Amin Ya Allah! Doa seorang lelaki yang menyentuh hati Najib
Published byDALAM ratusan pengunjung yang memberi penghormatan terakhir masa persemadian Allahyarhamah Tun Rahah Tan Sri Mohamed Noah, bonda bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (DSNR) hantaran sekeping gambar seorang lelaki tua yang turut memohon doa yang meruntun perasaannya. : KitaReporters
Amin.. Amin... Demikian doa seorang lelaki di jalanan yang menyentuh hati Najib Tun Razak. Lelaki duduk di atas batu itu ialah Asron Mustapha.
Lagi cerita-cerita berkaitan Najib Tun Razak:
https://kitareporters.com/search?search=najib+tun+razak
Dalam hantaran Facebook oleh Mahadi Mahbol yang kemudian dikongsi oleh Najib dalam Facebooknya, Najib Razak, kelihatan seorang lelaki , berdiri di luar Lingkaran Makam Pahlawan di Masjid Negara yang kelihatan mengangkat kedua-dua belah tangannya bagi merafakkan doa bersama-sama pengunjung lain.
Hantaran beliau mendapat perhatian daripada ratusan ribu netizen yang juga turut mendoakan untuk Allahyarhamah bonda Najib seperti lelaki itu.
Najib dalam hantaran mengucapkan terima kasih kepada pak cik itu atas doa untuk Allahyarhamah bondanya dan berharap untuk bertemu dengannya suatu hari nanti.
"Amat menyentuh hati saya melihat ini," katanya dalam catatan dalam Facebooknya itu.
Allahyarhamah Tun Rahah yang menghembuskan nafas terakhirnya akibat sakit tua di sebuah hospital di ibu negara pada Jumaat, 18 Disember 2020 diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara pada Sabtu, 19 Disember 2020.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mewakili kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia mengucapkan takziah kepada Najib dan seluruh keluarga di atas kepulangan Allahyarhamah, isteri bekas Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
"Kerajaan memutuskan Allahyarhamah Tun Rahah diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara dan jenazah akan dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara," katanya dalam satu kenyataan.
Mahadi memberitahu sebab dia mengambil gambar lelaki yang dipanggil pak cik tersebut kerana tertarik memandangkan waktu itu kebanyakan pelawat yang berada di luar kawasan masjid sudah pun meninggalkan halaman selepas habis bacaan talkin.
Namun begitu, dia melihat di kawasan luar pagar, pak cik terbabit masih berdiri dengan menadah tangannya dan mendengar setiap bait bacaannya yang turut membuatnya terharu.
Dalam satu hantaran komen, Azman Hasan memberitahu yang dia bertemu dengan pak cik itu dan mendapat tahu yang pak cik itu pernah bekerja sebagai tukang kebun di rumah Allahyarhamah Rahah dan Allahyarhamah pernah membiaya kos perubatannya dulu.
"Dia nak balas memang tak mampu dan sepanjang bacaan talkin itu, pak cik ini tadah tangan memohon doa. Sekarang dia kerja di kedai makan dekat Kampung Baru," katanya.
Mahadi dalam keterangan gambar lelaki itu mencatatkan dari sudut kejauhan, ada yang menadah tangan merafakkan doa kepada Allah agar Allahyarhamah Tun Rahan ditempatkan di dalam syurga.
Seorang lagi yang menulis komen, Wan Abdul Rashid sangat kagum sambil berkata,"Allahuakhbar, walaupun DSNR tidak mengenali beliau tetapi lelaki ini tetap mendoakan untuk Almarhumah bondanya. Kami rakyat Malaysia yang menyayangi bonda DSNR seperti bonda kami dan mendoakan syurga buatnya. Bukan saja kerana isteri Perdana Menteri kedua negara tetapi banyaknya jasa kepada rakyar negara ini."
Rafaizil Ahmad Tajudin pula berkata, "Siapa tahu doa beliau lebih makbul daripada doa kita semua. Saya yakin walaupun dari pandangan sisi saja, jelas kelihatan beliau mendoakan buah arwah bonda DSN. Barangkali beliau mempunyai kisah tersendiri yang kita tidak ketahui...Alfatihah."
Seorang yang dikenali sebagai Yuikitchen dari Melaka berkata "walaupun tidak pernah hidup dalam pemerintahan kedua-dua ibu bapa DSNR, tapi melalui pembacaan sejarah, buku autobiografi, sudah cukup untuk kami generasi muda tahu akan susahnya mempertahankan negara.
"Semoga roh ibu dan ayah DSNR ditempatkan dengan orang baik," katanya.
Menjawab komen wanita itu, Wan Hafizan menyifatkan zaman Allahyarham Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman, sebagai zaman era keemasan dalam pentadbiran kepimpinan Malaysia.
"Tun Razak dengan visinya membangunkan negara. Tun Dr Ismail sebagai timbalannya, pemimpin yang berintergriti, tegas dengan prinsipnya hingga orang tidak berani mengambil kesempatan ke atasnya," katanya.
Asron Mustapha pula mencelah dengan memberitahu lelaki yang di atas batu itu adalah dirinya.
Dia turut memberitahu dia juga seperti ratusan rakyat lain berpeluang menyaksikan majlis pengkebumian Allahyarhamah bonda Najib dan mengucapkan takziah serta mendoakan syurga untuk Tun Rahah. - KitaReporters
Negara hilang permata yang menjadi tonggak kejayaan Najib.