Media harus lebih sensitif, beretika! Masalah kesihatan mental! Hormati pesakit mental dan keluarga!
Published byTidak ada siapa di dunia ini mahu mendapat sakit, lebih-lebih lagi sakit mental. Pesakit mental sering dilabel sebagai orang gila, ganas, boleh membunuh dan dipandang seperti sampah masyarakat.
Sedih dan sangat meruntun perasaan, dengan stigma yang melanda pesakit mental dan keluarga mereka.
Selain itu mereka seringkali menjadi " ketakutan" umum dengan berita yang tidak benar mengenai mereka dan paling sedih ada yang dinafikan hak sebagai manusia biasa.
Dalam kes ini, lebih sedih lagi, jika ada bekas pesakit mental yang diakui doktor sudah pulih tetapi dianggap tidak siuman dan terus dipulau dan tidak diterima dalam masyarakat.
Stigma sebagai pesakit mental adakalanya sangat kejam dan tidak mustahil ada antara mereka mengakhiri nyawa sendiri kerana kesengsaraan hidup sebagai pesakit mental dan kehidupan mereka terus diabaikan tanpa pembelaan dan perhatian yang sewajarnya.
Dilema pesakit mental dan keluarga mereka sangat berat. Adakalanya keluarga pesakit mental juga terkesan dengan apa yang terjadi.
Mereka dipulau masyarakat kerana masyarakat tidak pernah ambil tahu apa sebenarnya yang dilalui pesakit dan keluarga mereka sehingga terpaksa menjadi " orang terbuang" dari masyarakat. Kisah-kisah sedih mereka yang mempunyai ahli keluarga pesakit mental hanya difahami mereka yang melaluinya saja.
Kadangkala ada media sengaja menangguk di air keruh dengan mencari kesempatan memaparkan isu sensasi mengenai pesakit mental untuk ditonton umum.
Media sosial juga sekarang lebih berani tanpa tapisan memaparkan pelbagai aksi pesakit mental yang memalukan termasuk aksi ganas yang membawa kesan negatif sekali gus membabitkan ahli keluarga mereka.
Kita tidak tahu apa yang pesakit telah lalui sehingga mereka sakit mental. Kadangkala penderitaan mereka terlalu berat untuk dikongsi dengan sesiapa sehingga mereka tak dapat tanggung lagi dan mengalami sakit mental.
Ayat-ayat sinis seperti pesakit mental kurang iman, pesakit mental tak kuat semangat, pesakit mental lemah dan tak ingat tuhan dan macam macam lagi hanya akan memburukkan keadaan.
Persepsi dan andaian kita yang manusia normal ni sangat jauh berbeza daripada realiti yang mereka sedang alami.
Hakikatnya hanya pesakit mental dan Allah saja yang tahu apa sebenarnya masalah mereka. Mungkin kalau kita juga berada di tempat mereka, mengalami apa yang mereka alami mungkin kita juga boleh menjadi mental.
Tahukah anda masalah mental adalah isu yang sangat membimbangkan di negara kita sekarang.
Daripada 6 orang seorang adalah pesakit mental. Laporan dari Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Mobiliti mendapati satu pertiga rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas berdepan masalah mental.
Malah masalah mental turut menular pada kanak kanak. Seorang daripada 20 kanak kanak berusia 5 hingga 9 tahun di Malaysia mengalami gangguan mental. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merekodkan 424,000 kanak kanak di Malaysia disahkan mengalami masalah mental.
Oleh demikian peranan media seharusnya menjadi lebih proaktif dalam membantu menyiarkan berita bersifat positif mengenai golongan sakit mental ini dan memberi kesedaran pada masyarakat membantu pesakit mental dan keluarga mereka melalui kehidupan yang sukar ini. Media juga harus menjadi mata dan telinga kerajaan dalm membantu memberi info yang bermanfaat kepada masyarakat.
Bagaimanapun trend media sekarang mencari rating, menambah followers dan like telah memusnahkan etika kewartawanan yang suatu masa dulu menjadi panduan, pegangan wartawan dan media tradisional.
Ada media sekarang menjadi semakin biadab, tidak ada perikemanusiaan dan melanggar semua etika yang digariskan untuk kesejahteraan masyarakat demi mengejar populariti.
Bayangkan ada laporan media memaparkan kes pesakit mental yang tidak ditutup wajahnya, nama ditulis terang-terangan, tempat tinggalnya, malah aksi yang memalukan juga tidak disensor demi mengejar pembaca dan rating.
Kerakusan media mengejar berita sensasi telah memberikan impak yang buruk pada pesakit mental dan keluarga mereka . Apabila kisah mereka dipaparkan dalam keadaan mengaibkan bukan sahaja si pesakit yang malu malah seluruh ahli keluarganya juga malu dan mungkin juga akan dipulau oleh jiran-jiran kerana ada anak atau ahli keluarga sedemikian.
Salah satu kisah sedih seorang pesakit mental ialah apabila keluarganya turut dipulau oleh penduduk kampung. Oleh kerana masalah kemiskinan dia tidak dapat membawa anaknya mendapat rawatan ke hospital.
Tekanan demi tekanan dihadapi keluarga ini sehingga beberapa ahli keluarga yang lain turut mengalami sakit kemurungan dan sakit-sakit yang lain.
Sepatutnya media menjadi tunggak utama menceritakan kisah-kisah seperti ini untuk mendapat bantuan dan menyelamatkan keluarga mereka daripada terus menderita dan menjadi orang tengah bagi kerajaan dengan menyalurkan berita-berita berkualiti untuk membantu pesakit mental yang sering tidak mendapat perhatian dan pembelaan.
Bagi saya, seorang pengamal media dan mantan pensyarah dalam bidang media, menanam kembali rasa empati dalam jiwa setiap manusia yang berurusan dengan media adalah sesuatu yang mesti kita buat dengan segera.
Kembalikan etika dan peraturan kewartawanan dan media untuk kita berupaya menyajikan masyarakat dengan info dan maklumat yang berkualiti demi membangun masyarakat yang berakhlak mulia.
Mengajar anak anak dari kecil untuk ada rasa simpati dan empati, juga salah satu cara menyuntik adab dan akhlak yang baik yang semakin pupus daripada generasi muda zaman sekarang. Anak-anak perlu diajar tentang adab dan sensitiviti bila berurusan dengan media sosial.
Apa yang saya dapati, media sekarang lebih banyak membuat kemusnahan daripada kebaikan, jika merujuk pada berita sakit mental. Mereka lebih mencari elemen sensasi sehingga menenggelamkan info utama yang nak disampaikan.
Bagi saya dalam hal ini, media perlu lebih banyak memaparkan sesuatu yang positif mengenai pesakit mental.
Bantulah mereka kembali kepangkuan masyarakat kerana jika ramai yang sakit mental masyarakat kita akan runtuh pembangunan insan dan kehilangan banyak tenaga muda dan kepakaran yang tenggelam bersama mereka yang mengalami sakit mental ini. - KitaReporters