Ke arah Wanita Beraspirasi, Membina Legasi! Peranan dan bakti wanita bagai akar terpasak ke bumi!
Published byTarikh 8 Mac setiap tahun dinobat sebagai Hari Wanita Antarabangsa atau juga dikenali sebagai Hari Wanita Sedunia.
Ia disambut setiap tahun di serata dunia bagi mengiktiraf sumbangan serta pencapaian wanita dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, politik, dan sosial.
Walaupun tidak diisytiharkan sebagai cuti umum di Malaysia, namun terdapat pelbagai acara dianjurkan bagi menghargai peranan wanita dalam masyarakat.
Telah diketahui umum bahawa wanita bukan sekedar nama tetapi lambang kekuatan, keberanian dan kasih sayang dalam keluarga, masyarakat dan juga negara.
Teruslah melangkah duhai wanita dengan penuh keyakinan, kerana dunia ini lebih indah dengan kehadiranmu. Engkau bagai cahaya menerangi seluruh alam maya. Cahaya yang menyenangkan!
Pada sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang disambut pada 8 Mac 2025, Dasar Wanita Negara 2025-2030 telah dilancarkan, bertujuan memperhalusi dan menambah baik dasar sedia ada serta memperkukuh lagi langkah penguatkuasaan terhadap pelaku keganasan rumah tangga.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, dasar baharu itu juga bertujuan mengisi kekurangan atau 'loophole' yang ada dalam pelaksanaan dasar-dasar sebelum ini, dengan penekanan lebih terhadap aspek perlindungan wanita, terutama dalam konteks keganasan rumah tangga.
"Paling penting, kementerian ingin membantu wanita terutama mereka yang terkesan oleh keganasan ini kerana kes berkenaan terus meningkat dari semasa ke semasa.
"Dari segi hukuman itu perlu ditegaskan lagi... kita tidak mahu sebut saja, tetapi perlu ada pelaksanaan dari segi hukuman dan tindakan yang perlu diambil kepada mereka yang melakukan (keganasan rumah tangga),” katanya.
Bagi tujuan memperkukuh tindakan penguatkuasaan, Nancy berkata, kementeriannya juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menyentuh tentang Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 bertemakan "Wanita Beraspirasi, Membina Legasi” itu, Nancy memberitahu, buat julung kalinya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melaksanakan aktiviti prasambutan pada peringkat zon bagi memastikan penglibatan yang lebih menyeluruh dan inklusif.
"Aktiviti utama yang dianjurkan termasuk kempen kesedaran dan advokasi, forum serta sesi dialog bersama-sama pemimpin wanita dan pakar dalam pelbagai bidang, serta diskusi berkaitan aspek kepimpinan, ekonomi dan kesejahteraan wanita,” ujarnya lagi.
Kita merasa kagum kerana wanita sama ada ibu, isteri, guru, kakak, atau sebagainya perlu dihargai dengan penuh kasih sayang sebagai tulang belakang kepada kejayaan institusi keluarga dan masyarakat.
Pengorbanan serta dedikasi mereka dalam mendidik, membimbing, dan menyumbang kepada pembangunan negara tidak boleh dipandang remeh. Malah patut diberi pengiktifan setiap hari bukan setahun sekali.
Wanita juga adalah penyumbang kepada kemajuan negara, sama ada dalam sektor pekerjaan, keusahawanan, mahupun peranan dalaman yang sering tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya.
Oleh itu, Hari Wanita Antarabangsa ini patut disokong oleh masyarakat dan memperjuang hak serta kesejahteraan wanita secara berterusan. Ia juga satu simbol perjuangan hak kesaksamaan gender dan keadilan sosial bagi wanita yang tidak boleh dipertikai lagi. Bakti wanita sangat fokus dan jelas serta telah terbukti.
Sementara itu, pada majlis berkenaan Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Kasih Wanita kepada empat individu mengikut kategori berdasarkan sumbangan serta jasa mereka terhadap masyarakat.
Penerima Anugerah Kasih Wanita Bakti diterima oleh Pengasas Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed.
Bekas pesakit skizofrenia, Nor Kamariah Mohd Khalid Lourdes Lid pula menerima Anugerah Kasih Wanita Cekal dan Anugerah Kasih Wanita Harmoni diberikan kepada bekas anggota polis Jennifer Atok dan Anugerah Kasih Wanita Komuniti diterima guru Orang Asli Amira Yoke Bes.
Oleh itu, Hari Wanita Antarabangsa sangat penting bagi masyarakat menyokong dan memperjuang hak serta kesejahteraan wanita secara berterusan.
Ia juga satu simbol perjuangan hak kesaksamaan gender dan keadilan sosial bagi wanita yang tidak boleh dipertikai lagi.
Sambutan juga memberi fokus kepada mengangkat usaha wanita dalam mengukir perubahan yang berkekalan serta membina legasi untuk generasi akan datang.
Tema ini juga mengiktiraf peranan penting wanita sebagai pemimpin dalam keluarga, masyarakat, dan negara.
Setiap impian wanita adalah cahaya perubahan. Teruslah bercahaya dan membahagiakan seluruh duni wahai wanita.
Wanita bagaikan tunjang kejayaan keluarga! Akar yang terpasak ke bumi dan setianya kekal tidak terusik jika kena cara layanannya.
Di sebalik setiap pencapaian besar, ada jiwa wanita yang tabah. Terus maju dan gigih memperkasakan amanah wahai wanita hebat seluruh dunia.
Pada masa sama, hargai, hormati, dan sanjungi wanita yang ada di dalam hidup kita. Tidak kira siapa, sama ada ibu, kakak, isteri, dan sahabat mereka membawa makna dalam kehidupan kita terutama bab kasih sayang.
Dunia ini lebih kuat kerana semangat mereka yang tidak pernah luntur. Keluarga lebih bahagia dengan perhatian dan kasih sayang mereka termasuk mendidik anak-anak dengan nilai-nilai moral dan etika yang membentuk generasi masa depan lebih dinamik.
Penglibatan wanita dalam sektor ekonomi, sama ada sebagai pekerja, usahawan, atau pengurus, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Begitu juga dalam politik dan kepimpinan wanita turut memastikan perspektif dan keperluan mereka diambil kira dalam pembuatan dasar. Ini membantu mewujudkan dasar yang lebih inklusif dan adil, kserta mencerminkan kepelbagaian masyarakat.
Wanita sangat bermurah hati dan aktif serta prihatin dalam aktiviti kemasyarakatan, seperti program kebajikan,
kesukarelawanan, dan inisiatif komuniti.
Sedikit info, sejarah Hari Wanita Antarabangsa bermula pada tahun 1908, apabila lebih 15,000 wanita berarak di New York, Amerika Syarikat, menuntut hak bekerja dengan gaji lebih baik, pengurangan waktu kerja, dan hak mengundi.
Setahun kemudian, pada 1909, Hari Wanita Kebangsaan pertama diisytiharkan di Amerika.
Pada tahun 1910 pula satu persidangan wanita diadakan di Copenhagen, Denmark, di mana seorang aktivis bernama Clara Zetkin mencadangkan agar Hari Wanita Antarabangsa diraikan setiap tahun.
Cadangan ini diterima dan pada tahun 1911, lebih sejuta orang di Austria, Denmark, Jerman, dan Switzerland menyertai sambutan pertama.
Sejak itu, tarikh 8 Mac dipilih sebagai hari rasmi bagi memperjuang hak wanita di peringkat global.
Pada tahun 1977, Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) secara rasmi mengiktiraf Hari Wanita Antarabangsa, menjadikannya satu perayaan yang dirayakan oleh pelbagai negara untuk memperkasakan dan meraikan wanita di seluruh dunia.
Kesimpulannya, peranan wanita dalam pembangunan keluarga, masyarakat negara dan dunia khasnya sangat tinggi nilainya dan patut diberi pengiktirafan.
Seperti pepatah yang tertulis, "tangan yang menghayun buaian itu satu hari akan menggoncang dunia." Telah terbukti kini!
Selamat Hari Wanita Antarabangsa 2025, wahai wanita Malaysia. - KitaReporters