Video| Berpimpinlah tangan sampai ke tua! Bukan masa muda saja! Titah Sultan Pahang pada majlis PEKAP!
Published by"BERPIMPIN tangan itu biarkan sampai ke tua. Bukan untuk orang muda saja dan jadikan kemesraan itu sepanjang hayat." Demikian titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.
Ketika tuanku bertitah demikian yang kemudian disambut dengan gurauan manja oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, "Berpegang tangan pada kala tua itu sebenarnya pasangan itu dah sakit lutut, takut jatuh," yang kemudian disambut deraian gelak ketawa oleh tetamu jemputan rakyat baginda, orang Pahang yang merantau di Kuala Lumpur dan sekitarnya.
Baginda berdua tidak lekang daripada senda gurau yang menceriakan rakyatnya ketika berangkat mencemarkan duli pada Majlis Sambutan Aidilfitri 2024 anjuran Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pahang di Ibu Kota (PEKAP) yang berlangsung di Shah Alam pada 9 Mei 2024.
Hadir sama bekas Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerabat diraja dan ahli jawatankuasa PEKAP.
Lebih 1,500 tetamu yang semua anak Pahang memeriahkan sambutan raya itu yang diserikan dengan orkestra khas dan paling ditunggu-tunggu adalah acara nyanyian lagu-lagu raya oleh baginda berdua.
Baginda berdua saling mengungkapkan kata-kata indah itu ketika menyampaikan lagu Seriring dan Sejalan yang dipopularkan oleh Broery Marantika dan Sharifah Aini.
Baginda Sultan dan Tengku Ampuan turut mendendangkan lagu Selamat Hari Raya dan lagu guridam jiwa klasik, Tuai Padi Antara Masak.
Seperti kata Yang Dipertua PEKAP Datuk Abdul Rahim Abu Bakar, Raja dan Rakyat berpisah tiada yang menggambarkan betapa gembiranya rakyat negeri Pahang dapat bersua lagi dengan baginda. Begitu jua baginda kelihatan sangat gembira buat bila ada saja undangan turun padang, bertemu rakyat.
Keterujaan mereka tidak berubah dan walaupun baginda tidak lagi menjawat Yang Dipertuan Agung dan Raja Permaisuri. Keprihatinan baginda tidak pernah pudar.
Saat itu jelas terpancar jiwa rakyat pada hati baginda apabila dari meja santapan tiba-tiba baginda sultan terus bangun dan menuju ke arah seorang kanak-kanak yang berada di kerusi roda. Kanak-kanak itu yang dibawa oleh ibunya mungkin datang untuk menatapkan wajah baginda.
Lantas baginda bertemu dan bersalam dengan adik Amir Sabri, 11 tahun, yang ditemani ibunya Fadilah. Kanak-kanak itu kelihatan sungguh ceria kerana disapa oleh tuanku yang kemudian bergambar kenangan.
Hampir setiap tahun tuanku berdua menjadi tetamu istimewa yang menceriakan tetamu dan memori paling manis adalah sikap sporting tuanku membuatkan rakyat Pahang beratur panjang untuk bergambar.
Dan agak luculah bila tuanku merakam gambar bersama tetamu dengan menggunakan kamera tetamu selepas ramai yang berhempas pulas mencari ruang untuk merakamkan wajah mereka.
Abdul Rahim berkata keberangkatan tuanku berdua menjadikan majlis PEKAP sentiasa ditunggu-tunggu oleh ahli-ahlinya kerana kasih sayang dan prihatin tuanku berdua itu menjadikan rakyat sentiasa rindu.
Beliau turut merafak sembah junjung kasih kepada Sultan dan Tengku Ampuan dan menyembah berita, sehingga kini lebih 4,000 rakyat Pahang telah mendapat keahlian PEKAP sejak operasi pendaftaran menggunakan sistem digital.
"Sistem Digital PEKAP sangat berkesan untuk mengumpul data keahlian, melancarkan operasi penyampaian maklumat dan usaha ini sebagai langkah merapatkan hubungan anak-anak Pahang di ibu kota," katanya.
Baginda Sultan Pahang mengambil gambar menggunakan telefon tetamuya.
Setakat ini hampir 100,000 anak-anak Pahang sedang merantau di Kuala Lumpur dan sekitarnya, manakala lebih 10,000 lagi sedang melanjutkan pengajian di universiti dan kolej.
Sebelum ini, Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Dato' Seri Wan Rosdy bin Wan Ismail ada mengumumkan Kerajaan Pahang turut menyediakan sekretariat anak-anak Pahang di World Trade Centre (WTC) bagi membolehkan kebajikan anak-anak negeri itu terjaga.
Paling utama kata menteri besar anak-anak Pahang menjadi sistem sokongan terpadu untuk memastikan perantau itu tidak terpengaruh dengan fitnah tentang negeri Pahang. - KitaReporters
Tengok tu betapa baginda berdua sentiasa menjadi tumpuan tetamu, anak-anak Pahang cintakan raja mereka.