SULTAN Nazrin Muizzudin Shah berkenan melancarkan buku 'PDRM - Sejarah Penubuhan, Pengorbanan dan Kejayaan Dalam Mengekalkan Keamanan Negara’  sambil disaksikan oleh Razarudin Husain dan Pengerusi Lembaga Pengelola YPBN, Tan Sri Prof. Dr Abdul Latif Abu Bakar.


USAI pelancaran buku coffee table ‘PDRM - Sejarah Penubuhan, Pengorbanan dan Kejayaan Dalam Mengekalkan Keamanan Negara’ oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah di sebuah hotel terkemuka Kuala Lumpur pada 10 Disember, 2024 lalu, Shafie Abdul Rahman yang turut hadir pada majlis itu berasa sangat lega dan bangga.

Majlis pada hari itu sangat bermakna kepada dirinya apatah lagi dengan kesudian Sultan Nazrin mencemar duli untuk melancarkan buku berkenaan. Ia terakam serta akan tersimpan sebagai khazanah berharga buat dirinya dan satu pencapaian bermakna sebagai seorang penulis.

Walaupun dalam tempoh 40 tahun aktif sebagai penulis dan sudah menghasilkan 500 judul buku, namun penghasilan buku PDRM ini membawa makna tersendiri kepada Shafie. Selama hampir setahun, beliau yang menjadi tulang belakang kepada penerbitan buku berkenaan bertungkus-lumus, bermandi peluh dan memerah idea.

Buku yang diterbitkan hasil kolaborasi antara Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) adalah hasil idea asal Shafie yang kemudian dicanai bersama kumpulan penulis yang dibentuknya sebelum diperkemas oleh unit penerbitan UPM yang diketuai Prof Dr Mohamad Thariq Hameed Sultan.


SULTAN Nazrin Muizzudin Shah meneliti sepintas lalu buku yang dilancarkan.


Menurut Shafie, idea untuk menulis buku mengenai PDRM tercetus pada penghujung tahun 2023, atas kesedaran mahu memberi ‘cerita sebenar’ mengenai perjuangan serta pengorbanan PDRM agar masyarakat lebih memahami peranan yang dimainkan oleh pasukan keselamatan itu dalam menjaga keselamatan negara.

“Saya dapati masih ramai dalam kalangan masyarakat tidak menghargai pengorbanan polis sebaliknya ada yang meremehkan perkhidmatan mereka malah tidak kurang yang mempunyai persepsi negatif ke atas PDRM ekoran beberapa kes jenayah yang membabitkan anggota polis terutama rasuah.

“Hakikatnya, kes-kes sebegini boleh dianggap kecil jika dibandingkan dengan kejayaan polis menangani jenayah, menjaga keselamatan negara dan memberi khidmat kepada masyarakat. 

"Tetapi, yang sering dimomokkan oleh masyarakat adalah cerita negatif membabitkan polis, maka ia melekat sebati dalam pemikiran mereka sehingga mencalar imej PDRM.

“Sebenarnya, banyak kebaikan dilakukan polis dari zaman sebelum merdeka tapi tidak ditonjolkan. Maka, atas kesedaran itu, saya fikir persepsi sedemikain perlu diperbetulkan dengan memberi maklumat lebih tepat kepada masyarakat. 

"Dari sinilah datangnya idea untuk saya menghasilkan buku ini,” ujar Shafie.


SHAFIE Abdul Rahman bersama salah seorang pasukan editorial, Noriah Idris gembira dan bangga kerana berjaya menghasilkan buku coffee table PDRM.


Beliau juga menyedari bahan bacaan mengenai PDRM tidak banyak diterbitkan dengan buku terakhir dihasilkan adalah pada 2005. Beliau kemudian melontarkan idea itu kepada Dr Roslan Basaruddin yang merupakan Ketua Pegawai Operasi YPBN.

“Dr Roslan kemudian memanjangkan idea itu kepada Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan (Mydin Pitchay) yang ternyata berminat dengan usaha menerbitkan buku berkenaan dan saya diminta menyediakan draf awal isi kandungan,” katanya lagi.

Peluncuran projek itu dilakukan oleh Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Bukit Aman, Datuk Kumaran Karupannan sempena Ekspo Buku Malaysia di MITC, Ayer Keroh, Melaka pada 1 Mac 2024.

“Selepas mendapat lampu hijau daripada PDRM, saya memulakan projek ini dengan membentuk satu team editorial terdiri daripada Abdullah Ishak, Rodly Fadly dan Noriah Idris yang bertugas mencari maklumat, mengumpul bahan dan menulis,” kata Shafie.


PELUNCURAN projek buku PDRM itu dilakukan oleh Kumaran Karupannan.


Menurut Shafie, antara cabaran dilalui dalam proses menyiapkan buku itu, antaranya, untuk mencari bahan rujukan bagi mendapat fakta yang tepat serta mendapatkan gambar-gambar perjuangan polis pada era sebelum Merdeka dan awal pasca-Merdeka.

“Tapi alhamduliullah, kami mendapat kerjasama yang sangat baik daripada PDRM terutama Jabatan Komunikasi Korporat dan Muzium PDRM. Tanpa komitmen mereka, agak sukar untuk kami mendapatkan bahan-bahan diperlukan.

“Kami juga sedar, sebagai sebuah buku yang juga akan dijadikan rujukan murid-murid sekolah dan penuntut universiti, kami turut memerlukan sentuhan orang akademik. Untuk itu, kami bertuah kerana UPM sudi menghulurkan kepakaran mereka bagi memastikan buku ini mencapai matlamat penerbitannya.

“Saya berterima kasih kepada semua staf UPM yang terbabit dalam penghasilan buku ini terutama Prof Dr Mohamad Thariq Hameed Sultan yang turut bertindak sebagai penulis bersama,” katanya.


BENGKEL permurniaan diadakan bertujuan menyemak ketepatan fakta, memperbetul kesilapan dan membuat penambahbaikkan sebelum ia diterbitkan.


Ia menjalani proses permurnian sebanyak empat kali melalui bengkel dianjurkan yang membabitkan PDRM, UPM, YPBN dan pasukan editorial, bertujuan menyemak ketepatan fakta, memperbetul kesilapan dan membuat penambahbaikkan bagi memastikan buku itu benar-benar mencapai matlamat penerbitannya.

Buku coffee table ‘PDRM - Sejarah Penubuhan, Pengorbanan dan Kejayaan Dalam Mengekalkan Keamanan Negara’ merangkumi tiga elemen utama iaitu sejarah, pengorbanan dan kejayaan yang dicapai.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain menyifatkan penerbitan buku itu sangat penting bagi menyebarkan maklumat berguna dan memberi informasi berinspirasi bagi menyemai rasa patriotism dalam kalangan masyarakat.

"Buku ini meraikan perjalanan PDRM selama lebih dua abad sebagai penjaga keamanan negara yang berkhidmat dengan penuh dedikasi mengenai erti lelah dan mengenepikan kepentingan peribadi.



"Inisiatif penghasilan buku ini akan menjadi sumber rujukan menyebarkan informasi berguna serta menginspirasi masyarakat untuk lebih peka dan meningkatkan semangat patriotisme cintakan tanah air," ucapnya semasa majlis pelancaran itu.

Razarudin berkata, buku ini diterbitkan dengan adunan kompilasi bergambar disertakan huraian ringkas pelbagai maklumat mengenai PDRM.

Buku itu dijangka akan dicetak sebanyak antara 30,000 hingga 40,000 naskhah dan akan diedarkan ke sekolah-sekolah dan universiti-universiti seluruh negara. - KitaReporters

 

15
13
0
9
0

Copy Link: