Kes orang hilang bertambah! Saranan pelajar KUIPs kepada ibu bapa, keluarga, rakan dan masyarakat!
Published byKes yang melibatkan orang hilang di negara ini kian membimbangkan khususnya melibatkan kanak-kanak dan wanita.
Pelajar-pelajar Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) turut melahirkan rasa bimbang dan berharap semua pihak terutama ibu bapa, keluarga dan masyarakat memaklumkan segera kehilangan anak-anak atau penduduk di kawasan mereka.
“Jangan hanya menyalahkan ibu bapa dan keluarga kerana rakan-rakan dan masyarakat sekeliling yang turut menyedari kehilangan orang di kawasan mereka perlu bertindak segera menghebahkan berita kehilangan supaya tindakan segera dapat diambil untuk mengesan mereka,” kata pelajar semester dua program Ijazah Sarjana Muda Logistik dan Pengurusan Rantaian Bekalan, Ali Zikri Mohammad Syahnaz.
Ali Zikri Mohammad Syahnaz
Katanya, berita kehilangan orang sekarang semakin menjadi-jadi serta membimbangkan sejak akhir-akhir ini seperti yang dipaparkan dalam media cetak atau media sosial.
Walaupun beberapa kes orang hilang berjaya diselesaikan dan ditemui semula dalam keadaan selamat misalnya kehilangan Albertine Leo Jia Hui, kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dari Iskandar Puteri, Johor pada Julai 2024 lalu, namun yang paling membimbangkan ialah ada juga insiden kehilangan itu berakhir dengan tragedi menyayat hati.
“Pastinya semua pihak mengikuti misteri kehilangan seorang guru, Istiqomah Ahmad Rozi, 34, yang berakhir dengan penemuan mayat yang tidak sempurna di tepi jalan berhampiran Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka pada 31 Disember 2023 lalu yang telah disahkan milik wanita tersebut berdasarkan hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan,” katanya ketika ditemui semasa program Jelajah Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan (FPSP) KUIPs di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan Kangar baru-baru ini.
Ali Zikri berharap semua pihak terutama golongan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan kalangan mereka yang aktif dengan media sosial agar bertindak segera untuk melaporkan dan mengesan kehilangan sekiranya terdengar berita mengenai kehilangan orang.
Ahmad Khairul Danial Mohd Depi
Manakala rakannya Ahmad Khairul Danial Mohd Depi, 20, pelajar semester dua Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan pula berharap maklumat mengenai insiden kehilangan orang perlu menjadi pengajaran kepada semua orang terutama kanak-kanak dan belia.
“Semua pihak tidak kira pelajar atau mana-mana individu jangan cepat percaya dengan mereka yang baharu sahaja dikenali melalui media sosial terutama dan pergerakan mereka juga jangan keseorangan dan harus memaklumkan kepada ahli keluarga atau rakan-rakan pergerakan mereka agar mudah dikesan nanti,” ujarnya lagi.
Ahmad Khairul berkata, orang ramai perlu sentiasa beringat dan memaklumkan pergerakan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan sejak peristiwa orang hilang yang menjadi-jadi sekarang ini.
Syed Muhammad Fitri Sayid Mohamad
Bagi pelajar semester tiga Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat Syed Muhammad Fitri Sayid Mohamad pula, insiden orang hilang yang dilaporkan sejak akhir-akhir ini juga mengharuskan setiap individu juga perlu elakkan untuk berjalan seorang diri, jangan pamerkan barangan berharga, elakkan melalui laluan yang sama, sentiasa bawa alat keselamatan, jangan berkongsi lokasi ‘live’ secara terbuka dan harus memaklumkan kepada keluarga terdekat atau rakan-rakan mengenai pergerakan mereka.
“Dalam beberapa laporan sebelum ini, ada juga kes ‘orang hilang’ sebenarnya tidak melibatkan kes jenayah, sebaliknya hanya keluar bersiar-siar bersama rakan-rakan bagi melepaskan stres tetapi tidak memaklumkan kepada keluarga kerana pada mulanya mungkin hanya berjalan-jalan untuk bersuka ria ke sana ke mari tanpa tujuan namun akhirnya tersesat ke tempat lain dan lambat pulang ke rumah,” sambungnya.
Syed Muhammad Fitri juga tidak menyangkal ada juga kes orang hilang sebenarnya merajuk dengan ibu bapa, lalu mengambil keputusan bermalam di rumah kawan-kawan tanpa memaklumkan kepada keluarga dan akhirnya ibu bapa membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan anaknya itu.
Namun apa pun dalam senario hari ini semua pihak harus memainkan peranan agar insiden orang hilang dan berakhir dengan tragedi ini tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak.
“Saya dan rakan-rakan di KUIPs sentiasa bersedia membantu sekiranya masyarakat terutama pelajar ingin berkongsi maklumat atau memerlukan pertolongan untuk membantu menegani masalah orang hilang ini,” ujarnya lagi. - KitaReporters