Wanita solehah wanita hebat! Tunjang keluarga bahagia! Peneguh jihad suami! Jadi dambaan dunia!
Published by“Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.” (Riwayat Muslim)
Program Hi Tea Amal & Bual Bicara Muslimah ini dihadiri kira-kira 70 orang wanita.
Pengarah Akademik Kolej Islam As Sofa, Ustazah Aisyah Jamilah Mohsin berkata, program itu bertujuan untuk membincangkan tentang peranan wanita sebagai seorang isteri, ibu dan anak dalam pembentukan keluarga yang sakinah mawaddah wa rahmah.
“Sebagaimana kita sedia maklum, wanita merupakan tunjang dalam melahirkan sesebuah keluarga yang bahagia dan hidup dalam keadaan harmoni. Selain lelaki yang bertanggungjawab sebagai nakhoda dalam rumah tangga, wanita turut memainkan peranan penting dalam memastikan kehidupan berkeluarga aman sejahtera.
“Oleh sebab itu, majlis ini dianjurkan sebagai salah satu usaha meningkatkan kesedaran kaum wanita atau Muslimah agar lebih memahami tanggungjawab mereka untuk bergelar wanita solehah dambaan dunia,” ujar Ustazah Aisyah Jamilah.
Majlis turut diserikan dengan bacaan qasidah oleh kumpulan pelajar Kolej Islam As Sofa.
Mereka ialah Ustazah Suria Saad yang merupakan Pegawai Penyelidik, Institut Imam Ahmad Ibn Idris dan Ustazah Amienah Ridzwan iaitu Ketua Jabatan Persijilan Kolej Islam As Sofa.
Menurut Ustazah Suria, hakikat perkahwinan dalam Islam adalah untuk meraih reda Allah semata-mata. Lantaran itu, para wanita yang bergelar isteri perlu bertindak bijak dalam menghadapi pelbagai kemelut alam rumah tangga.
“Wanita sering dikaitkan dengan permainan emosi melampau apabila berlakunya perbalahan dalam rumah tangga. Memang ini satu kebenaran yang sukar dinafikan kerana kelemahan wanita itu sendiri. Namun, kita tidak boleh menjadikannya alasan untuk terus melakukan kesilapan sekali gus mendapat dosa kerana bersikap derhaka terhadap suami.
“Sebaliknya seorang isteri apabila teruji, mereka perlu lebih banyak bersabar kerana ia merupakan rahmat dari Allah agar kita lebih mencintai-Nya,” jelas beliau.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penyelidikan Institut Imam Ahmad Ibn Idris, Ustazah Rozimah Dros turut berucap dan mengupas tentang persoalan ketaatan seorang isteri. Jelas beliau, ketaatan seorang isteri adalah kepada suaminya dan ia datang selepas ketaatan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.
“Semoga kita sentiasa berusaha memperbaiki diri agar menjadi isteri solehah penyejuk hati suami pada saat susah dan senang. Paling utama, berdoalah pada Allah agar mengurniakan kita ketabahan apabila berdepan ujian dalam rumah tangga,” tuturnya.
Program tersebut dihadiri kira-kira 70 orang muslimat dengan sebahagian yuran penyertaan telah diinfaqkan kepada Maahad Tahfiz As Sofa Hulu Langat yang terjejas akibat banjir pada Disember 2021 lalu.
Memetik tafsir Imam Al-Qurthubi mengenai makna wanita solehah itu ialah: “Iaitu (wanita) yang menggembirakan (suami) apabila dilihat, apabila diberi arahan dia taat dan apabila ketiadaan suaminya, dia memelihara (kehormatan suaminya) pada dirinya dan juga hartanya.” - KitaReporters