Syabas Mohd Rozaini Rasli! Diterima jadi sukarelawan KKM! Jadi pemandu van bawa pesakit COVID-19
Published by“BERAT juga hati isteri untuk melepaskan suami menjadi sukarelawan sebagai pemandu apa lagi tugasnya untuk membantu membawa mangsa COVID-19 ke pusat kuarantin kerana menganggap tugas berkenaan berhadapan dengan pelbagai risiko,” kata Mohd Rozaini Rasli.
Bagaimanapun, selepas berbincang dengan isterinya, Sharifah Hambali, 32, sambil menerangkan tujuannya menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan sebagai pemandu dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuatkan isterinya tersenyum sebagai tanda memberi izin.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sukarelawan
Mohd Rozaini berselfie di hadapan van yang dipandunya untuk membawa pesakit COVID-19 ke pusat kuarantin.
Sebelum itu, Rozaini menerima panggilan daripada sahabat yang bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah Besut (PKDB) yang menceritakan keadaan jumlah mangsa yang semakin hari semakin meningkat dan memerlukan pengangkutan serta pemandu untuk mengambil mangsa COVID-19 dari kediaman pesakit sekitar Besut untuk diasingkan iaitu di tempat kuarantin Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kem Wawasan Negara dan Institut Perguruan Sultan Mizan Zainal Abidin.
Sebaik sahaja mengetahui hasratnya untuk menjadi sukarelawan diterima oleh KKM, Rozaini menerima tawaran itu dengan penuh rasa terharu, gembira dan bercampur sedih, namun bertekad untuk menyahut cabaran tersebut walaupun ketika ini pandemik COVID-19 sedang memuncak di daerah Besut, Terengganu.
Van yang dipandu oleh Mohd Rozaini Rasli menjemput pesakit dari rumah untuk dibawa ke pusat kuarantin di Besut, Terengganu
Hasrat Rozaini yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Besut akhirnya menjadi kenyataan apabila pada 29 Mei 2021 dia menggalas tugas pertama membawa 20 pesakit COVID-19 dengan van dari rumah mangsa di sekitar daerah Besut ke pusat kuarantin.
“Pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila memulakan tugas dia diwajibkan menyarung peralatan perlindungan diri (PPE) selama lapan jam ketika bertugas memandu van untuk membawa pesakit COVID-19 dan merasai peluh mengalir seluruh tubuh,” katanya.
Mohd Rozaini bersama isteri, Sharifah Hambali dan dua anaknya.
Menariknya, kata Rozaini, tarikh hari pertama dia memikul tugas sebagai sukarelawan adalah sempena ulang tahun perkahwinan keenam dengan isterinya Sharifah.
Rozaini yang juga Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Jertih, berkata sejak itu dia mulai merasai dan memahami keperitan yang sebelum dialami petugas barisan hadapan yang menyentuh perasaan beliau.
“Paling menyayat hati apabila melihat titisan air mata keluarga mangsa ketika saya dan pegawai KKM sampai di depan rumah untuk menjemput mangsa naik ke dalam kenderaan,” katanya.
Mohd Rozaini Rasli
Rozaini berkata, tugasnya bukan sahaja menjemput pesakit dari rumah ke pusat kuarantin, malah pesakit yang menamatkan tempoh kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin selepas disahkan bebas daripada COVID-19, mereka juga akan dihantar pulang ke rumah masing-masing.
“Penerimaan saya sebagai sukarelawan KKM berdasarkan kelayakan saya yang sudah menerima suntikan vaksin penuh sebanyak dua dos,” katanya.
Beliau mengucapkan penghargaan terima kasih kepada kepemimpinan kerajaan di daerah Besut termasuk Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Besut; dan ADUN Jertih, Datuk Muhamad Pehimi Yusof yang memberi pelbagai bentuk bantuan termasuk sebuah van untuk kegunaan membawa pesakit.
Rozaini berkata, jika ada pihak yang memerlukan perkhidmatan pengangkutan untuk membawa pulang keluarga ke rumah boleh menghubungi beliau menerusi talian 018-8741423. - KitaReporters