Keluarga fakir, ibu berpantang, bayi usia 5 hari! Tinggal di pondok tepi longkang! LZS tampil bantu!
Published byKredit foto: Team Operasi Agihan Daerah Hulu Langat, Lembaga Zakat Selangor
Masyarakat prihatin akan sentiasa peka pada kemiskinan dan kesukaran orang lain. Aduan kepada Pasukan Operasi Agihan Daerah Hulu Langat. Lembaga Zakat Sekangor (LZS) mengenai sebuah keluarga yang dalam keadaan daif dan memerlukan bantuan segera telah dapat membantu keluarga daif ini menjalani hidup yang lebih baik.
Team Operasi Agihan Daerah Hulu Langat telah menerima aduan daripada amil kariah Cheras Jaya.
Mereka telah bergegas ke sebuah kawasan perindustrian di mana mereka mendapati ada sebuah keluarga yang berteduh di pondok terbiar di tepi longkang yang pada asalnya pondok itu adalah sebuah gerai menjual goreng pisang dan makanan.
Tempat ini telah diubah suai oleh keluarga ini dan dijadikankan sebagai tempat berteduh keluarga berkenaan.
Kredit foto: Team Operasi Agihan Daerah Hulu Langat, Lembaga Zakat Selangor
Menurut Amil berkenaan, keluarga ini telah tinggal di situ selama 2 bulan. Didapati ruang tidurnya terlalu sempit dan tempat memasak di buat diluar pondok serta tiada bekalan elektrik dan air. Keluarga tersebut menggunakan air tadahan hujan sebagai sumber utama untuk minum dan mandi.
Lebih menyedihkan keluarga ini baru sahaja menimang cahaya mata perempuan berusia 5 hari. Dengan keadaan tempat yang sangat panas serta sistem pengudaraan yang kurang baik, tempat ini sangat tidak sesuai buat bayi yang baru lahir ini.
Keadaan panas dan sempit telah menyebabkan bayi tersebut kerap menangis kerana tidak selesa.
Si suami {pemohon} diberhentikan kerja 4 bulan yang lalu disebabkan kontrak kerja yang telah tamat.
Sebelum ini keluarga mereka menginap di sebuah rumah sewa dengan bayaran sebulan RM600. Bagaimanapun mereka telah dihalau kerana tidak mampu membayar sewa rumah disebabkan ketiadaan sumber kewangan.
Disebabkan itu keluarga ini nekad untuk berteduh di pondok sebagai tempat berlindung.
Lelaki ketua keluarga ini berasal dari Sabah tetapi tidak mempunyai kad pengenalan dan hanya mempunyai sijil kelahiran. Disebabkan itu, beliau sukar untuk mencari pekerjaan lain. Si isteri pula berstatus OKU fizikal, beliau tidak bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa.
Setelah pihak Amil kariah Cheras Jaya berbincang dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS), keluarga ini berjaya ditempatkan di sebuah rumah inap buat sementara waktu bagi proses mencari rumah sewa yang baru.
LZS diwakili Ketua Operasi Agihan Daerah Hulu Langat telah turun menyantuni asnaf tersebut dan memberi sumbangan berbentuk wang tunai untuk perbelanjaan makan minum dan kelengkapan bayi.
Suami wanita berkenaan telah didaftar dan layak dikategorikan sebagai asnaf fakir serta akan dipertimbang untuk menerima bantuan Kewangan Bulanan, Sewa Rumah dan Makanan Bulanan dalam masa yang terdekat.
LZS mengucapkan ribuan terima kasih kepada Amil Kariah Cheras Jaya yang banyak membantu dalam menyantuni asnaf tersebut.
"Alhamdulillah dengan manfaat agihan zakat ini dapat mengurangkan sedikit bebanan dan memberi sinar kebahagiaan kepada pemohon dan keluarga dalam menyambut Ramadan yang mulia ini," kata wakil LZS.
Pesanan LZS kepada masyarakat, teruskan berzakat untuk membantu mereka yang memerlukan. Masyarakat boleh mendapat maklumat mengenai Lembaga Zakat Selangor di https://fpx.zakatselangor.com.my/.
Ketahuilah sedikit bagi anda, tetapi ia mungkin segalanya buat mereka. - KitaReporters
Kredit foto: Team Operasi Agihan Daerah Hulu Langat, Lembaga Zakat Selangor