SEORANG wanita Olesya Suspitsyna, 31, menemui maut ketika “berselfie” (berswafoto) di sebuah kawasan tebing tinggi di bandar Antalya, Turki ketika meraikan hari terakhir tamat tempoh lockdown (perintah berkurung) atau kuarantin akibat koronavirus. Malang tidak berbau!! : KitaReporters

OLESYA SUSPITSYNA


Memetik laporan Daily Mail, wanita itu keluar dari rumah berjalan kaki bersama rakannya menuju ke Duden Park, Antalya yang popular dan terkenal dengan keindahan dan pemandangan dramatik air terjun,

selepas beberapa minggu berkurung di rumah.

Semasa berjalan kaki, gadis berasal dari Kazakhstan ini, (Olesya) berhasrat untuk mengambil gambar-gambar di tepi tebing dengan berlatarbelakangkan air terjun .

Dia cuba memanjat pagar penghadang keselamatan dan mula “berposing” di hadapan rakannya, yang namanya dirahsiakan. 

Ketika asyik berswafoto, Olesya tiba-tiba tergelincir dan terjatuh di atas rumput sehingga tercampak ke pinggir tebing lalu menyebabkan beliau terjatuh menjunam ke bawah (laut) pada ketinggian 115 kaki (35 meter), menurut laporan itu.

Duden Park, yang popular dan terkenal dengan keindahan dan pemandangan dramatik air terjun di bandar Antalya,Turki.


Rakan beliau ketika itu dalam ketakutan dan panik terus membuat panggilan “perkhidmatan kecemasan”.

Pasukan Penyelamat dan Keselamatan tempatan kemudiannya tiba di tempat insiden kemalangan dan menemui tubuh mangsa (Olesya) yang berjaya ditarik keluar dari permukaan laut. Malangnya gadis itu sudah tidak bernyawa lagi.

Pihak Polis Turki berkata mereka telah menyiasat kes itu dan menyifatkan ia adalah satu kemalangan, ketika memberitahu kepada ahli keluarga dan saudara-mara mangsa.

Olesya bekerja sebagai Pemandu Pelancong selama lima tahun di sebuah bandar Turki.

Berita kematiannya menjadi tular dalam media sosial dan ramai rakan-rakan dan kenalannya berasa terkejut kejadian malang itu.

Mengulas tentang salah satu posting IG gambarnya, rakan beliau berkata, dia (mangsa) ada menulis dalam Instagram menyebut “ saya akan sentiasa mengagumi keindahan Turki. Inilah syurga saya”. 

Seorang ahli keluarga mangsa, Yury berkata kepada media Kazakhstan, ”Olesya adalah orang yang bijak dan ceria. Dia sentiasa menetapkan matlamatnya untuk dicapai”. 

Ramai kawannya turut meluahkan rasa sedih mereka dan merakamkan takziah kepada ahli keluarga Olesya dalam media sosial.

Antara rakan karib beliau, Olga Kravchuk berkata, ”Olesya sentiasa mencintai laut dan bermimpi hidup di Turki. Dia menjadikan impiannya menjadi kenyataan.

“Lebih daripada segala-galanya dan dia mencintai kebebasan. Ini adalah satu kehilangan, hati dan perasaan saya berasa hancur."

Seorang pengguna media sosial, Zlobi berkongsi cerita berkata, “dia (Olesya) sentiasa mengungkapkan kata-kata amat gembira untuk tinggal di bandar ini (Turki). Ia adalah tempat paling disukainya di dunia”.

Manakala, Zlatadzyuba pula berkata, ”saya tidak boleh percaya dia (Olesya) telah pergi. Saya melihat dia sentiasa hidup dan tersenyum dalam ingatan ini."

Jasad Olesya akan diterbangkan dari Turki dan akan dikebumikan di bandar asalnya Kostanay, Kazakhstan.

Olesya terlalu obses dengan keindahan pemandangan negara Turki yang memiliki tempat-tempat menarik serta mendamaikan dan kaya alam semulajadi. Beliau sering “berselfie” di kawasan-kawasan yang tinggi dan berisiko. – Koleksi gambar-gambar Olesya dalam Instagram.


Sementara itu, Turki telah menutupkan beberapa premis seperti sekolah, restoran, dan kafe bagi membendung peningkatan kes penyakit COVID-19.

Namun, terdapat sesetengah pejabat atau  tempat kerja yang masih dibuka dan mengenakan sekatan kawalan pergerakan domestik, di samping melaksanakan perintah berkurung di rumah dan pintu-pintu sempadan sebahagian besarnya ditutup.

Negara Turki kini menduduki tangga ketujuh secara global dalam kes pandemik Covid-19), dengan 117,589 jangkitan kes dan 3,081 kematian. - Dipetik dari Daily Mail untuk Kitareporters.com

1
0
6
0
0

Copy Link: