Tarikan terbaharu Putrajaya! Penternakan madu kelulut! Maduku Putrajaya bakal tembusi pasaran dunia!
Published byLaman Kelulut di Taman Botani Putrajaya yang menjadi tarikan terbaru kepada pengunjung.
KERJASAMA komuniti Putrajaya dan Perbadanan Putrajaya (PPJ) bagi penternakan kelulut untuk menghasilkan madu di bawah Program Pertanian Bandar Wilayah Persekutuan sejak tahun 2015 mendapat permintaan meluas dari dalam dan luar negara.
Walaupun belum dikomersial secara meluas, projek itu mencatat kejayaan membanggakan apabila memenangi Malaysian Landscape Architecture Award 2017: Putrajaya Meliponine A Friendly Sustainable Approach (Perbadanan Putrajaya).
Setakat ini, projek penternakan kelulut dijalankan di Laman Kelulut Taman Botani Putrajaya, Presint 1; Kebun Kelulut Presint 15; Kebun Kelulut Rimba Desa Presint 9; dan Kebun Kelulut Presint 16.
Penolong Pengarah Bahagian Seksyen Flora dan Fauna, Bahagian Botani PPj, Fatin Nabilah Huda Ismail (kanan) menerangkan manfaat madu kelulut kepada Zaliha (dua dari kiri) sambil diperhatikan Noridah Abdul Rahim (kiri) dan Fadlun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, mengucapkan berkata tahniah kepada PPj kerana menyahut cabarannya sebelum ini untuk meningkatkan industri hiliran ini dengan memperkenal produk madu kelulut yang dinamakan, ‘Maduku Putrajaya’.
Beliau berkata, madu kelulut kini semakin mendapat perhatian sebagai komoditi baharu yang berpotensi tinggi.
"Berdasarkan data dari Jabatan Pertanian, pengeluaran madu kelulut di Malaysia mencecah sehingga 146 kilogram dengan nilai lebih RM21 juta. Ini adalah satu industri yang mampu berkembang, jika diuruskan dengan baik dan strategik.
MARDI turut mengambil bahagian pada Hari Terbuka Pertanian Bandar dan Kelulut Putrajaya 2025 di Taman Botani, Putrajaya.
"Selepas ini, Perbadanan Putrajaya bolehlah meneroka peluang untuk mendapatkan pensijilan halal dan organik bagi produk ‘Maduku Putrajaya’ supaya ia dapat menembusi pasaran antarabangsa seperti di Eropah, Timur Tengah dan Asia Tenggara apatah lagi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tentunya banyak potensi pasaran yang boleh diketengahkan.
"Selain sebagai makanan, produk madu kelulut ini boleh menjadi produk premium dan dieksport dengan nilai tambah seperti produk kosmetik, suplemen kesihatan atau functional foods. Ini juga antara aspek yang boleh diteroka Perbadanan Putrajaya.
"Kita boleh meneroka peluang untuk pelaksanaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang pertanian bandar ini agar lebih banyak produk hiliran dapat dihasilkan dengan kualiti premium dan global," katanya ketika merasmikan Hari Terbuka Pertanian Bandar dan Kelulut Putrajaya 2025 di Taman Botani Putrajaya.
Turut hadir, Presiden PPJ, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud; Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Noridah Abdul Rahim; dan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.
Dr Zaliha menunjukkan kebolehan menggoreng ulam pegaga yang boleh dimakan sebagai kudapan enak.
Dr Zaliha berkata, beliau dimaklumkan Laman Kelulut Putrajaya di Taman Botani, tidak hanya berfungsi sebagai destinasi menarik malah ia juga dijadikan hab pendidikan dan penyelidikan oleh pelbagai pihak termasuklah pelajar universiti dan agensi.
"Menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, ini adalah masa yang tepat untuk mempromosikan Putrajaya sebagai bandar agropelancongan melalui konsep sedia ada, iaitu Bandar Dalam Taman.
"Sebagai bandar dalam taman, hasrat Putrajaya adalah untuk menjadikan pusat pentadbiran negara ini sebagai hab pendidikan kelulut dan penyelidikan industri kelulut di negara ini selain penanaman tumbuh-tumbuhan yang disukai oleh kelulut di sekitar Putrajaya.
"Perbadanan Putrajaya juga boleh membangunkan pakej pelancongan yang menjadikan kebun komuniti sebagai salah satu destinasi pilihan pelancong, baik domestik mahupun antarabangsa. Dan, secara tidak langsung akan meningkatkan ekonomi tempatan," katanya lagi.
Pengunjung berminat mengetahui lebih lanjut mengenai penternakan kelulut yang dikatakan mempunyai nilai komersial yang tinggi.
Dalam perkembangan yang sama, beliau memuji PPJ kerana daripada 15 kebun komuniti yang diusahakan, ia menghasilkan kira-kira RM100,000 jualan pada tahun 2024. Ini bukti kebun komuniti memang memberi manfaat ekonomi kepada komuniti setempat.
"Saya pernah melawat kebun komuniti di Presint 9, yang mengusahakan rock melon dan kualitinya sangat baik. Yang menariknya, daripada 15 kebun komuniti itu, mereka menanam pelbagai jenis tanaman berbeza, antaranya tebu, cincau, bunga kantan, serai, cili, tembikai, kunyit dan daun pandan selain ulam-ulaman.
"Hasil-hasil ini boleh dikembangkan untuk memenuhi permintaan industri lebih besar, contohnya tebu dan cincau dijadikan produk minuman premium untuk pasaran restoran dan hotel; bunga kantan, serai, kunyit dan pandan diproses menjadi minyak pati atau produk makanan organik; manakala rock melon dan tembikai dikomersialkan sebagai jus sejuk beku atau makanan kesihatan.
"Potensi ini perlu dimanfaatkan dengan kerjasama antara pengusaha kebun komuniti, institusi penyelidikan dan pihak swasta." katanya.
Dr Zaliha bergambar bersama kumpulan kebun komuniti Presint 14 selepas memetik tomato ceri atau dipanggil juga cherry tomato.
Beliau mahu melihat lebih banyak usaha dalam membangunkan produk hiliran yang boleh dipasarkan secara lebih luas dan ini dijadikan punca pendapatan. Tidak semestinya PBT yang mengusahakan, tetapi dalam kalangan komuniti sendiri.
"Pada peringkat PBT seperti Perbadanan Putrajaya atau Jabatan Wilayah Persekutuan sebagai Pihak Berkuasa Negeri, boleh menyediakan mentorship daripada mereka yang berjaya.
"Tahniah atas penganjuran hari terbuka yang cukup bermakna ini. Kepada pengunjung, ambillah peluang ini untuk melawat semua reruai yang mengambil bahagian dan saya berharap pengunjung dapat memberi cadangan supaya pertanian bandar dan industri kelulut di Putrajaya dapat dipertingkatkan ke tahap lebih berdaya saing," katanya lagi. - KitaReporters
Dr Zaliha mencuba makanan Miang Kham yang menggunakan daun kaduk dan beberapa bahan lain seperti memakan sirih.