William, Kate lebih popular berbanding Charles! Akan pangku lebih banyak jawatan utama diraja!
Published byKredit foto: IG Duke and Duchess of Cambridge
PUTERA William dikhabarkan akan diberi lebih banyak tugas utama diraja kerana dia dan Kate Middleton lebih popular iaitu 75 peratus memberi pengaruh positif daripada bapanya, Putera Charles yang bakal menggantikan Ratu Elizabeth, kata seorang penulis buku sejarah diraja Britain.
Petanda awal itu akan memakbulkan `mulut masin` kata-kata akhir mendiang ibunya, Lady Diana Spencer bahawa anak sulungnya lebih layak menjadi ketua negara itu berbanding bekas suaminya.
Ketika ini dilaporkan William dan isterinya, Kate Middleton sudah pun menghadiri acara utama sebaik saja pasangan itu menghabiskan cuti musim panas dengan anak-anaknya, Putera George, Puteri Charlotte dan Putera Louis.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Putera William
Akhbar Mirror.uk.com melaporkan Ratu Elizabeth yang kini sudah berusia 95 tahun seakan mula mengurangkan jadual kerjanya dan William serta Kate pula banyak kerja, demikian kata Andrew Lownie, pengarang diraja itu.
Dia memberitahu akhbar Express : "Kita kini dalam `era peralihan tugas secara tidak rasmi` yang kesannya Ratu Elizabeth lebih banyak berehat dan tidak menumpukan kepada tugasan rasmi diraja. Banyak tugasan Ratu dibantu oleh pewaris takhta itu. Pelannya itu seolah-olah mempersiapkan Charles dan Camilla menaiki takhta.
"Bagaimanapun, kelihatannya sekarang William dan Kate sangat popular dan kini mereka dikatakan banyak diberi tugasan yang sepatutnya diserahkan kepada bakal raja," katanya.
Sebelum ini ramai rakyat negara itu mahu ketua negara Komanwel itu, diketuai seorang raja yang lebih muda dan perkasa kerana tempoh yang baik untuk memerintah adalah pada kala usia 40-an. Charles, 72, dianggap sudah tua dan sangat `letih` untuk menjawat amanah itu dan jangan sesekali sepanjang hayatnya, banyak isu kontroversi membelit dirinya.
Apalagi dengan khabar William dan Kate yang kemungkinan besar akan berpindah Istana Windsor untuk berdekatan dengan neneknya.
Pada masa ini pasangan Duke dan Duchess Cambridges berbahagi masa di Istana Kensington yang juga pejabatnya dengan satu lagi kediaman mereka di Anmer Hall, di Norfolk, Juga berhampiran dengan Estet Sandringham milik nendanya.
Mereka pulang ke London kerana sesi tahun baharu sekolah bermula. Putera George dan Puteri Charlotte kini belajar di Sekolah Thomas di Battersea, manakala Prince Louis belajar Tadika Willcocks di Kensington.
William dan Kate mendaftar putera-puteri mereka bersekolah. - Kredit gambar: Getty
Keluarga bahagia. - Kredit gambar: Getty
Tindakan itu dikatakan menimbul kemarahan kepada Camilla, lebih-lebih lagi apabila dia tahu anak tirinya serta darah daging `bekas musuhnya` Diana itu akan berpindah ke Istana Windsor yang selama ini menjadi idamannya.
Akhbar New Idea pada September 2021 melaporkan, sejak bernikah Prince of Wales, Camilla, dikatakan sudah berpindah randah dari beberapa kediaman dari Aberdeen hingga Gloucestershire termasuk Highgrove, rumah kampung Putera Charles tetapi `sasarannya` sebenar Istana Windsor.
Sumber rapat dengan Camilla memberitahu istana itu memang terkenal sebagai kediaman anggota diraja dan wanita itu dikatakan `menggesa` Charles berpindah masuk ke istana itu ketika mewakili ratu yang dilaporkan `tidak sihat` dan sedang berkabung kematian suaminya, Putera Philip.
Bagaimanapun laporan di luar UK menyebut Camilla, 73 mungkin terpaksa `berputih mata` kerana anak tirinya, William, The Duke of Cambridge dijangka berpindah masuk ke Istana Windsor ketika mereka sedang mencari rumah persingahan di London.
Camilla dikatakan `marah` dengan alasan Charles lebih berhak mendapatkan kemudahan itu kerana dia bakal raja dan `meminta` Charles terus memastikan takhta itu juga menjadi miliknya.
Malah ada laporan akhbar menyebut, Charles dijangka membuat keputusan ke atas William untuk menjalankan tugasan diraja sebaik dia menaiki takhta kerajaan.
Kredit foto: Twitter The Prince of Wales and The Duchess of Cornwall
Penulis diraja Phil Dampier berkata, “hampir 60 peratus warga Britain enggan Camilla menjadi Ratu sebaik Charles menaiki takhta." Undian itu membabitkan 2,011 orang dewasa di UK yang dijalankan oleh Savanta ComRes pada 29 hingga 30 Jun 2021.
Malah satu lagi bancian perndapat menyebut tiga daripada lima orang yang ditemui berpendapat, Duchess of Cornwall, Camilla Parker-Bowles itu bukan pilihan mereka.
Dalam satu undian lain pada 2017, hanya 14 peratus warga Britain mahu Camilla memegang jawatan permaisuri dan 39 peratus dia hanya perlu diberi gelaran isteri pengiring.
Kajian oleh firma YouGov membabitkan 1,614 respon, mendapati 30 peratus mendapati wanita itu tidak patut mendapat apa-apa gelaran pun.
Michael Fawcett gambar 2018
Selain konflik silam yang berterusan menghantui Charles, berita terbaharu yang bakal membelit beliau berlaku apabila pembantu peribadinya yang paling lama berkhidmat dengannya dilaporkan sudah meletakkan jawatan sebagai ketua yayasan putera itu pada 5 September 2021.
Dia dituduh menyalahgunakan kedudukannya untuk membantu seorang peniaga Arab Saudi mendapatka darjah gelaran tertinggi Britain.
Akhbar Sunday Times melaporkan Michael Fawcett, yang sebelum ini bertugas sebagai pembantu peribadi putera itu dituduh dengan skandal kewangan dan kuasa untuk membantu Mahfouz Marei Mubarak bin Mahfouz mendapat gelaran pingat gagah berani (Honorary Commander of the Most Excellent Order of the British Empire (CBE).
Pingat tertinggi boleh diberikan kepada penerima bukan warga negara Komanwel.
Akhbar itu mendakwa Mahfouz telah menderma sejumlah `besar wang` untuk projek membabitkan kepentingan putera raja itu sebagai balasan mendapatkan CBE. Ia dikurniakan oleh Ratu pada 2016.
Akhbar itu juga mendakwa Fawcett yang berhenti bertugas sebagai pembantu peribadi pada 2003 kemudian bekerja sambilan untuk keluarga diraja itu termasuk menyelaraskan proses permohonan mendapatkan pingat berkenaan.
Jurucakap Clarence House memberitahu agensi berita CNN bahawa istana dan putera itu tidak tahu menahu selepas pihak polis United Kingdom (UK) mula menyiasat kes itu. - KitaReporters