Diari Mama Masscom| Apa lagi kita mahu? Kes keganasan terhadap wanita, kanak-kanak terus meningkat!
Published byHari Kanak-Kanak Sedunia diraikan pada setiap 20 November setiap tahun.
Gambar hiasan.... Mengapa kanak-kanak masih terus didera?
Isu keganasan kanak kanak dan wanita sangat dekat di hati penulis. Ini kerana wanita dan kanak-kanak adalah golongan yang lemah dan mereka ini sepatutnya dilindungi dan bukan dianiaya kerana sifat lemah dan tidak melawan mereka.
Setiap kali membaca dan melihat kes-kes keganasan dan penderaan terhadap kanak-kanak dan wanita, penulis terfikir, kenapa keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak terus berlaku dan semakin meningkat setiap tahun.?
Adakah undang undang sedia ada tidak mencukupi, atau adakah masyarakat tidak terdidik dan terkesan dengan segala kempen dan dijalankan oleh kementerian dan NGO serta pihak tertentu dalam menangani masalah ini.
Apa lagi yang seharusnya kita lakukan untuk mengurangkan kes-kes penderaan dan keganasan terhadap wanita dan kanak kanak, Persoalan sedemikian menuntut kita untuk bertindak dan mencari solusinya.
Cuba kita analisis statistik yang penulis catat daripada pihak berkuasa dan merenung betapa seriusnya masalah ini.
Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 9,334 kes keganasan dicatatkan pada tahun 2021, manakala 8,580 kes pula pada tahun 2022.
Kebanyakan kes keganasan terhadap wanita dilakukan orang yang dikenali. Terdapat juga kes yang tidak dilaporkan kerana masalah dalaman keluarga atau peribadi.
Laporan Kosmo 4 Julai 2024 pula mencatatkan, sebanyak 2,794 kes keganasan rumah tangga dilaporkan kepada pihak berkuasa dari tahun 2021 hingga 2023 di seluruh negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, mangsa membabitkan golongan lelaki dan wanita.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 773 kes dilaporkan di Selangor dengan 81 kes dilaporkan di daerah Klang.
Beralih pula pada Statistik kes penderaan kanak-kanak di Malaysia. Kes penderaan kanak-kanak juga menunjukkan situasi yang membimbangkan pada tahun 2023:
1. Kes Penderaan dan Pengabaian (Sehingga Mei 2023)
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencatatkan 2,959 kes melibatkan penderaan fizikal, seksual, dan emosi, termasuk pengabaian. Selangor mencatat jumlah kes tertinggi dengan 647 kes, diikuti oleh Sabah (333 kes) dan Kuala Lumpur (326 kes).
2. Jenis Penderaan (Januari-Ogos 2023), 1,240 kes penderaan fizikal., 1,603 kes penderaan seksual., 73 kes penderaan emosi. dan1,530 kes pengabaian.
3. Jenayah Seksual Kanak-Kanak (2023): Peningkatan sebanyak 26.5%, dengan 1,567 kes dilaporkan. Kesalahan berkaitan pornografi kanak-kanak mencatatkan peningkatan tertinggi sebanyak 139.3%.
Oleh yang demikian dapat disimpulkan beberapa faktor yang menyebabkan kanak-kanak dan wanita sering menjadi mangsa keganasan.
Faktor berkenaan terangkum dalam beberapa faktor sosial, budaya, dan psikologi yang telah lama hidup dalam masyarakat kita
1. Ketidakseimbangan Kuasa
Wanita dan kanak-kanak sering dilihat sebagai golongan yang lemah, bergantung, dan mudah dimanipulasi oleh mereka yang lebih berkuasa, seperti pasangan, ahli keluarga, atau pihak luar.
2. Norma Budaya dan Patriarki
Dalam sesetengah budaya, lelaki dianggap "dominan," manakala wanita dan kanak-kanak dilihat sebagai hak milik yang boleh dikawal.
Sikap ini mewujudkan ketidakadilan dan normalisasi keganasan, terutama dalam rumah tangga.
3. Kitaran Trauma
Pelaku keganasan mungkin berasal dari latar belakang di mana mereka sendiri pernah menjadi mangsa penderaan, lalu mengulangi tingkah laku tersebut kepada orang lain.
4. Ketidaksedaran dan naif Tentang Hak
Ramai wanita dan kanak-kanak tidak tahu hak mereka, terutamanya dalam keluarga atau perkahwinan. Ini membuatkan mereka takut untuk melawan atau melapor penderaan.
5. Masalah Sosial Ekonomi
Tekanan kewangan, kemiskinan, atau pengangguran sering menjadi pencetus keganasan domestik.
Ketidakupayaan wanita atau kanak-kanak untuk melarikan diri kerana bergantung secara ekonomi kepada pelaku.
6. Kelemahan Sistem Sokongan
Banyak kes keganasan tidak dilaporkan kerana stigma masyarakat, rasa malu, atau kepercayaan bahawa tiada keadilan yang akan ditegakkan.
Kurangnya tempat perlindungan, talian bantuan, dan kaunselor yang mesra mangsa.
7. Pengaruh Media
Pengaruh meluas media sosial, seperti filem, permainan video, tik tok, IG atau kandungan media lain kadang-kadang menggambarkan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak sebagai sesuatu yang normal atau "tidak apa-apa."
8. Ketagihan dan Masalah Mental
Penggunaan alkohol, dadah, atau masalah kesihatan mental yang tidak dirawat sering membawa kepada keganasan, di mana wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa mudah. Umpamanya suami yang ada masalah mental yang tidak dirawat akan mendera anak dan isteri juga suami isteri yang terjebak dengan pengaruh dadah akan mendera dan menganiaya anak anak dan isteri.
Justeru adalah amat penting bagi pihak pihak tertentu, berterusan membantu kanak kanak dan wanita yang teraniaya ini untuk bangkit berdepan dengan trauma yang mereka lalui dengan positif.
Masyarakat khususnya jiran dan saudara mara perlu melaporkan sebarang tanda keganasan kepada pihak berkuasa tanpa rasa takut atau prejudis.
Mereka mesti memberi sokongan emosi umpamanya menjadi pendengar yang baik kepada mangsa. Ambil tahu apa yang berlaku dalam masyarakat setempat.
Masyarakat juga perlu mengubah persepsi negatif dengan sering menyalahkan mangsa. Ini dapat menggalakkan lebih ramai mangsa tampil melaporkan kes mereka.
Sementara itu pihak berkuasa pula perlu memainkan peranan mereka dengan pro aktif, dengan:
1) Menguatkuasakan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Pindaan) dan Akta Kanak-Kanak 2001, yang menyediakan perlindungan khusus kepada mangsa wanita dan kanak-kanak. Pihak berkuasa juga mesti menangkap dan mendakwa pelaku keganasan dengan cepat dan adil bagi memastikan keadilan untuk mangsa.
2) Kerajaan perlu mewujudkan saluran laporan yang praktikal dan mudah diakses. Talian Nur (15999) antara contoh yang baik namun ada yang mengadu talian berkenaan agak sukar diakses. Mewujudkan pusat aduan khas di setiap tempat untuk memudahkan mangsa atau saksi melaporkan kejadian keganasan. Juga pihak berkuasa memastikan mangsa dapat membuat laporan dengan selamat tanpa risiko ancaman dari pelaku. Menyediakan tempat perlindungan yang selamat untuk mangsa melalui kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan NGO.
3) Pihak berkuasa mesti tegas dalam melaksanakan perintah perlindungan mahkamah untuk menghalang pelaku mendekati mangsa. Memberi latihan kepada pegawai polis dan pihak berkaitan untuk menangani kes keganasan dengan lebih empati dan profesional. Adakalanya pelaku dengan mudah mendekati mangsa kerana kelonggaran perlindungan mahkamah yang mudah di cerobohi.
4) Memberi akses kepada kaunseling, bantuan perundangan, dan program pemulihan kepada mangsa bagi membantu mereka kembali ke kehidupan normal. Pihak tertentu seperti NGO mesti turun padang dan berjumpa dengan mereka yang mempunyai masalah yang membabitkan kes penderaan dan
5) Menyediakan program pemulihan untuk pelaku keganasan supaya tidak mengulangi kesalahan mereka. Mengumpul statistik kejadian secara berkala untuk mengenal pasti pola keganasan dan memperbaiki dasar pencegahan serta perlindungan.
Melalui pendekatan ini, pihak berkuasa dan masyarakat dapat memainkan peranan mereka masing masing dengan proaktif bagi menangani dan menghapuskan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak. - KitaReporters