Menyedari kepentingan pendedahan mengenai aktiviti sukan sunah, Benua Equestrian Stable dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) bakal menganjurkan Karnival Best - Pertunjukan Berkuda dan Memanah Tradisional pada 20 Oktober 2024 bermula jam 8 pagi sehingga 1 tengah hari.

Bertempat di Benua Equestrian Stable, UPM, karnival tersebut menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung seperti pertunjukan berkuda, memanah berkuda, pertunjukan seni memanah tradisional Hungary, pertunjukan tent pegging, hippoteraphy, archery fun shoot, joy ride, horse feeding, pameran, taklimat, dan pelbagai lagi.

Ketua Projek Karnival Best merangkap Pegawai Kanan Bahagian Penjanaan Dana IR Malaysia, Mohd Hafiz Ab Majid berkata, mereka menyasarkan kehadiran seramai 1,500 pengunjung.



“Kami menyeru orang ramai untuk menyertai karnival ini dengan tujuan untuk memperkenal sukan sunah memanah dan berkuda di samping beramal untuk membantu golongan kanak-kanak yang memerlukan. 

“Masuk ke karnival adalah percuma, namun kami menyediakan tempat duduk di bawah khemah yang boleh ditempah melalui pembelian tiket khas untuk pertunjukan berkuda dan memanah tradisional. 

“Setiap pembelian tiket ini akan menyumbang kepada tabung Charity Week IR Malaysia untuk membantu murid-murid di sekolah pedalaman Sarawak,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyertai Karnival Best ini boleh mendapatkan tiket menerusi pautan https://bit.ly/KarnivalBEST2024.  

Pakej harga tiket adalah mengikut kedudukan tempat duduk iaitu depan (Platinum – RM30), tengah (Gold – RM20) dan belakang (Silver – RM10). 

Tarikh tutup pembelian tiket ialah pada 18 Oktober 2024 (Jumaat).



Charity Week (Minggu Kebajikan) merupakan sebuah program kebajikan tahunan yang dikendalikan oleh para sukarelawan Islamic Relief bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada projek-projek kemanusiaan Islamic Relief yang memberi fokus kepada bantuan anak yatim dan kanak-kanak kurang berkemampuan di seluruh dunia. 

Tahun ini (2024), Charity Week akan berlangsung pada 21 hingga 27 Oktober 2024 dengan tema ‘Keadilan Sosial’.

Pasukan Charity Week IR Malaysia tahun ini (2024) menyasarkan kutipan dana sebanyak RM100,000 untuk projek penambahbaikan perpustakaan sekolah dan bantuan keperluan peralatan pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Nanga Kesit dan Sekolah Kebangsaan Nanga Menyebat, Lubok Antu, Sarawak bagi memberi manfaat kepada 145 pelajar. - KitaReporters/Kenyatan Media


9
9
0
12
0

Copy Link: