Tinjauan Gardenia! 19% rasa sangat bahagia! 35% puas hati! 40.3% masih berusaha! 5.7% tidak bahagia!
Published byUngkapan “Ia memerlukan penglibatan seluruh kampung untuk membesarkan seorang anak” (It takes a village to raise a child) sering dikaitkan dengan ekosistem yang ideal untuk membesarkan kanak-kanak dengan baik secara menyeluruh.
Tinjauan dan perbincangan panel Gardenia KL Wellness Begins At Home (Kesejahteraan Bermula di Rumah) 2023 pada 11 Mei 2023 lalu mendedahkan bahawa ia juga memerlukan penglibatan satu kampung untuk mewujudkan persekitaran yang positif bagi menyokong kesihatan mental seseorang. Ini termasuk keluarga dan masyarakat sekeliling.
Menurut tinjaun ini juga, 19% responden berasa "sangat bahagia", manakala 35% berasa" berpuas hati tetapi tidak begitu bahagia".
Sementara itu 40.3% responden “masih berusaha” ke arah mencapai kebahagiaan, dan selebihnya iaitu 5.7% responden berasa "hidup langsung tidak bahagia" tentang kehidupan mereka pada masa ini.
“Emosi-emosi ini agak normal kerana kita semua manusia. Walau bagaimanapun, ia tidak lagi normal apabila emosi ini menjejaskan keupayaan kita untuk menjalankan fungsi seharian atau apabila tugas yang mudah menjadi terasa amat mencabar untuk disempurnakan.
"Perubahan tingkah laku ini adalah petunjuk yang seseorang itu perlu mendapatkan bantuan,” jelas Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar.
Analisis lanjut terhadap dapatan tinjauan mendapati bahawa warga emas berumur 56 tahun ke atas (44%) dan responden yang sudah berkahwin dan berkeluarga (33.1%) paling cenderung untuk berasa bahagia berbanding kumpulan responden yang lain.
Faktor persamaan antara kedua-dua kumpulan responden ini ialah kehadiran sistem sokongan, dari segi pasangan atau ahli keluarga.
“Keluarga amat penting. Ia tidak semestinya bermaksud ahli keluarga yang mempunyai pertalian darah sahaja. Ia boleh meluas kepada keluarga di tempat kerja dan juga dalam komuniti.
"Bagi saya, kami memandang antara satu sama lain dalam komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai keluarga.
"Sebagai contoh, jika mana-mana ibu bapa dalam komuniti kita tidak sihat dan anak OKU mereka memerlukan bantuan, kami sedia membantu kerana kami memahami keperluan mereka,” kata Pengasas We & I Art, Zuraini Anuar, yang merupakan ibu tunggal kepada tiga anak, di mana salah seorang daripadanya adalah di dalam spektrum autisme.
Jaguh pelumba basikal trek Malaysia, Dato’ Mohd Azizulhasni Awang, yang juga salah seorang ahli panel dalam perbincangan Gardenia KL Wellness Begins At Home 2023, berkongsi mengenai sistem sokongannya.
“Waktu saya perlu menjalani pembedahan jantung adalah masa yang sangat mencabar bagi saya; secara emosi saya berada pada tahap paling rendah.
"Saya amat bersyukur kerana mempunyai sistem sokongan yang begitu kuat daripada isteri, anak-anak dan keluarga saya serta rakan sepasukan dan jurulatih saya.
"aya juga mengambil inisiatif untuk mendapatkan bantuan dan ini membantu saya melalui masa yang mencabar ini.
"Begitu juga, tempoh ketika saya berjauhan dengan keluarga adalah satu tempoh yang mencabar, tetapi saya mendapati ia penting untuk sering berkomunikasi, dan ia dipermudah dengan teknologi perhubungan yang ada.
"Pendekatan lain yang saya ambil ialah duduk bersama pasukan dan jurulatih saya untuk sesi meluahkan sebarang perasaan sama ada emosi sedih atau kecewa. Ia amat membantu apabila kita berkongsi dengan orang yang kita percayai,” kata pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu. - KitaReporters/Kenyataan Media