Tuan Kamarul Arief Tuan Soh (baju-T biru) menerangkan mengenai operasi YADIMart kepada Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Lestari Perdana, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor. - Kredit foto: FB Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan YADIM.


ORANG RAMAI berpeluang membantu golongan kurang mampu khususnya B40 yang terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sekarang dan selepas ini PKP 3.0 penuh melalui ' bank makanan' (food bank) yang dikendalikan oleh pasar raya pertama Yayasaan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) iaitu YADIMart.

Sehubungan itu, orang ramai boleh mengisi bank makanan berkenaan dengan pelbagai barangan keperluan asas yang boleh dibeli di YADIMart berkenaan beroperasi antara jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam mengikut waktu dibenarkan masa PKP sekarang yang terletak di Jalan LP 3/5 Lestari Perdana, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor.

Bank makanan berkenaan diwujudkan sebagai usaha YADIM menyalurkan khidmat kebajikannya membantu golongan kurang mampu semasa PKP 3.0 khususnya yang tinggal di sekitar kawasan berkenaan melalui kendalian pasar raya YADIMart.

Sebuah rak khas disediakan bagi bank makanan berkenaan untuk orang ramai atau pelanggan meletakkan barangan yang mereka beli dan diberi percuma kepada golongan terjejas atau kurang mampu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bank makanan

Dr. Zulkifli (kanan) menyantuni salah seorang petugas di YADIMart, Lestari Perdana, Bandar Putra Permai sewaktu beliau mengunjungi pasar raya berkenaan.


Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Bahagian Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Ahad 23 Mei 2021 yang mengadakan kunjungan singkat ke YADIMart berkenaan menyumbang barangan keperluan asas untuk bank makanan antaranya gula, tepung, biskut, minyak masak dan lain-lain sebagai menyokong usaha penubuhannya.

YADIMart merupakan salah satu pelan bagi memantapkan kedudukan kewangan YADIM dalam menjana pendapatan untuk dimanfaatkan bagi tujuan dakwah dan kebajikan. Ia juga merupakan langkah awal penglibatan agensi agama berkenaan menceburi bidang ekonomi di negara ini.

Pasar raya dengan keluasan 586.27 meter persegi mula beroperasi pada 10 April 2021 lalu dengan menawarkan jualan lebih 5,000 produk segar dan keperluan isi rumah bagi kemudahan serta memberi peluang kepada lebih 30,000 penduduk di sekitar Lestari Perdana, Taman Equine, Taman Puncak Jalil, Bandar Putra Permai, Taman Lestari Putra dan yang berhampiran.

Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Muslim diberi keutamaan membekal produk mereka di YADIMart selain barangan berjenama popular yang ada di negara ini.



Pada kunjungan yang bertujuan untuk melihat sendiri operasi pasar raya berkenaan, Dr. Zulkifli yakin YADIMart boleh melangkah dengan lebih jauh sebagai antara pesaing sihat dalam sektor peruncitan dan pemborongan memandangkan kepada sambutan masyarakat setempat serta harga barangan yang ditawarkan bersesuaian.

Malahan, katanya, agensi agama di bawah Bahagian Agama JPM bergiat aktif dalam sektor peruncitan antaranya Kedai Rakyat kendalian Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), YaPEIM Smart dibawah kelolaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia ( YaPEIM) selain YADIMart kendalian YADIM.

Melalui FB beliau menyatakan, tujuan penglibatan agensi-agensi  berkenaan untuk kemudahan dan keselesaan rakyat terutama golongan B40 kerana harga barangan ditawarkan di premis kendalian agensi itu berpatutan.

Mengenai idea penubuhan YADIMart, Dr Zulkifli berkata, ia merupakan hasil perjumpaan badan bukan kerajaan (NGO) Islam bersama Perdana Menteri pada September 2020.

Semasa kunjungan tersebut beliau diberikan penerangan ringkas mengenai operasi pasar raya tersebut oleh Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh di samping beramah mesra dengan petugas-petugas pasar raya.  

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu kemudiannya menyampaikan sumbangan kepada salah seorang kakitangan YADIMart yang merupakan orang kelainan upaya (OKU). 


YADIMart yang terletak di Jalan LP 3/5 Lestari Perdana, Bandar Putra Permai memberi kemudahan kepada lebih 30,000 penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran.


Sebelum itu, beliau mengunjungi Institut Latihan Dakwah YADIM di Sungai Semungkis, Hulu Langat meninjau perkembangan kerja-kerja menaik taraf pusat latihan berkenaan.

Pada kunjungan itu, Dr. Zulkifli menyumbang 10 kilogram anak ikan keli untuk kolam ternakan Pusat Latihan Dakwah YADIM tersebut.

Sementara itu, dalam usaha melestarikan gerakan dakwah, pihak YADIM memerlukan sokongan tenaga sukarelawan yang ramai.

Bagi tujuan tersebut kepada mereka yang berminat jom mendaftar sebagai sukarelawan YADIM untuk sama-sama berganding tenaga menggerakkan usaha dakwah Islamiah dikalangan orang ramai.

Kepada yang berminat boleh mendaftar sebagai sukarelawan YADIM melalui pautan ini https://forms,gle/xwbNmzZoTkWksypt6.  -KitaReporters


Dr. Zulkifli Mohamad dengan dibantu oleh seorang kakitangan di Pusat Latihan Dakwah YADIM di Sungai Semungkis, Hulu Langat melepaskan 10 kilogram anak ikan keli ke dalam kolam ternakan institut latihan berkenaan semasa beliau mengadakan kunjungan pada 23 Mei 2021.

1
0
0
0
0

Copy Link: