Sembang-sembang| Bila bos bergurau salah cakap, pekerja pula dipulau! Tapi kebenaran akhirnya muncul!

Published by
KitaReporters


Bergurau biar bertempat. Jaga lidah, silap cakap bawa padah. Nak pulih bukan mudah. Bagai retak menanti belah
Sudah minta maaf tak dilayan. Dipulau semua rakan dan taulan. Hanya kerana inginkan kepastian.
Bicara saya dalam ruangan ini semakin terkesan. Alhamdulillah. Ada respons daripada pembaca. Ramai yang ingin berkongsi cerita. Buat panduan juga teladan. Mengharung cabaran dunia kehidupan
Kisah pilihan kali ini daripada Aza. Jom kita ikuti ceritanya. 


Aza  sudah 12 tahun bekerja di sebuah syarikat milik sebuah keluarga ternama. Sekarang anaknya yang ambil alih. Satu hari, bos  bergurau. Salah cakap. Aza hendakkan kepastian betul ke perkataan yang dia sebut.
Jadi Aza WhatsApp dia secara personal, sayangnya dia tak boleh terima. Aza juga minta maaf kalau dia terasa. Jika silap. 
Tapi sejak hari itu bos menjauhkan diri daripada Aza. Penolong Aza bernama Ika juga sama. Mereka macam boikot Aza. Bos banyak berurusan dengan Ika untuk disampaikan kepada Aza. 
Kata Aza dia layan juga. Sehinggalah semua kerja Aza diserahkan kepada Ika yang buat atas arahan bos. “Bila saya datang kerja, buat apa yang ada sahajalah. Sebab semua sudah diserahkan kepada Ika,“ cerita Aza. 
Sekali lagi kata Aza dia minta maaf. Tetapi tetap sama, masih guna orang tengah untuk berurusan. 
Isu Aza melibatkan majikan dan staf lain. Semua menyebelahi bos sebab siapa yang bercakap dengan Aza akan dipanggil. Aza keseorangan. Di pejabat macam tunggul kayu. 
Tak apa dia ada bukti tidak bersalah. Mesej daripada bos disimpan rapi. Tak mahu aibkan bos. 


Kata Aza, dia kuat kerana Allah. Kuatkan hati hendak pergi kerja sebab nak cari rezeki walau tahu apa yang menanti. Tipulah hati tak terkesan. Keadaan Aza sangat teruk. Sebab tak ada kerja hendak buat. 
Perkara ini sudah berlarutan  3 tahun. Bos suruh dia berhenti. Kata Aza, nak suruh berhenti bagi surat dan alasan. Jika tidak dia akan terus kerja walau datang pejabat goyang kaki. 
Pada masa yang sama kata Aza dia akan terus bertahan. Sabar kena sindir bukan sahaja dengan staf yang dulu baik dengannya tetapi juga bos. 
Aza disindir makan gaji buta, jumpa di padang mahsyar, sebab dapat gaji tak halallah. Semuanya dia telan kata Aza sebab dia tahu Allah ada. Dia melihat hamba-Nya dianiaya. 
Doa orang teraniaya, insya-Allah Allah makbul. Akhirnya terlerai semua masalah apabila bapa bos campur tangan. Dia tak senang dengan perbuatan anaknya pada Aza. 
Setelah disiasat dan Aza menunjukkan bukti. Bos mengaku silapnya. Dia malu dengan Aza kerana jerat yang dipasang terhadap Aza tidak mengena. 


Iktibar daripada kisah ini:

Sekarang baharu Aza sedar siapa kawan siapa lawan. Manusia ramai pentingkan diri, jawatan dan kedudukan. Kawan ketawa ramai, kawan menangis kita seorang.
Kadang-kadang terlalu jujur pun bawa masalah. Tak semua orang boleh terima teguran. Orang ada kuasa ni dia lupa, bila-bila Allah boleh tarik kuasanya semula.
Terus kuat Aza. Jangan mengalah. Kita ada peraturan dan undang undang. Insya-Allah kebenaran akan terbongkar. Bersabar banyak-banyak. Doa jangan putus. Solat jangan tinggal. Mengadulah dengan Allah.
Semoga ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Allah sedang mempersiap yang terbaik untuk anda Aza
Terima kasih Aza berkongsi kisah ini. Seorang ketua yang baik tidak berburuk sangka dengan anak buahnya, malah menjaga mereka sebagai aset paling berharga. - KitaReporters

21
10
0
16
0

Copy Link: