Tiada kucing mati dan teraniaya! Tempat dijaga dengan bersih! MBDK nafi dakwaan taman kucing terbiar!

Published by
KitaReporters

Taman Kucing Klang



"Tidak ada kucing yang mati dan teraniaya, tempat ini juga dijaga dengan bersih." Begitulah penjelasan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang menafikan dakwaan penindasan, pengabaian dan penganiayaan di Taman Kucing Klang seperti yang tular dalam media sosial beberapa hari ini.

Datuk Bandar Klang, Datin Paduka TPr Noraini Roslan berkata, pihaknya memandang serius dakwaan berkenaan dan selepas mengadakan tinjauan di tempat berkenaan,  beliau berpuas hati dengan tahap kebersihan dan keselesaan di situ.

Menurutnya, beberapa penambahbaikan akan dilakukan segera oleh MBDK dan akan dibantu oleh Sime Darby pada masa terdekat bagi keselesaan kucing-kucing yang ada di situ, berhubung isu keadaan panas di waktu petang.


Kucing kucing yang berteduh di atas kerana cuaca panas


“Saya menghargai keprihatinan orang awam dalam isu ini namun beberapa perkara yang ditularkan adalah tidak benar sama sekali terutama kucing-kucing yang didakwa lapar dan terbiar.

“Malahan dakwaan kematian kucing dalam jumlah yang banyak juga tidak benar dan hanya seekor sahaja yang mati sejak pengoperasian (diletakkan di luar taman oleh individu tidak dikenali) selepas saya sendiri mengadakan tinjauan bersama Sime Darby pagi tadi,” katanya.


Turun padang melihat keadaan taman kucing


Menurut Noraini, pihak MBDK akan memasang jaring pemedih bagi mengelakkan keadaan panas di situ dan Sime Darby akan membina anjung bagi keselesaan kucing-kucing serta penjagaan pemakanan juga turut diberi perhatian.

Tambah Noraini lagi, kucing  bersifat ‘territorial’,  di mana ia memerlukan kawasan yang luas untuk melakukan pelbagai perkara dan aktiviti tanpa sebarang sekatan. 

Untuk menepati sifat kucing yang suka kawasan luas, kucing-kucing akan dilepaskan dari kandang untuk bergerak di sekitar kawasan taman pada waktu pagi. Ini juga bagi menjaga emosi kucing yang tidak suka dikurung

“Kita merancang untuk mengadakan kerjasama dengan sukarelawan-sukarelawan yang berminat dalam penjagaan kucing memandangkan sokongan masyarakat terhadap taman Kucing ini begitu positif dan membanggakan,” katanya. - KitaReporters


Noraini Roslan (kiri) memegang kucing yang didakwa mati seperti yang tular dalam media sosial.

Noraini (dua dari kanan) bersama kucing-kucing yang dilepaskan pada waktu pagi

Bersih dan terjaga

13
10
0
15
0

Copy Link: