YAYASAN Pesara Kerajaan Malaysia akan meningkatkan kolaborasi dengan persatuan di bawah naungannya dalam usaha bekerjasama membantu pusat jagaan warga emas yang beroperasi tanpa sebarang bantuan tetap daripada pihak berkenaan.

Pengerusinya, Tan Sri Aseh Che Mat, berkata yayasan juga akan akan turut memaklumkan kepada korporat yang sering membantu yayasan dalam mengerakkan kerja amal kebajikan membantu mereka yang memerlukan pembelaan seperti pusat jagaan itu.

Menurutnya, langkah itu juga seiring dengan matlamat penubuhan yayasan yang antara lain menyelaras sebarang usaha membantu pesara kerajaan dilaksanakan oleh persatuan atau kelab pesara supaya berkesan serta mencapai sasaran.


Aseh Che Mat berucap merasmikan Majlis Malam Amal 'Masih Ada Yang Sayang' 2023 anjuran Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia dengan kerjasama Pusat Jagaan Nur Hasanah dan Pusat Jagaan Insan.


Jelas beliau, adalah tidak mustahil ada pesara kerajaan yang perlu diberi perhatian dan dibantu di samping mengelak terlepas pandang kerana terdapat antara mereka menjadi penghuni di pusat jagaan selepas disisih oleh ahli keluarga, waris atau hidup sebatang kara.

Sehubungan dengan itu, tambahnya, yayasan akan memastikan kolaborasi dengan persatuan terbabit dapat digerakkan terutama bagi mencari jalan membantu secara berterusan pusat jagaan khususnya yang beroperasi tanpa mengenakan sebarang bayaran, sebaliknya semata-mata mengharapkan sumbangan bantuan dan infak orang ramai.

“Inilah juga merupakan khidmat sosial kepada masyarakat untuk membantu pihak pengurusan pusat jagaan yang terpaksa bertungkus lumus setiap hari mencari dana memastikan kelangsungan hidup warga emas dapat diteruskan. 

“Tidak seharusnya kita memandang serong usaha mereka itu, sebaliknya sudilah datang bersama rakan taulan atau persatuan yang ditubuhkan untuk melihat sendiri bagaimana mereka menyantuni warga emas terbabit,” ujarnya lagi. 


Aseh (tengah) bersama Harolhanam (dua dari kanan), Satar Khan Amirullah, Azman Rasman (dua dari kiri) dan Muhammad Syafiq Mohiadin.


Aseh berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Amal ‘Masih Ada Yang Sayang’ 2023 anjuran Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia dengan kerjasama Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH) dan Pusat Jagaan Insan (PJ Insan), di Laman Firdausi, Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Kampung Sungai Purun, Semenyih, Selangor pada 25 November 2023.

Turut hadir Pengarah Satar Empire Sdn Bhd, Dato’ Seri Satar Khan Amirullah; Pengarah Urusan RMT Entertainment, Dato’ Rahmat Md Zainal; Presiden Persatuan Pegawai Pembangunan Masyarakat Perubatan Malaysia, Harolhanam Mohamad Wahid; Timbalan Yang Dipertua Badan Didikan Islam UDA Holdings Berhad, Azhar Yop; Setiausaha Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Warga Emas (Pewaris) Langkasuka, Kubang Pasu, Kedah, Azmi Mat Napiah; dermawan Akbal Rahmat Ali yang mewakili keluarga abang beliau Dato’ Halim Ali; pengurusan pusat jagaan terbabit, sukarelawan dan tetamu jemputan.

Sebelum itu pihak pengurusan PJMM yang diketuai pengerusinya Azman Rasman dan setiausaha, Muhammad Syafiq Mohiadin mengiringi Aseh, Satar Khan dan beberapa tetamu melawat warga emas yang terlantar kerana keuzuran. 


Aseh Che Mat (kiri) melakukan gimit pelancaran buku cerpen berjudul 'Terkulai Di Senja Hari' pada Majlis Malam Amal 'Masih Ada Yang Sayang' 2023 di Laman Firdausi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Kampung Sungai Purun, Semenyih, Selangor pada 25 November 2023.


Pada majlis itu juga turut diadakan gimit pelancaran Laman Media Sosial PJMM, buku cerpen kisah benar penghuni berjudul ‘Terkulai Di Senja Hari’, penyampaian anugerah tokoh sukarelawan dan sijil penghargaan kepada penyumbang serta dermawan.

Aseh turut melahirkan rasa terharu dan kagum dengan usaha murni PJMM dan dua pusat jagaan lain kerana sanggup menyantuni warga emas dalam kalangan asnaf, miskin, mualaf dan Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada pelbagai bangsa secara percuma serta serba kekurangan.

Beliau juga berasa terkejut apabila warga emas yang dilawatinya itu memaklumkan ada antara mereka mempunyai anak atau keluarga tetapi disisih atau dibuang sebaik sahaja selesai mendapat rawatan di hospital kerana pelbagai penyakit kronik.

Menurutnya, seorang ibu atau bapa terutama yang uzur seharusnya berada di samping orang tersayang untuk meneruskan sisa-sisa hidup, bukannya dipinggirkan di pusat jagaan sedangkan mereka banyak menaburkan jasa serta berkorban untuk kesenangan anak.


Aseh menyampaikan Anugerah Tokoh Sukarelawan Kategori Wanita kepada Kak Su sambil diperhatikan Muhammad Syafiq dan Azman.


Tambahnya, sebagai anak khususnya tidak wajar memperlaku ibu atau bapa sedemikian rupa, ambillah mereka untuk dijaga dan disantuni dengan baik sebagaimana mereka menitikberatkan penjagaan kita ketika kecil sehingga berjaya dalam pelajaran serta kerjaya.

Jelasnya, dia tersentuh hati melihat keadaan warga emas yang uzur serta terlantar dan dijaga serta disantuni dengan sempurna oleh petugas pusat jagaan seperti ibu atau bapa mereka sendiri walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai karenah.

“Saya berharap Majlis Malam Amal ‘Masih Ada Yang Sayang’ terus mendapat sumbangan atau infak daripada pelbagai pihak bagi membantu meringankan kos operasi tiga pusat jagaan terbabit yang semakin meningkat setiap hari.  

“Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dato’ Seri Satar Khan, Dato’ Halim, Dato’ Rahmat yang sering kali menyumbang membantu pusat jagaan terbabit begitulah juga dermawan, penyumbang lain serta pemilik tanah yang bersedia mewakafkan tanah untuk didirikan pusat jagaan sebagai amal kebajikan membela nasib warga emas,” ujarnya.


Satar Khan menerima cenderamata daripada Aseh kerana jasanya yang banyak membantu PJMM.


Sementara itu ketika berucap, pengerusi majlis malam amal berkenaan, Muhammad Syafiq, berkata objektif majlis itu diadakan adalah bertujuan mendapatkan sokongan lebih ramai pihak serta mengumpul dana bagi tiga pusat jagaan berkenaan yang semakin meruncing.

Menurutnya, selain itu untuk memperkenal inisiatif yang dilaksanakan tiga pusat jagaan terbabit mengurus selia warga emas yang dijaga serta disantuni seperti keluarga sendiri selepas diabaikan ahli keluarga termasuk anak, waris, hidup sebatang kara dan sebagainya yang memerlukan tempat berlindung. 

Katanya, usaha itu juga bagi menyedarkan masyarakat bahawa seperti seorang anak amat tidak wajar membuang ibu atau bapa mereka yang uzur sedangkan mereka mempunyai tanggungjawab serta amanah untuk menjaga orang tua hingga akhir hayat.


Akbal Rahmat Ali mewakili abang beliau Halim Ali yang banyak menabur jasa membantu PJMM termasuk membina surau pusat jagaan itu.


Tambah Syafiq, langkah menjaga dan menguruskan warga emas terbiar itu juga secara tidak langsung membantu kerajaan menyelesaikan masalah sosial, kekeluargaan, kes pembuangan atau mengabaikan ibu bapa, sekali gus mewujudkan persekitaran harmoni dalam masyarakat.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, majlis berkenaan diharapkan membuka mata serta menarik perhatian termasuklah usahawan muda, tokoh korporat dan pelbagai pihak untuk turut sama menyantuni warga emas berkenaan dengan menghulurkan sumbangan atau infak kepada pusat jagaan. 

“Selari dengan transformasi digital, PJMM tidak ketinggalan menggunakan platform media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram dalam menyampai dan menyebarkan maklumat termasuk nilai murni pengajaran dalam kisah hidup warga emas terbabit sehingga mendapat tontonan melebihi 1.5 juta termasuklah berinteraksi daripada masyarakat di Brunei serta Singapura.

“Pencapaian ini amat membanggakan pengurusan pusat jagaan kerana menunjukkan kami bukan setakat menjaga warga emas malah mampu untuk bertindak mendidik dan menyebar nilai murni pengajaran kepada masyarakat luar menerusi media sosial,” katanya lagi. - KitaReporters


Azhar (kanan) turut hadir bersama-sama rakan memeriahkan Majlis Malam Amal 'Masih Ada Yang Sayang'.


Azmi (dua dari kanan) mewakili Pewaris turut hadir memberi sokongan bagi menjayakan Majlis Malam Amal.

26
15
0
11
0

Copy Link: