Anda solat subuh di masjid? Anda Pahlawan Subuh! 1k hadiri program di Masjid Al-Furqan, Chendering!
Published bySebahagian remaja yang menyertai Program Pahlawan Subuh 5.0
Program Pahlawan Subuh 5.0 yang berlangsung di Masjid Al-Furqan, Chendering, Kuala Terengganu berjaya menarik minat masyarakat Islam memafaatkan diri dengan aktiviti keagamaan yang dianggap kelainan.
Program anjuran Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) itu dihadiri Kira-kira 1,000 jemaah yang terdiri daripada warga emas, anak muda, belia, wanita, dan kanak-kanak hadir seawal jam 4.00 pagi untuk mengikuti qiamullail sebelum diteruskan dengan solat subuh berjemaah.
Solat subuh tersebut diimamkan oleh Al-Syeikh Ali Rasyid Al-Yamani, diikuti dengan tazkirah subuh yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Wan Ahmad Zuki Wan Ismail.
Majlis kemudian diteruskan dengan perasmian Program Pahlawan Subuh 5.0 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Dr Khalil mengucapkan tahniah kepada pihak Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) yang bersungguh-sungguh menjayakan program berkenaan.
Menurutnya, inisiatif tersebut bertujuan untuk mengukuhkan iman
dan kefahaman Islam dalam kalangan rakyat Terengganu.
“Program Pahlawan Subuh ini diubah suai daripada program Solat Subuh Macam Jumaat yang popular di negeri-negeri lain.
"Di Terengganu, kita memperkenalnya sebagai Pahlawan Subuh, yang membawa erti yang tersendiri,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan.
Dr Khalil turut mengingatkan tentang cabaran akidah yang dihadapi umat Islam hari ini seperti sekularisme, pluralisme agama, dan Islam liberal.
“Cabaran-cabaran baharu ini perlu ditangani dengan meningkatkan
kefahaman Islam yang sebenar kepada masyarakat,” ujarnya.
Menurut beliau, kerajaan negeri bersama pihak i-MiTS akan berusaha untuk memastikan rakyat Terengganu dibina dengan pegangan agama yang kukuh.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Masjid Al-Furqan yang menjadi tuan rumah program tersebut dan berharap program Pahlawan Subuh akan terus diadakan di seluruh daerah di Terengganu.
"Bila kita kuatkan pegangan agama, insya-Allah perkara lain akan jadi lebih mudah dan Allah SWT akan tunjukkan jalan hidup yang betul," tambah Dr. Khalil.
Para jemaah yang hadir turut disajikan dengan jamuan makan selepas majlis tersebut. - KitaReporters