ADUN Bekok, Tan Chong (kanan) berbincang sesuatu dengan pegawai JPS Segamat, Marwan (dua dari kiri) dan wakil pekebun (dua dari kanan) ketika melakukan lawatan tapak jalan pertanian Kampung Sungai Gatom,Labis, Johor pada 4 Januari 2024 lalu. 


Permukaan jalan pertanian di Kampung Sungai Gatom, Labis, Johor yang rosak menyukarkan pekebun membawa hasil kebun mereka keluar.


Lebih 100 pekebun khususya pemilik kebun getah dan kelapa sawit di Kampung Sungai Gatom, Labis, Johor boleh menarik nafas lega selepas masalah kerosakan jalan pertanian yang menjadi nadi perhubungan untuk membawa keluar hasil kebun mereka selama ini mendapat perhatian berwajib.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekok, Tan Chong berkata, musim tengkujuh yang menyaksikan hujan berpanjangan baru-baru menyebabkan jalan pertanian yang sudah sedia kala rosak itu menjadi lebih teruk sehingga terdapat beberapa kawasan terutama di kawasan rendah serta tanah lembik mendap dan sukar dilalui kenderaan.

"Melalui tinjauan yang dilakukan sebelum ini, saya dapati jalan tersebut merupakan satu-satunya laluan yang ada untuk pekebun mengangkut hasil kebun mereka keluar dan saya juga maklum terdapat keperluan untuk menaik taraf laluan tersebut dengan segera bagi memastikan situasi tersebut tidak menjejaskan ekonomi pekebun yang terlibat. 

"Keseluruhan jalan tersebut adalah sepanjang 3.5 kilometer (km), namun kerja-kerja menaik taraf kali  ini hanya  akan melibatkan laluan sejauh 1.5 km yang kritikal berdasarkan peruntukan yang ada ketika ini," katanya ketika lawatan tapak bersama pegawai Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Segamat selaku agensi pelaksana dan pemimpin setempat pada 4 Januari 2024 lalu.


Tanah lembik antara punca permukaan jalan mendap dan tidak boleh dilalui kenderaan.


Katanya, pihaknya masih berusaha untuk mendapatkan peruntukan tambahan bagi tujuan menaik taraf baki laluan kira-kira dua kilometer lagi dan berharap permohonan tersebut diluluskan oleh pihak berwajib dalam masa terdekat bagi memastikan pendapatan pekebun tidak terjejas disebabkan kesukaran untuk membawa hasil kebun mereka keluar.

Menurutnya, kerja-kerja menaik taraf jalan tersebut melibatkan kerja menambak dan meratakan permukaan jalan serta menabur lapisan batu crusher run sepanjang 1.5  km yang sudah dikenal pasti bagi memastikan tiada kawasan air bertakung yang boleh menyebabkan tanah mendap dan jalan berlubang.

Katanya, melalui taklimat oleh pihak JPS Segamat selaku agensi pelaksana kerja-kerja menaik taraf serta kerja lain yang berkaitan akan bermula dalam tempoh sebulan lagi. 
Namun tambahnya, walaupun tarikh mula kerja dan tempoh siap sudah ditetapkan, namun segalanya masih lagi dipengaruhi oleh faktor cuaca memandangkan negara masih dalam tempoh musim tengkujuh yang diramalkan sehingga hujung bulan Mac 2024 depan.

Usaha penduduk menambak pasir di kawasan jalan yang berlubang dan ditakungi air hanya merupakan penyelesaian sementara. 


"Sejak kebelakangan ini cuaca agak baik di mana keadaan permukaan jalan ini agak kering dan tidak begitu licin kecuali beberapa kawasan yang masih ditakungi air dan tanahnya lembik menyebabkan terbentuk mendapan agak dalam dan sukar dilalui kenderaan.

"Saya yakin jika keadaan cuaca baik dalam tempoh beberapa minggu akan datang kerja-kerja menaik taraf jalan ini yang dijadualkan tidak lama lagi akan lebih lancar dan dapat disempurnakan mengikut jadual," katanya.
Dalam masa sama Tan Chong turut mengingatkan pekebun yang melalui jalan tersebut sepanjang tempoh perlaksanaan kerja-kerja menaik taraf laluan tersebut agar sentiasa berhati-hati terhadap aspek keselamatan mereka bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Ini disebabkan penggunaan jentera berat serta banyak lori yang mengangkut batu crusher run akan keluar masuk sepanjang tempoh itu yang memerlukan semua pihak agar lebih berhati-hati terutama melibatkan aspek keselamatan.

Jalan pertanian tanah merah yang merupakan satu-satunya laluan yang ada untuk pekebun di Kampung Sungai Gatom, Labis, Johor membawa keluar hasil kebun mereka akan berubah wajah selepas ditambak batu crusher run tidak lama lagi. 


"Saya sentiasa memberi perhatian terhadap aduan penduduk berhubung kerosakan jalan pertanian di dalam kawasan DUN Bekok kerana kerosakan jalan pertanian bukan sahaja menyukarkan pekebun memasarkan hasil kebun malah turut memberi kesan secara langsung kepada pendapatan mereka.

"Namun saya juga berharap penduduk faham tidak semua masalah melibatkan jalan pertanian dapat diselesaikan serta merta lebih-lebih lagi yang memerlukan peruntukan daripada kerajaan negeri mahu pun kerajaan pusat. Ada kalanya permohonan untuk mendapatkan peruntukan memerlukan sedikit masa," katanya. - KitaReporters

ADUN Bekok, Tan Chong (tiga dari kiri) dan Pegawai JPS Segamat, Marwan (dua dari kiri) mendengar penerangan wakil pekebun mengenai kepentingan jalan pertanian tersebut kepada pekebun di Kampung Sungai Gatom, Labis, Johor.

15
14
0
11
0

Copy Link: