Tolong kami! Bantu kempen Rayuan Musim Sejuk Yaman, Syria!
Published by“KAMI harap masyarakat seluruh dunia sedar akan realiti keperitan hidup kami di sini. Hidup kami dibelenggu kegelapan, kelaparan dan kesejukan yang mencengkam.” Begitulah harapan Manee, seorang penduduk Yaman (Yemen). : KitaReporters
Lagi kisah-kisah berkaitan Yemen:
https://kitareporters.com/search?search=yemen
“Kami kekurangan bekalan makanan, air dan juga petrol. Harga air sangat mahal untuk dibeli. Sesetengah penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka akibat konflik yang melanda.
"Ramai penduduk Yaman sebenarnya tiada tempat tinggal. Mereka terpaksa menjadi gelandangan, tidur di jalanan atau lorong-lorong yang kotor dan sempit.
Anak-anak penerima manfaat di Yaman tersenyum menerima bantuan pek makanan daripada Islamic Relief.
“Di dalam keluarga ini, hanya saya seorang sahaja yang bekerja. Gaji yang ada pastinya tidak cukup untuk menampung keperluan isi rumah seramai 20 orang termasuk isteri, anak-anak saya, ibu, adik beradik saya yang lain bersama anak-anak mereka.
“Bayangkan betapa sesaknya rumah kecil yang ada empat bilik ini untuk menampung bilangan keluarga kami yang ramai.
“Juadah untuk dimakan setiap hari selalu tidak mencukupi, apatah lagi hendak menyimpan bekalan makanan untuk hari mendatang. Pasti sahaja tiada. Bekalan elektrik juga sering terputus. Tinggallah kami dalam gelap dan kelaparan,” luah Manee penuh sayu kepada Islamic Relief Malaysia dalam satu kenyataan media.
Yaman (Yemen) sudah lama dikenali sebagai negara termiskin di Timur Tengah. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan peperangan di Yaman adalah krisis kemanusiaan terburuk di dunia.
Jutaan penduduk Yaman sedang diancam kebuluran dan mereka tidak mempunyai sebarang keperluan asas untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Kementerian Kesihatan Yaman baru-baru ini menyatakan konflik yang menghantui negara itu telah meragut ratusan ribu nyawa kanak-kanak yang tidak berdosa malahan jutaan kanak-kanak yang masih hidup tika ini juga bakal berdepan nasib yang sama.
Tambahnya, hampir 2 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun sedang mengalami masalah kekurangan zat makanan, 400,000 daripadanya dalam keadaan kritikal manakala 12,000 lagi dilaporkan telah meninggal dunia.
Hampir 2 juta kanak-kanak Yaman di bawah umur lima tahun sedang mengalami masalah kekurangan zat makanan. Mereka perlu bantuan segera untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Kini, dengan ancaman pandemik Covid-19 dan cabaran musim sejuk menambahkan lagi tekanan juga kesengsaraan mereka.
Dengan harga barangan dan petrol yang mahal, bagaimana mereka mampu untuk menghangatkan diri dan keluarga dalam kesejukan yang mencengkam. Ditambah pula gelandangan yang tidur beralaskan lantai simen dan berbantalkan lengan, pasti sahaja maut bisa datang meragut nyawa mereka bila-bila sahaja.
Um Mohamed bersama anaknya menerima bantuan kelengkapan musim sejuk.
Um Mohammed, seorang ibu tunggal di Yaman turut meluahkan rasa sedih dan pilu atas nasib yang menimpa mereka tiga beranak.
Kematian suami membuatkan hidupnya bertambah sukar. Dia terpaksa hidup berhimpit di sebuah bilik yang terletak di bandar Taiz, Yaman.
Disebabkan keadaan tempat tinggal mereka terlalu kecil, Um Mohammed sentiasa membiarkan tingkap bilik terbuka bagi membolehkan proses pengaliran udara berlaku meskipun ketika cuaca sejuk.
“Saya terpaksa membuka tingkap untuk mendapatkan udara yang segar namun anak saya yang lumpuh tangan dan kakinya tidak dapat menampung kesejukan yang mencengkam lebih-lebih lagi apabila musim sejuk tiba. Anak saya yang cacat penglihatan juga lemah imunisasi badannya.
“Wang yang ada banyak dihabiskan untuk membiayai kos rawatan kedua-dua anak saya yang OKU ini. Jadi, saya tidak mampu untuk membelikan mereka sellimut dan tilam.
“Anak-anak saya juga sering tidur dalam kelaparan. Sebagai ibu saya rasa sangat sedih dan kecewa dengan diri sendiri kerana gagal memberikan yang terbaik buat anak-anak, namun apa pilihan yang saya ada,” kata Um Mohammed.
Kakitangan Islamic Relief sedang mengagihkan bantuan keperluan musim sejuk kepada penduduk di Yaman.
Islamic Relief Malaysia menerusi kempen Rayuan Musim Sejuk sekali lagi tampil prihatin untuk membantu dengan menyalurkan barangan keperluan seperti arang sebanyak 50 kilogram setiap sebulan, jaket, kasut, stokin, selimut, tilam dan plastik penebat haba.
Kempen ini menyasarkan dana sebanyak RM400,000 untuk manfaat penduduk Sana’a, Taiz, Amran, Dhamar dan Sa’ada di Yaman serta penduduk Aleppo dan Idlib di Syria.
Layari laman web Islamic Relief Malaysia di www.islamic-relief.org.my untuk menyumbang dan ikuti perkembangan serta perkongsian pelbagai lagi kisah penderitaan penduduk di negara-negara konflik menerusi media sosial Islamic Relief Malaysia. - KitaReporters