga ditambah hukuman.

"Kalau tak buat salah, tak kan cikgu saja-saja pukul." Itulah ayat yang emak selalu ucapkan bila penulis mengadu  Jadi, lebih baik jangan buka cerita, biarlah ia menjadi rahsia peribadi.

Pada penulis, ketegasan guru dan ibu bapa zaman dahululah yang banyak membentuk peribadi kami sehingga 'menjadi orang' pada hari ini.

Tapi, zaman sudah berubah. Kata orang lain ulu, lain parang, lain dahulu, lain sekarang. Mungkin kaedah guru zaman dahulu sudah tidak sesuai, lapuk serta tidak relevan dengan suasana hari ini. 

Penulis perlu akur, anak-anak hari ini mungkin perlukan pendekatan yang berbeza. Mereka tidak sesuai dididik dengan hukuman tapi dengan penuh kasih sayang. Wallahualam. - KitaReporters

18
10
1
9
0

Copy Link: