SEPERTI musibah bah merah 2014pada 4 Januari 2021 sekali lagi daerah Lipis dilanda banjir. Sehingga 5 Januari 2021, seramai 2,185 mangsa banjir daripada 576 buah keluarga dipindahkan ke 42 buah Pusat Penempatan Sementara (PPS) di daerah ini seperti di sekolah, dewan terbuka dan balai raya yang terletak di kawasan selamat. : KitaReporters


Kampung Tempoyang berdekatan bandar Kuala Lipis ditenggelami banjir mula melanda pada 4 Januari 2021. - Kredit foto: FB Lipis


Lagi kisah-kisah sedih berkaitan banjir:

https://kitareporters.com/search?search=banjir


Kebajikan mereka dibantu oleh agensi kerajaan di bawah Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah; Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; wakil rakyat kawasan berkenaan serta petugas barisan hadapan (frontliners).

Tergetus suka dan duka dalam kalangan mangsa apabila berada di PPS khususnya golongan yang paling tertekan, iaitu warga emas, penghidap penyakit, kanak-kanak dan sebagainya.


Ebit Lew mengharungi air ketika membawa bantuan makanan, kain telekung dan baju-T kepada mangsa banjir di PPS masjid ar-Rahman Kampung Telang, Lipis pada 5 Januari 2021. - Kredit foto: Ahmad Nazree Sahbudin


Mujurlah kehadiran tokoh amal dan pendakwah bebas, Ebit Lew ke daerah itu untuk menziarahi mangsa dapat mengubat kesusahan masing-masing di samping reda dengan ujian Allah. 

Kunjungan Ebit Lew selama dua hari, mulai 4 hingga 5 Januari 2021 ke Lipis sempat berziarah dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Chong Hwa, PPS Masjid ar-Rahman Kampung Kuala Telang dan Dewan Terbuka Kampung Tanjung Jambu.


Ebit Lew bertanyakan khabar seorang warga emas yang uzur di PPS di Kampung Kuala Telang. - Kredit foto: FB Mustapa Long


Perasaan ceria tergambar pada raut wajah mangsa-mangsa banjir apabila dapat bersua dengan Ebit Lew selain menerima barangan makanan, baju-T, kain telekung untuk wanita dan sumbangan wang tunai.

Dengan menaiki bot gentian kaca, Ebit Lew juga menziarah petugas barisan hadapan yang terdiri daripada anggota polis dan kakitangan kesihatan di bandar Kuala Lipis antara yang terjejas teruk dengan musibah itu.


Ebit Lew (duduk, depan) bersama anggota keselamatan menaiki bot gentian kaca berziarah petugas barisan hadapan di sekitar bandar Kuala Lipis. - Kredit foto: Ahmad Nazree Shahbudin


MOHD AKMAL ABDUL MANAP


Pembantu Hal Ehwal Islam, Pejabat Kadi Lipis, Mohd Akmal Abdul Manab yang mengiringi pendakwah tersebut, berpandangan Ebit Lew seorang insan sangat pemurah dan cekal hati sanggup berkorban masa, tenaga, harta benda serta wang ringgit membantu mereka yang memerlukan.

"Saya lihat raut wajah Ebit Lew menunjukkan kepuasan dan bersyukur kerana dapat membantu orang susah dan tidak nampak rasa kepenatan pendakwah ini dalam tempoh dua hari berziarah di sini. 

"Semoga Allah melimpahkan ganjaran yang besar dan dikurniakan kesihatan yang baik serta kemampuan untuk berdakwah selain membantu insan yang memerlukan," katanya kepada penulis di Lipis pada 5 Januari 2021.


MUSTAPA LONG


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, beliau bersyukur dan berterima kasih dengan 'kemunculan' Ebit Lew ketika penduduk Lipis berdepan dengan musibah itu.

"Kita mengalu-alukan kehadiran beliau (Ebit Lew) supaya dapat berdakwah serta beramal jariah sekali gus sebagai contoh bahawa rezeki yang diperoleh supaya dapat diinfak kepada insan yang susah dan memerlukan," katanya di PPS masjid ar-Rahman Kampung Kuala Telang.

Beliau menambah, kehadiran Ebit Lew dapat mengeratkan ukhuwah dengan masyarakat di Lipis khususnya mengenali dengan lebih dekat kerana sebelum ini hanya melihat di media sosial dan akhbar tempatan.


Kredit foto: FB Ebit Lew


Dalam pada itu, menerusi hantaran laman sosial Facebook Ebit Lew, tokoh pendakwah itu menukilkan perasaan sayu apabila melihat fenomena banjir yang sangat teruk di Lipis dan terputus hubungan jalan raya.

"......Kami bawa 1,000 helai Tshirt... 1,000 telekung...makanan dan setiap mangsa banjir saya beri sedikit duit belanja tunai. Paling sayu tengok sekolah, balai polis, surau, kuil, kereta, motor, tnb, dan rumah-rumah .... Bila tengok semua tenggelam ada yang tinggal bumbung jer," titipan Ebit Lew penuh sayu menerusi hantaran dalam laman sosial Facebook.

"Syukur dapat beri bantuan di 3 Pusat Pemindahan Banjir.  Bagi semangat dan doa...."

Ebit Lew juga sempat menziarah mangsa lemas bot terbalik Sungai Jelai, di Kampung Bertang, Jelai pada 4 Januari 2021, iaitu jenazah seorang wanita yang baharu tiba di unit forensik, Hospital Lipis. 

".....Tadi sempat juga lihat mangsa banjir ibu dan anak yang hilang. Tadi ibunya yang terkorban telah ditemui. Semoga Allah hadiahkan keampunan dan syurga Firdaus buatnya," nukilan simpati Ebit Lew menerusi laman sosial Facebooknya.

"Ya Allah selamatkanlah Negeri Pahang, Johor, dan semua negeri yang banjir..." Ebit Lew mengakhirkan coretan. - KitaReporters


Ebit Lew (depan, empat dari kanan) bersama petugas barisan hadapan dan mangsa banjir di PPS Kampung Tanjung Jambu, Lipis pada 5 Januari 2021. - Kredit foto: Mustapa Long

11
2
0
0
0

Copy Link: