Jumpa KiKaKo Kids di Wetland Studio Putrajaya! Ada Kiki, Kaka, Koko! Taman tema berkonsep didik hibur!
Published byMENJENGAH ke taman tema pasti mengujakan terutama seisi keluarga yang mahu bersantai dan berehat selain dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan selepas penat mencari rezeki.
Kini, lebih meriah apabila Taman Wetland Putrajaya, memperkenal maskot bernama KiKaKo Kids sebagai tarikan baharu kepada pelancong bagi Wetland Studios Putrajaya.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan taman tema
Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, pihaknya teruja dengan pendekatan digunakan KRU Group selaku pemilik bersama untuk mempromosikan taman tema tersebut.
"Kami sangat teruja dengan pendekatan dibuat oleh pihak KRU ini. Mereka bukan sahaja bagus dalam membuat perancangan strategik, tetapi juga keupayaan dalam membentuk kerjasama dengan pelbagai organisasi besar.
"Ia termasuklah jalinan penglibatan syarikat rakaman Universal Music, bagi mempromosikan taman bencah dan taman rekreasi kami dalam konteks yang lebih menyeluruh,” katanya ketika ditemui majlis memperkenal maskot berkenaan pada 5 Mac 2023 lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KRU Group, Datuk Norman Abdul Halim menjelaskan, taman berkonsep didik hibur itu bakal disajikan dengan pelbagai informasi dan pengetahuan berkenaan kehidupan bumi.
"KiKaKo Kids sebenarnya terdiri daripada tiga watak iaitu Kiki, Kaka dan Koko yang merupakan titisan air tinggal di awan.
"Tujuan ketiga-tiga maskot ini diwujudkan sebagai gambaran perspektif luas seperti dilihat titisan-titisan hujan tersebut yang berada tinggi di langit biru," kata Norman menjelaskan peranan KaKiKo Kids.
Pengunjung akan menempuh pengalaman unik dan berbeza jika dibandingkan dengan taman-taman tema sedia ada.
"Mereka akan dibawa memasuki alam hibrid secara maya dan fizikal, tetapi pada masa sama dapat mendalami tentang sejarah bumi dan makhluk yang hidup di permukaannya.
"Terutamanya, taman tema berkonsep didik hibur ini akan memupuk kesedaran tentang peranan penting air terhadap ekosistem pelbagai hidupan seperti mamalia, reptilia, amfibia, ikan, burung, pokok, bunga dan lain-lain.
Tarikan di Wetland Studios Putrajaya merangkumi aset fizikal seperti replika haiwan animatronik serta hiasan berkonsepkan alam semula jadi.
Lebih canggih, seperti mana penonton menyaksikan karya-karya milik KRU, taman tema tertutup itu turut memanfaatkan kemajuan teknologi seperti hologram, realiti tambahan (AR), realiti campuran (MR) serta realiti maya (VR) dan juga kandungan digital animasi KiKaKo Kids sebagai tarikan.
Taman tema berkenaAN akan dibuka secara rasmi 1 Mei 2023 dan menariknya, sempena Hari Terbuka Putrajaya 2023, Wetland Studios Putrajaya menawarkan diskaun 20 peratus untuk pengunjung yang membuat pendaftaran awal dan boleh ditebus bermula 1 hingga 31 Mei 2023.
Jadi apa lagi, jom kita dating dengan Kiki, Kaka dan Koko mulai 1 Mei 2023 depan.
Yang pasti bukan sahaja mampu menyeronokkan tetapi dalam masa sama dapat menambahkan lagi pengetahuan serta mengenali secara dekat berkaitan pelbagai hidupan seperti mamalia, reptilia, amfibia, ikan, burung, pokok, bunga dan lain-lain. - KitaReporters