Ahli Puspanita PETRA melakukan kerja pembersihan kemudahan dalam bilik penghuni warga emas perempuan.


DARI Presint 4, Putrajaya, seramai 27 pegawai Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) meluangkan masa hampir empat jam beramah mesra dan menyantuni warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) di Kampung Sungai Purun, Semenyih, Selangor pada 26 November 2024.

Menerusi program ‘Bahagia Dengan Membahagiakan 2.0’ yang turut disertai enam ahli sukarelawan Indah Water Konsortium Sdn Bhd mereka turut mengadakan aktiviti gotong-royong membersih persekitaran PJMM termasuk bilik penghuni dan permainan bagi menghiburkan warga emas terbabit.


Roshana Alma Mohd Ali mendengar cerita seorang warga emas sambil diperhatikan oleh Azman Rasman dan Muhammad Syafiq Mohiadin.


Setiausaha Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Cawangan PETRA, Nor Bizura Seth, berkata pegawai terbabit merupakan ahli persatuan berkenaan yang begitu bersemangat untuk turun padang bagi menyantuni warga emas.

Menurutnya, program berkenaan juga salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mampu memupuk sikap keprihatinan ahli Puspanita terhadap mereka yang berada di luar dan amat memerlukan perhatian dan pembelaan.

Tambahnya, persatuan berasakan bertanggungjawab untuk turun padang membantu komuniti setempat yang secara tidak langsung mendekatkan hubungan silaturahim khusus dengan warga emas tersisih dan terdampar di pusat jagaan tanpa mendapat perhatian serta kasih sayang daripada ahli keluarga.

Jelasnya, aktiviti gotong-royong pembersihan dan permainan bagi menghiburkan hati penghuni itu menjadi lebih bermakna serta terkesan apabila ahli persatuan dapat melayani keluhan warga emas yang meluahkan perasaan umpama terlalu merindui anak-anak atau saudara mara terdekat.


Sukarelawan Indah Water Konsortium melakukan kerja pembersihan dalam bilik warga emas lelaki.


“Maka tidak hairanlah apabila ada dalam kalangan warga emas ini bertanyakan kami ada membawa makanan seperti kuih-muih untuk dijamah bersama-sama ibarat seorang ibu atau bapa merindui masakan anak,” ujarnya ketika ditemui pada program berkenaan.

Turut hadir pada program itu, Pengerusi Puspanita Cawangan Kecil Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Datin Nur Azliah Hasjadi; Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin; Pengurus PJMM, Sazali Mohedin; dan Bendahari PJMM, Aidah Jaamat.

Pada majlis itu juga turut diadakan penyerahan sumbangan kewangan dan pelbagai barangan keperluan asas PETRA kepada PJMM.


Roshana Alma melakukan gimik penyerahan sumbangan barangan keperluan asas kepada Azman sambil disaksikan oleh Aidah (kiri), Nur Azliah Hasjadi dan Muhammad Syafiq.


Nor Bizura berkata, pembabitan Puspanita Cawangan PETRA dalam program CSR dan kerja amal kebajikan bukan perkara baharu namun begitu kunjungan ke pusat jagaan warga emas seperti PJMM itu adalah kali pertama diadakan apabila mengetahuinya menerusi sebaran dalam media sosial.

Jelasnya, usaha itu juga selaras program Madani Rakyat dilaksanakan PETRA seperti menziarahi pusat jagaan kanak-kanak istimewa di Miri, Sarawak pada September 2024 lalu yang menghadapi pelbagai masalah kesihatan serta memberi ahli menyelami kepayahan pihak pengurusan melayani dan menyantuni kanak-kanak berkenaan.

“Maklumat yang kami perolehi memberi pengalaman baharu terutama mengenai mengurus dan menjaga warga emas, kanak-kanak istimewa dan sebagainya itu bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilaksanakan kerana memerlukan sikap seperti jujur, amanah, bertanggungjawab serta tabah menghadapi pelbagai kesulitan,” ujarnya.


Seorang ahli Puspanita PETRA menyantuni warga emas dalam permainan menguji minda.


Pengerusi Puspanita PETRA, Roshana Alma Mohd Ali ketika berucap berharap PJMM terus mendapat sokongan dan perhatian pelbagai pihak dengan menghulurkan sumbangan bagi membantu untuk kekal beroperasi demi menjaga serta mengurus warga emas yang rata-rata lanjut usia.

Menurutnya, persatuan itu berasa bangga dengan semangat dan rasa bertanggungjawab pihak  pengurusan PJMM menyantuni warga emas dengan sempurna tanpa membezakan antara mereka yang dalam kalangan pelbagai kaum dan agama.

Tambahnya, ada petugas begitu tabah menjaga serta melayani warga emas yang terlantar di atas katil kerana menghadapi masalah kesihatan dengan menyuap ubat mengikut jadual ditetapkan selain menukar lampin pakai buang atau dibawa ke bilik air untuk mandi dan sebagainya.


Roshana Alma menyerahkan cek contoh sumbangan PETRA kepada Azman.


Jelasnya, masyarakat seharusnya sedar keadaan sedemikian kerana ada pihak yang sanggup bersusah payah menjaga warga emas daripada terbiar menjadi gelandangan apabila anak-anak atau saudara mara tidak sanggup memikul tanggungjawab sebegitu.

“Adalah suatu yang amat wajar untuk kita sama-sama meringankan bebanan pusat jagaan seperti ini dengan menghulurkan sumbangan atau menginfakkan barangan makanan bagi membantu kos operasi mereka setiap bulan,” katanya lagi.


Khairul Anuar Abd Aziz (kiri) bersama-sama rakan sukarelawan Indah Water Konsortium menunjukkan isyarat bagus dapat membantu program ‘Bahagia Dengan Membahagiakan 2.0’ Puspanita PETRA.


Sementara itu bagi ahli sukarelawan Indah Water Konsortium Sdn Bhd, peluang menyertai program CSR berkenaan amat memberi kesan pada diri khususnya apabila dapat melihat dengan mata sendiri masih ada dalam kalangan masyarakat terutama anak-anak tidak sanggup menjaga ibu bapa apabila sudah uzur. 

Khairul Anuar Abdul Aziz, berkata memang banyak karenah untuk menjaga ibu atau bapa terutama yang sudah uzur serta menjadi pelupa hingga tidak dapat menguruskan diri namun kita kena sedar betapa susah dan sukarnya mereka menjaga kita bermula daripada bayi hingga membesar berjaya dalam kehidupan.

Jelasnya, pengorbanan seorang ibu atau bapa tiada galang ganti dan seharusnya sanggup menjaga mereka dalam apa jua keadaan sekali pun dan jika mempunyai adik beradik yang ramai perkara itu boleh dilakukan dengan cara bersepakat.


Muhammad Syafiq memberi taklimat mengenai warga emas yang terlantar kerana uzur.


Rakannya, Mohd Rafiee Mohd Arshad, berkata walaupun sibuk dengan tugasan memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat namun penyertaan dalam program itu juga menjadi salah satu antara usaha murni kami menyantuni warga emas di pusat jagaan.

“Ia seolah-olah membuka jalan untuk kami berbakti kepada masyarakat dan meninggalkan tugasan hakiki seketika dengan membawa imej baik syarikat melakukan kerja amal kebajikan yang akan menjadi contoh kepada rakan lain supaya mempunyai sikap ringan tulang membantu mereka kurang bernasib baik,” ujarnya. - KitaReporters


Roshana Alma, Nur Azliah (tengah), ahli Puspanita PETRA dan sukarelawan Indah Water merakamkan kenangan bersama-sama warga emas PJMM. 

22
6
0
14
0

Copy Link: