Warga tersisih di Al-Fikrah titip sokongan! Pelajar sekolah pondok dapat bantuan banjir NGO!
Published byAzmi Md Zain (kiri) bersama sukarelawan Musa Sinnan menunjukkan barangan yang disumbangkan kepada pondok berkenaan.
HENDAK mengangkat barang sudah kekurangan kudrat, hendak bergerak pantas sudah tidak berupaya, cukup sekadar memberi sokongan moral itu yang dapat dizahirkan 70 penghuni Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, di Kampung Sungai Sekamat, Kajang, Selangor sebagai tanda simpati kepada mangsa banjir iaitu pelajar Pondok Tahfiz Haji Ahmad, Kampung Dala, Lanchang, Pahang.
Selepas diuar-uarkan melalui media sosial bermula 18 Januari 2021 lalu, pusat itu berjaya mengumpulkan barangan keperluan asas, pakaian baharu dan terpakai, kain sarung, tikar, peti sejuk dan sebagainya untuk disumbangkan kepada pondok berkenaan pada 21 Januari 2021 lalu.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan pusat jagaan:
https://kitareporters.com/search?search=pusat+jagaan
Pengerusi pusat jagaan itu, Azmi Md Zain, berkata inisiatif itu diambil berikutan pusat berkenaan pernah turut terbabit secara langsung dalam membantu mangsa banjir besar di Kelantan kira-kira tujuh tahun lalu dengan menghantar pelbagai barangan keperluan asas untuk penduduk yang terjejas.
Menurutnya, untuk misi bantuan kepada mangsa banjir di pondok berkenaan Al-Fikrah bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Armada Sufi Resources yang turut berkempen bagi mencari dana untuk membantu pelajar dan warga emas yang belajar dan mendiami di pondok berkenaan.
Azmi (dua dari kanan) bersama Penaung Armada Sufi Resources, Ustaz Muhammad Wafaa Mohd Yusof (tiga dari kanan) di sisi lori yang akan menghantar barangan sumbangan kepada pondok berkenaan.
“Saya terharu apabila melihat penghuni di pusat ini tanpa dipaksa bersikap ringan tulang untuk membantu setakat termampu seperti melipat pakaian untuk dibungkus dan menyusun supaya kelihatan kemas.
“Selepas waktu bersarapan, makan tengah hari atau minum petang ada sahaja pertanyaan dalam kalangan penghuni untuk membantu kerja-kerja bagi melancarkan penyediaan barangan itu sebelum diangkut ke dalam lori bagi dihantar ke pondok berkenaan,” katanya.
Keseluruhan Pondok Tahfiz Haji Ahmad, di Kampung Dala, Lanchang yang didiami pelajar tenggelam dalam banjir bermula pada 4 Januari 2021 lalu.
Penaung NGO berkenaan, Ustaz Muhammad Wafaa Mohd Yusof, sebagai kerjasama pihak beliau mengumpul maklumat dan mengenal pasti barangan yang perlu disalurkan kepada pondok itu yang mengalami kerosakan teruk akibat banjir berkenaan.
Menurutnya, banyak aset, harta benda dan tanaman pertanian yang diusahakan pelajar sekitar pondok itu sebagai sumber makanan rosak teruk dibadai air banjir dan tenggelam selama dua hari termasuk masjid serta pondok mulai 4 Januari 2021 lalu.
Azmi (kanan) menyerahkan senaskhah Al-Quran kepada Mudir Pondok Tahfiz Haji Ahmad, Kampung Dala, Lanchang, Ustaz Abdul Hadi Ahmad sebagai simbolik penyerahan pelbagai barangan misi bantuan banjir Al-Fikrah Malaysia dan Armada Sufi Resources pada 21 Januari 2021.
“Dengan barangan yang berjaya dikumpul hasil sumbangan pelbagai pihak ini dapat meringankan bebanan pengurusan pondok berkenaan dalam kerja pemulihan seperti menukar karpet masjid dan memperbaiki pondok yang rosak.
“Jika ada lebihan barangan yang disumbang oleh orang ramai kami akan agihkan kepada penduduk kampung yang tinggal berdekatan pondok ini kerana mereka juga turut terjejas teruk akibat banjir itu,” katanya.
Kehadiran sukarelawan Al-Fikrah bersama-sama NGO Armada Sufi Resources pada majlis penyerahan bantuan itu turut dihadiri beberapa guru pondok sekitar daerah berdekatan sebagai tanda sokongan termasuk Tuan Guru Habib Agil yang datang dari Kuantan. - KitaReporters
Sukarelawan Al-Fikrah dan Armada Sufi Resources bergambar selepas selesai misi bantuan banjir di pondok berkenaan.