Tak minta hantaran! Tapi jaga anak perempuan saya dengan baik, beri kasih sayang lepas nikah! - Bapa

Published by
KitaReporters

Rombongan dari pihak lelaki datang dari Putrajaya


Lazimnya pada zaman kos hidup yang serba tinggi, majlis pertunangan dan majlis perkahwinan meletakkan harga hantaran yang tinggi pada pihak lelaki. 

Pihak perempuan pula adakalanya meletakkan harga hantaran berdasarkan pendidikan dan pencapaian akademik yang tinggi , rupa paras yang cantik, juga kerjaya yang disandang oleh wanita berkenaan.

Seringkali isu hantaran menjadi buah mulut saudara mara dan perdebatan hebat sanak saudara. 

Tapi bagi keluarga Ahmad Afendi Ariffin dan isterinya, Karima Tabroni mereka tidak meletakkan jumlah hantaran untuk majlis perkahwinan anak mereka Hazreena Ahmad Afendi pada tahun depan (2025). 



Majlis pertunangan Hazreena diadakan dalam suasana sangat sederhana dengan hantaran 5 dulang dari pihak lelaki dan dibalas dengan 7 dulang dari pihak perempuan. Majlis berkenaan di adakan di Puchong Selangor

Menurut Ahmad Afendi, 48 tahun, sewaktu majlis pertunangan berkenaan beliau tidak meletakkan jumlah hantaran kerana baginya cukuplah pihak lelaki menjaga anak perempuan tunggalnya itu dengan baik dan penuh kasih sayang. 

Beliau menyerahkan kepada pihak lelaki untuk memberi hantaran mengikut kemampuan. 

Ahmad Afendi sangat berharap anaknya yang bakal berkahwin tahun depan (2025) dapat hidup bahagia dan tidak mahu menyusahkan bakal menantunya dengan hantaran yang tinggi kerana dia tahu hidup dalam keadaan yang serba tinggi kos hidup akan memberi impak pada rumah tangga.  


Ahmad Afendi Ariffin (kiri) bersama isterinya Karima Tabroni (dua dari kiri) serta anak mereka, Hazreena. Bakal besannya, Dr Anuwar Ahmad (kanan) dan isterinya Noraini (dua dari kanan).


Beliau mahu pasangan anaknya dan bakal menantunya tidak terlalu terbeban dengan hutang yang tinggi gara-gara mahukan perkahwinan yang berbelanja besar. Baginya bersederhana dalam hidup adalah sebaik-baik cara dalam kehidupan.

Sewaktu perbincangan dalam majlis pertunangan berkenaan, Ahmad Afendi yang membalas pertanyaan bakal besannya Dr Anuwar Ahmad dari Putrajaya yang bertanya berapa jumlah hantaran yang pihak perempuan mahukan, Ahmad Afendi memberitahu:

"Saya tak minta apa apa, janji anak saya nanti dijaga dengan baik, penuh kasih sayang dan suaminya bertanggungjawab terhadap dirinya. Bagi saya seribu ringgit pun saya tak minta tapi terpulang pada Encik Anuwar nak memberinya dengan ikhlas. Saya terima sahaja apa yang ada."


Keluarga sebelah lelaki yang datang dari Johor dan Terengganu


Sifat rendah diri Ahmad Afendi sangat dipuji sanak saudara yang hadir dalam majlis pertunangan itu. Jarang ada ibu bapa yang begitu ikhlas memberikan anak perempuan untuk dinikahi tanpa meminta hantaran yang tinggi. 

Beliau juga memudahkan pihak lelaki dalam urusan pertunangan berkenaan yang dibuat dengan ringkas dan tidak terlalu tertakluk pada adat yang menyukarkan,  

Anak perempuan Ahmad Afendi adalah pelajar terbaik dalam bidang Graphic and Design di MSU dan pernah mendapat anugerah Presiden di mana beliau mencapai kecemerlangan dalam setiap semesternya. 


Keluarga pihak perempuan yang datang dari Selangor dan Melaka.


Ahmad Afendi menasihatkan masyarakat supaya memudahkan pertunangan dan perkahwinan serta jangan membebankan pihak tertentu dalam urusan perkahwinan. 

Bagi Ahmad Afendi yang wajib adalah nikah manakala kenduri atau hantaran mestilah melihat pada kemampuan pihak yang satu lagi. 

Hidup selepas berkahwin bukan mudah memang banyak rintangan dan dugaan. Jika dah bergolok gadai masa nak berkahwin pasti selepas berkahwin macam macam masalah akan timbul. 

"Jadi, permudah anak-anak nak membina rumah tangga dan kehidupan mereka," itu nasihat beliau.  

"Restui hidup mereka, beri nasihat yang berguna kepada mereka yang baru hendak melangkah ke alam perkahwinan," katanya mengakhiri perbualan. - KitaReporters


Bakal pengantin 


Keluarga pihak lelaki

20
7
0
9
1

Copy Link: