Menanggani masalah sakit mental di negara kita bukanlah semudah menulis dan merancang dalam kertas cadangan atau hanya bagi idea idea menarik dalam media sosial yang belum tentu ada tindakan susulan. 

Kadangkala perancangan nya sangat cantik pada kertas cadangan namun implimentasinya rumit kerana berurusan dengan pelbagai pihak yang punya pandangan tersendiri serta peraturan dan undang-undang tertentu. 

Bertahun-tahun terpaksa menunggu untuk direalisasikan perancangan berkenaan, namun adakalanya pada saat akhir projek terpaksa dibatalkan. 

Pesakit mental semakin bertambah. Perancangan yang dibuat hanya tinggal dalam kertas cadangan. 

Kekangan-kekangan lain seperti dana dan guna tenaga manusia, adakalanya tak selari dengan perancangan yang dibuat. Ini menjadi halangan kepada usaha memulihkan pesakit mental. 

Kerjasama dengan pihak pihak tertentu seperti polis, ketua ketua kampung, ahli majlis dan sebagainya kadangkala tidak dapat diteruskan kerana tidak ada perjanjian bertulis dan sukar dilaksanakan. 

Ada kes pesakit terpaksa dibiarkan berkeliaran tanpa rawatan sebab sukar mendapat bantuan merawat mereka. Maka, stigma terhadap pesakit mental dan keluarga mereka juga semakin menebal.



Dalam laporan khas terdahulu, penulis ada menyuarakan hasrat ramai penjaga pesakit mental  dan NGO sokongan kesihatan mental seperti Pertubuhan Ketenangan Minda Malaysia (MaRMA) yang menyeru kerajaan menyediakan pusat rehab (rehabilitasi) bagi pesakit mental.

Pusat ini bukan hanya beroperasi sebagai satu pusat penjagaan sahaja tetapi lebih kepada sebuah pusat latihan komuniti dalam pembinaan insan yang dapat memulihkan pesakit mental supaya mereka dapat kembali berkhidmat pada masyarakat.  

Ramai pesakit mental tergolong daripada mereka yang kurang berkemampuan. Jika ada pusat seumpama itu, ramai keluarga pesakit dapat menghantar keluarga yang sakit mental untuk mendapat rawatan dan pemulihan dengan kos yang tidak tinggi. 


Dr Salina Abd Aziz,

Bagi Dr Salina Abd Azizi, Mantan Ketua  Jabatan Psikiatrik dan Kesihatan Mental, Hospital Kuala Lumpur, suatu ketika dulu kerajaan memang pernah ada hasrat membina pusat rehab untuk pesakit mental, yang lebih kepada konsep komuniti. 

Namun kerajaan bimbang kewujudan pusat berkenaan akan membuatkan ahli keluarga akan lepas tangan dan tanggungjawab menjaga pesakit diletakkan sepenuhnya pada bahu kerajaan.  

Malah cadangan untuk rawatan ke rumah pesakit setiap bulan juga pernah dibincangkan dan telah ada dilaksanakan. Cuma dalam pelaksanaan rawatan dari rumah ke rumah, kerajaan kekurangan staff dan kekangan dari segi pengangkutan. 

Apatah lagi, pesakit mental bertambah setiap tahun, dan menyebabkan tak semua pesakit mendapat perkhidmatan berkenaan.

"Satu lagi masalah ialah bila pesakit yang agak teruk dan agresif perlu dibawa ke hospital untuk rawatan, KKM kurang pengangkutan, pihak polis pula kurang beri kerjasama.  

"Mengenai pusat rehab , memang ada cadangan mewujudkan rumah dalam komunniti untuk pesakit mental ni. Di mana mereka yang sudah boleh kawal sakit mental dan boleh berfungsi dengan baik tinggal di tempat ini dan hidup dengan kawalan komuniti. 

"Tempat ini juga boleh dijadikan tempat latihan dan pemulihan. Mereka boleh bekerja dan hidup seperti biasa. Dalam perancangan ini banyak yang perlu difikirkan dan kerjasama dengan beberapa pihak juga sangat diperlukan," katanya lagi.


Sebuah rumah penjagaan pesakit mental yang mampu dibayar oleh golongan yang kurang berkemampuan. 

Ironinya memang banyak perancangan yang dibuat oleh kerajaan untuk membantu pesakit mental dan keluarga mereka. Namun banyak yang tidak dapat dilaksanakan atas sebab sebab tertentu. 

Dengan peningkatan pesakit mental dan pelbagai kekurangan dan kekangan daripada pihak kerajaan, keluarga pesakit mental perlu lebih peka dan bantu pesakit mental dengan apa juga kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan. 

Umpamanya Pusat Latihan Mentari yang merupakan pusat aktiviti harian pesakit mental dan ubat-ubat percuma yang disediakan oleh hospital. 

Keluarga pesakit juga perlu ada ilmu dalam mengendalikan pesakit mental. Di samping itu, kerjasama daripada jiran-jiran dan masyarakat setempat sangat diperlukan untuk sama-sama menangani masalah pesakit mental. 

Pesakit mental adalah tanggungjawab bersama keluarga dan masyarakat. Jika nampak mereka berkelakuan aneh perlu dipujuk untuk mendapat rawatan segera.

Di negara kita memang ada pusat rehab yang disediakan oleh pihak swasta namun ada yang terlalu mahal dan hanya mereka yang " berduit" mampu menghantar keluarga yang sakit mental disana. 

Manakala pusat jagaan yang agak murah pula tak banyak dan terlalu penuh sehingga tempat berkenaan seolah-olah menjadi tempat buangan pesakit mental yang ditinggalkan oleh keluarga mereka. 

Ramai pesakit mental adalah dalam golongan yang kurang berkemampuan. Ada kes-kes di mana pesakit didera oleh pusat penjagaan pesakit mental sehingga mengalami kecederaan yang teruk. 


Sebuah pusat penjagaan eksklusif untuk pesakit mental di negara kita


Apa pun penulis berpendapat isu pesakit mental bukan isu remeh. 

Ia suatu yang sangat serius kerana jika bilangan pesakit mental semakin bertambah setiap tahun dan perancangan untuk memulihkan mereka tidak dilaksanakan dengan segera, negara akan berhadapan dengan persekitaran yang tidak harmoni kerana bila-bila masa pesakit mental boleh menyebabkan kejadian yang tidak diingini. 

Antara yang paling membimbangkan ialah golongan yang sakit mental ini ramai daripada golongan remaja yang mana mereka adalah generasi muda yang akan menerajui negara kita pada masa depan.  

Jika generasi muda kita sudah " lumpuh" kerana penyakit mental bagaimana kita dapat membangunkan negara dan menjamin kesejahteraan hidup masyarakat. - KitaReporters


10
16
0
6
0

Copy Link: