KURSUS Asas Haji (KAH) anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) akan menjadi antara saluran bagi menyalurkan maklumat terkini mengenai ibadat haji terutama kepada mereka yang terpilih untuk menunaikan ibadat kelima dalam Rukun Islam itu.

Sehubungan itu, Pengurus Cawangan TH Cheras, Kajang, Selangor, Hassin Yusof, berkata amat wajar bagi mereka yang terpilih atau dijemput menerusi Whatsapp umpamanya untuk meluangkan masa setiap minggu menghadiri KAH.

Menurutnya, dengan menghadiri KAH peserta akan diberi bimbingan yang secukupnya mengenai ibadat menunaikan haji oleh penceramah yang dipilih khas dan peluang untuk mereka bertanya terus mengenai pelbagai perkara kurang difahami.

Tambahnya KAH adalah peluang yang perlu digunakan sebaik mungkin oleh peserta dalam meningkatkan kefahaman dan ilmu sebagai bekalan apabila menunaikan ibadat haji di samping memanfaatkan maklumat terkini yang disalurkan supaya dapat membantu membuat persediaan terbaik.



“Apabila menghadiri KAH di masjid yang terpilih hendaklah mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh petugas bagi melancarkan pelbagai urusan termasuklah penyediakan makanan dan minuman untuk waktu rehat,” ujar Hassin ketika berucap pada majlis perasmian KAH Musim Haji 2024M/1445H di Masjid Bandar Tun Hussein Onn (MBTHO), Cheras, Selangor pada 28 Oktober 2023. 

Turut hadir pada majlis itu, Nazir MBTHO, Dr Fairuz Mohamad;  Imam Satu MBTHO yang juga Pengarah KAH, Mohd Faisal Mohd Noor; dan lebih 500 peserta kursus berkenaan. 

Program KAH akan membabitkan masa 13 minggu di empat masjid di Cheras, Kajang iaitu MBTHO, Masjid Jamek Pekan Kajang, Masjid Jamek Raja Alang, Beranang dan Masjid Jabatan Penjara Malaysia, Kajang.

Berucap merasmikan KAH berkenaan, Dr Fairuz, berkata KAH akan membuka peluang kepada peserta untuk membuat persiapan awal bukan sahaja setakat kelengkapan diri malah paling penting bersedia dari segi mental, fizikal, kesabaran dan sebagainya.


Peserta memenuhi dewan solat MBTHO pada majlis perasmian KAH.


Menurutnya, apabila berada di Tanah Suci nanti mereka akan menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan yang akan menguji keimanan mereka untuk terus bersabar dan membuat amalan khusus bagi mendapatkan ganjaran haji mabrur. 

“Modul yang disusun rapi oleh KAH ini akan mendedah dan memberikan bimbingan kepada mereka untuk mendisiplin diri dengan mematuhi rukun ibadat haji serta perkara lain yang wajar dilakukan atau dihindari ketika menunaikan ibadat berkenaan.

“Rebut dan manfaatkanlah peluang disediakan oleh TH sepanjang KAH ini terutama bagi memastikan diri dapat menghadiri bagi mengikuti semua modul yang disediakan itu,” ujarnya.


Peserta lelaki Kursus Asas Haji (KAH) Musim Haji 2024M/1445H di Masjid Bandar Tun Hussein Onn (MBTHO), Cheras, Selangor, membuat semakan pendaftaran nama pada 28 Oktober 2023.


Sementara itu Mohd Faisal mezahirkan ribuan terima kasih kepada TH kerana memilih sekali lagi MBTHO sebagai lokasi KAH dan berharap peserta dapat memberi kerjasama kepada semua ahli jawatankuasa dan sukarelawan supaya KAH berjalan lancar. 

Jelasnya, apa sahaja masalah berbangkit atau untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai KAH dan sebagainya hendaklah merujuk ahli jawatankuasa serta sukarelawan yang bertugas demi keselesaan sepanjang kursus berlangsung.

Sehubungan itu menurutnya, mereka hendaklah juga mematuhi peraturan meletak kenderaan supaya tidak menghalang kenderaan lain, memastikan tiada barangan berharga disimpan dalam kereta atau tertinggal selepas mengambil wuduk dan sebagainya.

Katanya, MBTHO memang ada pengawal keselamatan tetapi mereka hanya menjalankan tugas di sekitar bangunan masjid sahaja dan tidak membabitkan kawasan parking dalam atau luar masjid kerana ia menjadi tanggung jawab peserta bagi menjamin keselamatan serta keselesaan.


Mohd Faisal Mohd Noor menyampaikan ucapan pada majlis perasmian KAH.


Tambahnya, peserta hendaklah memberi tumpuan sebaik mungkin kepada bimbingan yang disampaikan oleh penceramah kerana KAH penting untuk mereka memahami dan meningkatkan pengetahuan menunaikan ibadat haji.

“Apabila sudah faham di samping mengerti setiap langkah ketika menunaikan ibadat haji kita dapat mengelak daripada melakukan kesilapan serta berasa lapang dan selesa untuk membuat ibadat sepanjang berada di Tanah Suci.

“Saya sarankan juga kepada peserta untuk menambah keberkatan mengikuti KAH seeloknya sebaik sahaja menjejak kaki ke dalam MBTHO jangan terlupa untuk terlebih dahulu menunaikan solat sunat masjid,” ujar beliau.


Peserta wanita turut membuat semakan pendaftaran nama untuk menyertai KAH.

20
13
0
13
0

Copy Link: