Helmi Foad: Dulu kerja media sekarang jual roti kukus kaya! Berdikari demi masa depan keluarga

Published by
KitaReporters

DIA pernah bekerja sebagai wartawan selama 22 tahun dengan syarikat Utusan Melayu (M) Berhad yang kini sudah tidak lagi beroperasi, dengan jawatan terakhir penolong pengarang berita. Apabila syarikat menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS), dia menerima tawaran tersebut dan berundur pada Disember 2018. : KitaReporters


ROTI dikukus dalam pengukus buluh di gerai Helmi, kemudian disapu kaya. Memang enak.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Utusan Melayu:

https://kitareporters.com/search?search=Utusan+Melayu


Dia kemudian bertugas sebagai pengarang akhbar mingguan Wilayahku di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan, Kementerian Wilayah Persekutuan, mulai Disember 2018 sehingga meletak jawatan pada Jun 2020.  

Tiga bulan Helmi Mohd Foad, 48, menganggur sebelum bekerja sebagai pembantu restoran di Putrajaya pada pertengahan September 2020. Itu pun tidak lama. Dia berhenti pada hujung September kerana ingin berniaga.

Setelah sekian lama bekerja makan gaji, Helmi merasakan sudah tiba masa untuk berdikari dengan bekerja sendiri


HELMI Mohd Foad melayan seorang pelanggan yang datang membeli roti kukus kaya di gerainya di Taman Seri Dengkil, Sepang, Selangor.


Dia memilih berniaga makanan, iaitu roti kukus kaya yang dimulakan pada Oktober 2020. Lokasi gerainya di tepi jalan besar, Taman Seri Dengkil, Sepang, berhampiran lot kedai, di hadapan Speedmart 99.

Ditanya bagaimana timbul minat berniaga, Helmi memberitahu, dia sebenarnya sudah lama berniaga secara sambilan ketika masih bekerja di syarikat media arus perdana.

“Selepas mengundur diri daripada jawatan dengan akhbar mingguan, saya ada juga mencari kerja lain. Ada juga tawaran tetapi saya rasakan tidak sesuai dengan umur dan skop kerja,” kata lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu.

Berbekalkan pengalaman berniaga kecil-kecilan sewaktu bekerja, Helmi tekad menceburi bidang itu dengan lebih serius, khususnya dalam  bidang makanan, berbekalkan pengalaman singkat bekerja sebagai pembantu restoran di Putrajaya.


HELMI MOHD FOAD... Berhenti berkerja untuk berniaga.


Kenapa memilih perniagaan roti kukus kaya? Menurut Helmi, idea ini timbul secara tidak sengaja. 

Pada suatu hari majikan memintanya mencari produk roti kukus atau roti bakar.

“Jadi saya melakukan carian dalam Internet dan menemui produk roti kukus kaya asli Kuala Kangsar. Kebetulan saya pernah melihat produk ini di Kota Damansara.

“Saya menguruskan perolehan stok produk ini. Namun melihat potensi produk ini saya mengambil keputusan menjalankan sendiri perniagaan ini. Setelah memperoleh lokasi sesuai, saya pun memulakan perniagaan,” kata Helmi yang berasal dari Sungai Besar, Selangor.

Menurutnya, dia tidak pernah menerima sebarang bentuk latihan berniaga daripada mana-mana agensi. Juga masih belum berkesempatan menghadiri mana-mana kursus.

“Cuma pihak pemilik produk roti kukus kaya ada memberi latihan asas sehari. Selebihnya saya belajar sendiri,’ kata Helmi.


PAKEJ roti kukus kaya di gerai Helmi, set tiga buku roti berharga RM5 dan set tujuh buku berharga RM7.


Mengenai modal perniagaan, Helmi memberitahu, dia menggunakan simpanan sendiri dan bantuan kawan-kawan. Modal yang diperlukan kira-kira RM500 untuk pendaftaran ejen dan bahan mentah. Selebihnya ialah modal untuk barangan seperti kanopi, dapur dan lain-lain.

Keseluruhannya modal yang dikeluarkan hampir RM1,000. Helmi mengakui tiada pendapatan sewaktu menganggur lebih kurang tiga bulan dan berterima kasih kepada kawan-kawan yang memberi bantuan penyediaan peralatan.

Helmi bersyukur kerana sehingga ini sambutan terhadap perniagannya menggalakkan.  

Dalam sehari dia mampu menjual sehingga 100 buku roti. Roti kukus kaya ini dijual dalam set. Set A tiga buku roti  dengan harga RM5 atau set B tujuh buku roti dengan harga RM10.

“Sebenarnya saya sedang berusaha keras meningkatkan jualan kerana 100 buku sehari masih dianggap rendah. Sasaran saya ialah antara 300 hingga 500 buku sehari untuk meraih pendapatan lebih stabil untuk memenuhi komitmen keluarga,” kata Helmi.


GERAI roti kukus kaya Helmi di Taman Seri Dengkil, Sepang dan pakej roti yang dijual.


Menurutnya, dia berniaga berseorangan. Tetapi pada waktu sekolah ditutup, anak-anak turut membantu. Dia membuka gerai enam hari seminggu, kecuali Jumaat, dari pukul 11 pagi hingga 5.30 petang.

Helmi mempunyai harapan dan cita-cita besar. Jika jualan meningkat sehingga 500 buku sehari dia berhasrat membuka cawangan. Namun faktor lokasi perlu diberi perhatian teliti.

Helmi memperoleh bekalan roti dan kaya daripada stokis setiap minggu. Kaya bukan sebarang kaya tetap resipi asli pemilik francais yang memang enak disapu pada roti yang dikukus dalam pengukus buluh.

“Kalau dah pandai buat kaya sendiri nanti bolehlah berdikari atas jenama sendiri,” kata Helmi.

Kepada mereka yang ingin menikmati keenakan roti kukus kaya, datanglah ke gerai perniagaan Helmi di Taman Seri Delima, Dengkil. Sekali rasa pasti tak lupa. Tentu mahu lagi.

Yang ingin membuat tempahan baik untuk sendiri atau majlis, boleh berbuat demikian dengan menghubungi nombor 016-3289484. - KitaReporters

24
9
2
1
1

Copy Link: