Paul Pogba pun tonton Omar & Hana! Didik anak-anak kenal Islam! Pengalaman silam jadi pedoman!
Published byPogba menjadikan siri animasi Omar & Hana sebagai tontonan keluarga. - Kredit foto: Facebook Paul Pogba.
Apabila tular gambar Paul Pogba menonton animasi Omar & Hana melalui telivisyen, ramai rakyat Malaysia sangat teruja. Masakan tidak, sudah pasti kita berbangga kerana animasi terbitan tempatan menjadi tontonan pemain tengah Manchester United itu.
Dalam status dimuat naik melalui
laman Facebook rasmi miliknya itu, Pogba mengakui menonton program itu bersama
keluarga selepas membeli TV baharu.
"Bersama C62+ TV terbaharu saya dari TCL dan ianya skrin bersaiz XXL. Sesi menonton filem bersama keluarga di rumah," katanya yang memiliki hampir 25 juta pengikut di laman sosial itu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Paul Pogba
Sama ada kebetulan atau Pogba memang penggemar siri animasi itu, namun umum sedia maklum bahawa bintang bola sepak Perancis itu adalah seorang Muslim yang sangat taat kepada pegangan agama.
Jadi, ada kemungkinan siri Omar & Hana menjadi pilihan sebagai wadah untuk Pogba mendidik anak-anaknya mengenai Islam agar apa yang dilaluinya sebelum ini tidak berulang kepada mereka.
Pogba (kiri) bersama rakan sepasukan dalam pasukan Perancis, Kurt Zouma ketika menunaikan umrah. - Kredit foto: Instagram Paul Pogba.
Menyingkap kisah hidup Pogba,
dia sendiri hanya mendekati Islam ketika menginjak usia remaja. Seperti
yang pernah dikongsi pemain itu, dia bukanlah seorang Islam sejak lahir
walaupun ibunya, Yeo Moriba adalah seorang muslim.
Ibu Pogba dalam satu laporan oleh
Independent berkata, dia tidak pernah meminta atau memaksa ketiga-tiga anak
lelakinya memeluk agama Islam sebaliknya memberi mereka kebebasan untuk
menentukan kehidupan sendiri.
Pogba memberitahu, dia mula
tertarik dengan Islam melalui pergaulan dengan rakan-rakannya yang kebanyakan
beragama Islam.
“Islam datang kerana saya
mempunyai ramai rakan beragama Islam. Kami selalu berbincang. Saya bertanyakan
banyak hal, kemudian saya mula melakukan penilaian sendiri.
“Saya turut berdoa bersama rakan-rakan dan merasakan sesuatu yang berbeza. Saya berasa sangat tenang. Sejak hari itu saya terus melakukannya. Solat lima waktu sehari sebagai salah satu rukun Islam,” ujar Pogba.
Pemain itu mengaku, selepas mendekati Islam, dirinya berubah menjadi lebih baik. Banyak perubahan positif yang dirasakannya, termasuk sikap saling menghormati antara satu sama lain.
“Ia membuat saya berubah, menyedari sesuatu dalam kehidupan. Saya fikir, ini mungkin kerana Islam membuatkan saya lebih tenang. Ia adalah satu perubahan yang bagus dalam hidup saya kerana saya bukan dilahirkan sebagai Islam walaupun ibu saya adalah seorang Muslim.
“Sejak hari itu, saya teruskan
amalan hidup Islam. Anda perlu solat lima kali sehari kerana ia adalah tiang
Islam. Makna di sebalik solat itu adalah untuk anda memohon keampunan dan bersyukur
atas apa yang anda miliki, seperti kesihatan dan segala-galanya.
“Ia adalah agama yang benar-benar membuka minda saya. Anda sentiasa berfikir kehidupan selepas mati. Kehidupan ini hanya ujian,” katanya.
Pogba kerap melakukan sujud syukur apabila menjaringkan gol atau pasukannya mencapai kemenangan. - Kredit foto: twitter/ @teofcelik.
Beberapa perkongsian melalui Instagram sebelum ini turut memaparkan bagaimana Pogba beribadah, menampilkan sisi berlainan dirinya.
Malah, ciri-ciri Islamik turut dibawa
di dalam padang apabila Pogba kerap dilihat berdoa sebelum perlawanan dan melakukan sujud syukur sebagai meraikan jaringan atau kemenangan.
Malah, pada 2017, Pogba berkongsi
gambar-gambarnya ketika mengerjakan ibadah umrah selepas membantu Manchester United meraih gelaran Liga
Europa pada tahun itu.
Pogba dikatakan kini sedang
membimbing isterinya, Zulay Pogba, yang dikahwini pada 2019 ke arah kehidupan
Islam.
Zulay yang berasal dari Bolivia, sebelum itu terkenal sebagai seorang model, kini dilihat semakin manis mengenakan busana yang menutup aurat serta berhijab.
Isteri Pogba, Zulay kini tampil berimejkan Islamik. - Kredit foto: Instagram zulaypogba.
Pogba dan Zulay serta anak mereka bergambar dalam masjid Sheikh Zayed di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE). - Kredit foto: Instagram zulaypogba.
Jadi, tidak hairan jika animasi Omar & Hana menjadi tontonan pilihan Pogba dan keluarganya kerana siri terbitan Digital Durian (DD) itu adalah kartun berunsurkan Islamik dan menghasilkan isi kandungan berilmiah untuk tatapan anak-anak bersama ibu bapa.
Selain menyajikan kandungan dalam Bahasa Melayu, siri Omar & Hana juga bersiaran dalam versi Bahasa Inggeris, Arab dan Urdu. Ketika ini, siri Omar & Hana versi Bahasa Inggeris berjaya mengumpul lebih 900,000 pelanggan (subscriber) melalui saluran Youtube.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DD, Sinan Ismail turut teruja apabila mengetahui siri animasi Omar & Hana turut ditonton oleh Pogba.
“Terima kasih Pogba kerana memilih Omar & Hana untuk ditontonkan kepada anak-anak anda. Kami berharap ianya dapat memanfaatkan anda, anak-anak dan keluarga.
“Jikalau anda mahukan maskot Omar & Hana membuat
kejutan pada ulang tahun kelahiran anak-anak anda, boleh beritahu kami!” kata
Sinan menerusi satu muat naik melalui akaun Linkedin miliknya.
Selain daripada siri animasi Omar & Hana, DD turut menerbitkan sebuah lagi siri animasi yang terkenal dalam kalangan rakyat tempatan iaitu Didi & Friends. – KitaReporters