Kakak masih trauma! Sukar nak lelapkan mata! Adik mati tercekik tulang! Singgang daging korban!
Published byKredit foto: FB @W'suria W'ishak
Allahyarham Wan Azlan Ishak, - Kredit foto: FB @W'suria W'ishak
KAKAK kepada seorang pemuda, Wan Azlan Wan Ishak, 28, di Besut, Terengganu yang meninggal dunia akibat tercekik tulang daging korban pada hari raya ketiga Aidiladha lalu (12 Julai 2022) mengaku sehingga sekarang dia masih trauma dengan kejadian yang menimpa adiknya yang berlaku dengan sekelip mata secara tiba-tiba di depannya.
Kakak terbabit, Wan Suria Wan Ishak, 32, yang tinggal di Alor Selising, Jertih berkata sehingga hari in juga dia tidak dapat tidur malah lelapkan mata kerana asyik terbayang Wan Azlan meronta-ronta menangis meminta tolong dirinya supaya membuang tulang singgang daging tercekik pada tenggorok arwah.
Lagi cerita-cerita tragedi berkaitan kes-kes tercekik
‘’Namun, kejadian itu berlaku dengan pantas, wajahnya telah bertukar menjadi biru dan ketika itu saya tidak mampu berbuat apa-apa kecuali saya suruh arwah banyak mengucap sambil saya berusaha mengorek tulang yang berada di dalam mulutnya yang sudah berdarah tetapi tidak berhasil.
‘’Dalam keadaan cemas itu, saya tidak putus-putus berdoa pada Allah supaya selamatkan adik saya yang sukar bernafas kerana tercekik tulang itu, tetapi apa kan daya tiba-tiba arwah terjatuh terbaring kaku dalam keadaan tidak sedarkan diri,’’ kata Wan Suria dalam laman Facebooknya pada 13 Julai 2022.
Wanita itu berkata, setelah Wan Azlan terjatuh dia terus keluar rumahnya untuk meminta pertolongan sesiapa sahaja yang melalui jalan di depan rumahnya bagi mengangkat adiknya ke dalam kereta bagi dibawa ke Hospital Besut.
Tetapi, katanya, ketika itu tiada sesiapa pun yang melalui jalan di depan rumahnya lalu Wan Suria menghubungi adik beradiknya supaya datang ke rumahnya untuk menghantar Wan Azlan yang tidak sedar diri itu ke hospital.
Kira-kira 10 minit kemudian adik-beradik Wan Suria tiba di rumahnya dan membawa Wan Azlan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Besut.
‘’Tetapi tuhan lebih menyayangi adik saya dan doktor yang merawat Wan Azlan mengesahkan dia sudah menutup usianya pada 5.50 petang (12 Julai 2022),’’ cerita Wan Suria lagi dalam Facebooknya.
Selanjutnya kakaknya memberitahu bahawa kejadian itu berlaku ketika Wan Azlan makan singgang daging korban di rumahnya selepas mangsa pulang dari kerja.
Kalau diikutkan sebelum ini, Wan Azlan tidak makan singgang daging kerana lauk kegemarannya adalah ayam selain dia juga tidak makan ikan kerana dia masih trauma lagi akibat pernah tercekik tulang ikan ketika makan nasi dahulu.
‘’Saya lihat petang kejadian itu, dia bersungguh sangat hendak makan singgang daging kemudian dia sendiri panaskan lauk itu untuk dimakan bersama nasi.
‘’Semasa saya sedang menyapu di luar rumah, tiba-tiba terdengar suara Wan Azlan dari dapur memanggil saya mengatakan dia tercekik tulang daging menyebabkan dia susah bernafas.
‘’Kehilangan adik saya amat dirasai ahli keluarga kerana dia orang baik dan peramah tetapi kami tetap reda dengan pemergiannya dalam sekelip mata,’’ kata Wan Suria dalam hantaran Facebooknya. - KitaReporters
Kredit foto-foto: FB @W'suria W'ishak