Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) terus komited untuk membantu anak-anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan orang tersayang akibat pandemik COVID-19.

Pada 12 Disember 2024, Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob menyantuni dua keluarga di sekitar bandar raya Kuching sempena Hari Natal dan menziarahi pemohon baharu bantuan YKM.

Keluarga pertama ialah Tina Bong, 50, yang kehilangan suami Sim Siang Yeong, 53, akibat pandemik COVID-19 pada Oktober 2021. 

Dia kini menumpang hidup di rumah milik mentua bersama-sama dua orang anaknya iaitu Ethan Sim Yong Ching, 18, dan Evan Sim Yong Ching, 15.

Tina juga terpaksa menjaga kedua-dua mentuanya yang berusia 87 dan 85 tahun yang uzur. 

Dia hanya bekerja sendiri dari rumah iaitu membantu orang memasak jika ada permintaan dengan pendapatan yang tidak menentu.



Sementara itu, Ismail Sabri berkata, beliau menyampaikan bantuan wang tunai kepada Tina dan keluarga bagi memastikan mereka dapat menyambut Hari Natal dengan penuh kegembiraan.

“Serentak dengan itu, seramai 20 anak-anak yatim dan yatim piatu di bawah kendalian YKM yang beragama Kristian akan menerima sumbangan Hari Natal sebanyak RM300 setiap seorang melalui akaun bank masing-masing bermula 13 Disember 2024.

“Ini merupakan komitmen YKM bagi memastikan anak-anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan orang tersayang dapat menyambut setiap perayaan berdasarkan kepercayaan dan budaya masing-masing dengan penuh kegembiraan,” katanya ketika menziarahi keluarga tersebut di Taman BDC di Kuching.



Beliau berkata, di samping sumbangan perayaan, YKM juga telah menyalurkan Bantuan Kasih secara berfasa-fasa kepada 977 penerima sejak tahun 2022 termasuk seramai 47 penerima bantuan daripada 21 keluarga di Sarawak

Katanya, anak-anak yang berusia di bawah 16 tahun menerima bantuan sebanyak RM2,000 setahun, manakala remaja yang berusia 16 tahun sehingga tamat pengajian ijazah pertama menerima bantuan sebanyak RM2,500 setahun.

“YKM telah membelanjakan sebanyak RM5 juta pada tahun ini untuk Bantuan Persekolahan, Bantuan Menara Gading, Hadiah Kecemerlangan Akademik, Sumbangan Perayaan dan Bantuan Bencana serta pengurusan.

“Jumlah sumbangan dijangka meningkat pada tahun hadapan, kita menerima sebanyak 890 permohonan baharu dan masih lagi dalam proses semakan serta tapisan,” katanya.

Pemohon yang layak akan dimaklumkan dalam masa terdekat melalui emel dan WhatsApp.



Terdahulu, Ismail Sabri telah menziarahi keluarga Rimanoraishahida Sarbini, 37, yang kematian suami, Mohamad Nuryasri Suut yang berusia 40 tahun pada 14 September 2021 akibat pandemik COVID-19.

Dia terpaksa menjaga tiga orang anaknya iaitu Muhammad Iman Darius, 16; Nur Iman Amani, 14; dan Nur Iman Aleeya yang berusia 13 tahun dengan pendapatan RM700 sebulan sebagai pengasuh kanak-kanak.

“Saya telah menziarahi keluarga Rimanoraishahida di Taman Malihah yang merupakan pemohon baharu bantuan YKM.

“Setelah meneliti taraf hidup keluarga ini, pihak YKM bersetuju untuk memasukkan ketiga-tiga anaknya sebagai penerima bantuan yayasan ini bermula tahun hadapan (2025).

“Saya telah menyerahkan surat kelulusan permohonan YKM kepada Rimanoraishahida ketika mengunjungi keluarga tersebut,” katanya. - KitaReporters/Kenyataan Media


13
12
0
10
0

Copy Link: