Mengenang Shebby! Bek tengah RM100k! Santokh Kedua! Peminat Spurs! Latih anak di Sekolah Arsenal!

Published by
KitaReporters

B. Sathianathan (tengah) bersama-sama Serbegeth Singh (kanan) dan Lim Teong Kim di kelab Ipswich Town, England pada 1983. - Kredit foto: BS 


SERBEGETH Singh, seorang bek tengah yang bernilai RM100,000?

Pada 1983, angka itu pasti terlalu besar untuk dikenakan sebagai yuran perpindahan apatah lagi bagi seorang pemain bertaraf amatur seperti anak jati Kluang, Johor ini.

Yuran ‘tebus diri’ itu dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) gara-gara dia bermain tanpa kebenaran mereka untuk mewakili kelab Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam Liga Wilayah Persekutuan pada Ogos 1983.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan bola sepak


B. Sathianathan, bekas ketua jurulatih negara dan Presiden PJBM. - Kredit foto: FAM


“Pernah kami ketawakannya kerana bagaimana dia hendak bayar RM100,000 itu,” imbas Pengarah Teknikal Sarawak United FC, B. Sathianathan ketika mereka menganggotai skuad negara ke Sukan SEA Singapura 1983.

Serbegeth ketika itu baru berusia 23 tahun, turut dikenakan penggantungan tiga tahun sebelum dikurangkan kepada setahun namun berjaya membantu Wilayah Persekutuan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 1985 yang ditewaskan negeri kelahirannya, 2-0.

Serbegeth Singh Dher Singh (nama penuhnya) atau digelar Shebby, meninggal dunia petang 12 Januari 2022 pada usia 62 tahun akibat serangan jantung selepas sesak nafas ketika berbasikal di Iskandar Puteri, Johor.

Upacara persemadian mayat Serbegeth dilakukan pada pukul 4 petang 14 Januari 2022 di Krematorium Loke Yew, Kuala Lumpur selepas dibawa berarak dari Skudai, Johor mulai pukul 7 pagi.   


HARBANS Kaur (dua dari kanan), anggota rangkaian 4x100m negara era 80-an dengan Datuk Paduka Mumtaz Jaffar (kiri), Datuk Zaiton Othman dan V. Angamah. - Kredit foto: ZO 


Malah pada 1987, 1988 dan 1989, dia menjadi tonggak Kuala Lumpur bergelar juara hatrik Piala Malaysia dengan menumpaskan Kedah 1-0, 3-0 dan 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Turut beraksi sebagai sweeper, dia kemudian membantu Malaysia mengakhiri penantian ‘ibu segala pingat emas’ selama sedekad pada Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 selain menjuarai Pestabola Merdeka 1986.

Sukan SEA Singapura itu kata Sathianathan, masih menggunakan khidmat seorang lagi bek tengah terkenal berbangsa Sikh, Santokh Singh yang kerap bergandingan dengan legenda, Datuk Soh Chin Aun.

Sambung bekas ketua jurulatih Malaysia juara Pestabola Merdeka 2007 ini, “sampaikan ada rakan sepasukan yang cuba menggelar Shebby ini ‘Santokh Kedua' atau 'Santokh Baharu’ yang sebaliknya kurang disenangi tuan punya diri sebenar.


HARBANS Kaur (depan) pernah menjadi suri hati Shebby. Di belakangnya rakan 4x100m (dari kiri), Zaiton Othman, Saik Oik Cum dan V. Angamah. - Kredit foto: ZO


“Saya juga teringat bagaimana kami melawat Ipswich Town, sebuah kelab England pada 1983 di bawah bimbingan ketua jurulatih negara, Frank Lord (mendiang).

“Sebulan kami di sana sebagai persediaan ke Sukan SEA dan sempat menonton beberapa perlawanan Liga England. 

"Kami juga mengadakan perlawanan persahabatan dengan Portsmouth, Middlesbrough dan Chelsea,” katanya yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM).

Malaysia meraih pingat gangsa temasya serantau dwitahunan ke-12 itu setelah disekat Thailand 3-0 dalam separuh akhir namun membelasah Brunei 5-0 bagi perlawanan penentuan tempat ketiga. Skuad negara juga ditewaskan tuan rumah 2-1 dan seri 0-0 dengan Filipina.

Antara yang turut sepasukan dengan mereka ialah Rashid Hasan, Lim Teong Kim, G. Torayraju, Ahmad Yusoff, Zainal Abidin Hassan, Khalid Ali dan A. Rukkumaran.


SERBEGETH Singh (bersalaman dengan tetamu kenamaan) pernah menjadi kapten Malaysia pada Piala Presiden Park di Seoul, Korea Selatan. Di sebelahnya, Ismail Ibrahim, Lim Teong Kim dan Dollah Salleh. 


Serbegeth menurut Sathianathan, bekas perantara Negeri Sembilan dan Malaysia, “saya akan sentiasa merinduinya. Sebagai pengulas sukan TV, ulasannya agak kontroversi tetapi dia berhak begitu dengan latar belakangnya sebagai pemain.

“Dia pernah jadi Pengarah Global Blackburn Rovers, sebuah kelab England. Sangat jarang orang Malaysia mampu sampai ke tahap itu. Dia pun sangat rajin membaca dan mengkaji serta fasih dengan Liga Perdana England.

“Bukan hanya segi permainan kelab-kelab tetapi siapa pemain dan jurulatih mereka. Kalau tanya sejarahnya juga, dia cukup arif dan menepati ciri-ciri seorang pengulas bola sepak TV yang bermaklumat,” kata Sathianathan, 64.


SHEBBY (mencangkung, empat dari kiri) anggota skuad negara juara Pestabola Merdeka 1986. - Kredit foto: DSU 


Shebby memiliki sepasang anak, Natassha Kaur dan Sonuljit Singh hasil perkahwinan terdahulu dengan bekas pemenang pingat perak dan gangsa 4x100 meter olahraga wanita Sukan SEA Singapura 1983 dan Bangkok 1985, Harbans Kaur.

"Anak lelakinya (Sonuljit) itu pernah masuk Sekolah Bola Sepak Arsenal (di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor) di bawah bimbingan saya dan Robert Alberts (jurulatih dari Belanda). 

"Menariknya Shebby turut membantu sekolah ini dalam hal pemasaran sedangkan dia peminat tegar Tottenham Hotspur dan perantaranya, Glen Hoddle (juga pemain England, 1979 hingga 1988)," ujarnya.


SERBEGETH Singh melakukan tandukan ke arah gawang kelab Czechoslovakia, Sigma Olomuc dalam final Pestabola Merdeka 1986. Malaysia menang 3-0. - Kredit foto: DSU


 

LAMAN sosial Johor Southern Tigers Johor Darul Ta'zim (JDT) FC, merakamkan takziah atas pemergian Shebby, bekas Penasihat Teknikalnya. - Kredit foto JDT 

 

8
15
0
11
0

Copy Link: