Kerana tayang gaji guru dalam medsos, Hervina dipecat! Tetapi kemudian diambil semula bekerja
Published byPERINCIAN gaji Hervina yang dimuat naik dalam media sosial mendatangkan kemarahan guru besar tempat dia mengajar. - Kredit foto: Kompas.com
GARA-GARA memuat naik dan 'menayangkan' gajinya berjumlah 700,000 Rupiah (RM202) dalam media sosial, seorang guru sandaran di Sulawesi, Hervina, 34, dipecat kerana guru besar sekolahnya menganggap perbuatan itu memalukan pihak sekolah.
Ini kerana dia juga menayangkan butir-butir mengenai perbelanjaan yang dibuat menggunakan wang itu, termasuk untuk membayar hutang dan memberi kepada ibu sehingga tanpa baki untuk dirinya.
Dia menulis: “Mana untuk saya?”
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan guru:
https://kitareporters.com/search?search=guru
HERVINA dipecat kerana menunjukkan gajinya dalam media sosial. - Kredit foto: Kompas.com
Hervina yang sudah 15 tahun menjadi guru, mengajar di Sekolah Dasar (SD) Negeri 169 Sadar, Dusun Lakariki, Desa Sadar, Kecamatan Tellulimpoe, Kabupaten Bone di Sulawesi.
Sudah empat bulan dia tidak menerima gaji, dan menerima gaji tertunggak berjumlah RM202 atau RM50 sebulan.
Kerana terlalu gembira, dia menayangkan gajinya dalam media sosial tanpa menduga akibat yang bakal ditanggung.
Walaupun sebenarnya perbuatan Hervina membuat posting dalam media sosial adalah untuk melahirkan rasa syukur, namun perbuatannya itu tidak disenangi pihak sekolah.
Memetik laporan Tribunews.com, guru besar, Hamsinah, bertindak memecatnya. Postingnya dianggap memalukan sekolah dan piihak sekolah mencadangkan Hervina mencari kerja di sekolah lain yang boleh memberi gaji lebih tinggi.
Namun Hamsinah mendakwa Hervina bukan dipecat kerana postingnya tetapi kerana jumlah guru di sekolah itu sudah berlebihan.
HERVINA (depan kanan) selesai perbincangan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Daerah Bone yang membincangkan mengenai pemecatannya. - Kredit foto: Agensi.
Apabila berita tersebut tersebar, ia mendapat bantahan daripada penduduk kampung.
Menurut Ketua kampung Desa Sadar, Andi Sudi Alam, guru sandaran amat penting kerana desa tersebut terpencil dan guru tetap kerajaan jarang datang. Kerana itu khidmat guru sandaran sangat diperlukan.
Pada masa sama, dia meminta pihak jabatan pendidikan menambah tenaga pengajar di desanya yang selama ini kekurangan guru.
Andi menekankan, di kampung tersebut ada dua buah sekolah
dan guru kerajaan hanya ada empat orang. Selebihnya adalah guru sandaran dan
khidmat mereka sangat diperlukan.
Katanya, guru tetap kerajaan jarang masuk mengajar kerana desa tersebut amat terpencil dan terletak kira-kira 12 kilometer dari ibu kota Kabupaten Bone.
Hervina (dua dari kanan) menunjukkan tanda bagus selepas dibenarkan mengajar semula. - Kredit foto: makassar.tribunnews.com
Perkara itu kemudiannya dibawa ke sidang Dewan Perwakilan Rakyat (PDR) Daerah Bone pada 19 Februari 2021, dua hari selepas berita pemecatan tersiar.
Susulan sidang itu dan dengan desakan ramai, Hervina dibenarkan mengajar semula.
Hamsinah juga memohon maaf kerana memecat Hervina dan
menawarkan semula jawatan guru sandaran di sekolah sama.
Hervina yang bersyukur kerana diberi peluang sekali lagi
untuk mengajar, berjanji akan menabur bakti dengan mendidik anak bangsa.
Dia juga berterima kasih kepada semua pihak yang menyelesaikan masalah yang berlaku. Pihak berkuasa pendidikan Bone pula akan memperbaharui surat pelantikan Hervina. - KitaReporters