Dah bersedia tunai haji? Jaga kesihatan dan mental! Kursus Asas Haji sedia bimbing dan tambahkan ilmu!
Published byIBADAT haji merangkumi ibadat jasmani apabila terpaksa melakukan banyak pergerakan dan sehubungan itu. setiap jemaah haji mesti berkeupayaan dari segi fizikal dan mental supaya dapat melaksanakan ibadat haji dengan sempurna.
Justeru, bakal jemaah haji hendaklah menimba pengetahuan sebanyak mungkin dalam Kursus Asas Haji (KAH) yang disertai kerana di dalamnya ada penjelasan atau panduan menjaga kesihatan apabila berada di tanah suci.
Pengarah Eksekutif Kewangan Lembaga Tabung Haji (TH), Mustakim Mohamad, berkata bakal jemaah haji khususnya hendaklah menggunakan peluang serta memanfaat sebaik mungkin apabila terpilih mengikuti KAH kerana dapat menimba dan menajamkan pengetahuan mengerjakan ibadat haji.
Bakal jemaah haji memeriksa nama selepas membuat pendaftaran secara dalam talian.
Menurutnya, seperti sedia maklum menunaikan ibadat haji nanti membabitkan banyak pergerakan serta perjalanan yang mencabar dan memerlukan tenaga serta tahap kesihatan amat baik dalam menempuh sebarang halangan di samping memerlukan kesabaran tinggi setiap jemaah.
Tambahnya, kerana itu modul KAH mempunyai pengajaran yang lengkap bagi membimbing setiap jemaah haji termasuk penjagaan kesihatan supaya ibadat haji dilakukan tidak terganggu malah dapat menyempurnakan sehingga selesai sebagaimana diharapkan.
“Malah TH sentiasa meningkatkan mutu bimbingan dalam KAH supaya dapat memberi maklumat serta perkhidmatan terbaik kepada bakal jemaah haji malah kursus berkenaan memberi peluang untuk mereka bersoal jawab dengan pembimbing atau penceramah yang dilantik,” ujarnya ketika berucap pada majlis perasmian KAH 1446H/2025 di Masjid Bandar Tun Hussein Onn (MBTHO), Cheras, Selangor pada 26 Oktober 2024.
“Saya berharap setiap jemaah haji dapat menjaga adat dan kesopanan ketika mengerjakan ibadat haji serta sentiasa menjaga amalan menunaikan rukun Islam ke lima itu dengan sempurna,” ujarnya.
Bakal jemaah haji memenuhi dewan solat utama MBTHO untuk mengikuti KAH pada 26 Oktober 2024.
Lebih 900 mendaftar secara dalam talian untuk mengikuti KAH di MBTHO. Manakala empat masjid di daerah Kajang dipilih untuk menganjurkan KAH iaitu Masjid BTHO, Masjid Jabatan Penjara Malaysia, Kajang; Masjid Jamek Pekan Kajang; dan Masjid Jamek Raja Alang, Beranang.
Sehubungan itu, mereka yang berpeluang menyertai KAH memanfaatkannya sebaik mungkin terutama memastikan dapat hadir dalam 13 siri kursus yang dirancangkan dengan merujuk modul disediakan.
Mustakim turut menasihatkan jemaah haji untuk mendaftar
dengan THiJARI kerana ia dianggap penting apabila akan memudahkan mereka
mendapatkan pelbagai maklumat terkini mengenai ibadat haji dan sebagainya.
Beliau juga menyarankan supaya jemaah haji termasuk pendeposit untuk mengambil TH Khairat iaitu perlindungan takaful dalam usaha meringankan beban kewangan mereka selain menggalakkan umat Islam untuk menabung serta menbuat persediaan awal dari segi kewangan supaya urusan waris ketika dan selepas kematian dapat diuruskan dengan sempurna.
Bakal jemaah haji wanita turut membuat pemeriksaan nama sebaik sahaja tiba di MBTHO.
Sementara itu, berucap merasmikan KAH berkenaan, Nazir
MBTHO, Dr Fairuz Mohamad, berkata mereka yang hadir ke masjid untuk mengikuti
KAH juga mendapat pahala haji kerana beriktikaf dalam masjid bagi menuntut ilmu
bermanfaat sebelum hadir ke Tanah Suci.
Menurutnya, dengan berilmu yang dipelajari itu dapat
menghindarkan jemaah haji melakukan perkara bercanggah dengan ibadat haji malah
dapat menjaga tatasusila serta keperibadian mulia sepanjang berada di tanah
suci.
“Inilah antara yang akan didedahkan sepanjang 13 siri KAH berlangsung dan setiap jemaah haji perlu memberi tumpuan serta perhatian supaya dapat memperbaiki diri disamping berada dalam keadaan bersedia apabila dijemput untuk berangkat ke tanah suci,” katanya. - KitaReporters
Dr Fairuz menitipkan kata-kata nasihat kepada bakal jemaah haji dalam ucapan perasmian KAH.